Sembilang Kari Asam Rebung
9:14 PTG
Hmmm... rebung pemberian Nur Fadhillah yang belum dimasak masih berbaki. Amie nak gandingkan rebung itu dengan ikan sembilang. Akhirnya terhidanglah resepi ikan sembilang kari asam dengan rebung di atas meja makan. Amie masih kekalkan cara masakan bonda, iaitu goreng dahulu separuh masak ikan sembilang itu. Bukan apa, tujuan bonda supaya ikan tidak berbau hanyir atau hamis. Memang ada cara lain untuk hilangkan bau kurang enak ini seperti rendam dengan air asam atau lumur dengan tepung. Apa pun Amie pilih cara bonda dengan melumurkan garam dengan sedikit kunyit dan kemudian menggorengnya sebentar. Rebungnya pula, oleh kerana sudah beberapa hari dalam simpanan, mungkin rasanya berubah getir sedikit, jadi Amie celur seketika dan kemudian toskan airnya. Macam biasalah, kalau masak kari memang Amie suka yang pekat, jadi Amie tambahkan tomato cincang untuk memekatkan kuah, dan sudah semestinya serbuk kari tidak dibancuh terlebih dahulu dengan air sebab Amie nak serlahkan aroma kari itu semasa memasak... tapi ingat, supaya serbuk kari tidak cepat hangus...perlahankan apinya semasa menggaulnya dengan bahan kisar lain dalam kuali.
Bahan-bahan:
500 gram ikan sembilang (potong ikut suka)
1 cawan rebung (celur dan toskan airnya)
2 biji tomato masak (cincang)
3 sudu serbuk rempah kari ikan
1/2 sudu halba
200ml santan
1 sudu pati asam jawa (bancuh dengan 75ml air)
garam & gula
1/2 sudu serbuk kunyit
minyak
Bahan kisar:
15 biji lada kering
5 biji bawang merah
5 biji bawang putih
1.5cm belacan
Cara:
1. Lumurkan ikan sembilang dengan sedikit garam dan kunyit. Goreng separuh masak. Angkat dan ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Masukkan serbuk rempah kari (perlahankan api).
4. Masukkan halba, tomato cincang dan air asam jawa. Masak sehingga tomato hancur.
5. Masukkan rebung.
6. Masukkan santan dan kacau sekali-sekala hingga mendidih.
7. Masukkan ikan sembilang. Masak seketika.
7. Akhir sekali masukkan garam dan gula @ perasa,
8. Kari asam yang dihasilkan sudah semestinya pekat. Angkat dan hidangkan.
0 comments