Kerabu Pucuk Paku Bersantan
4:55 PTGSelamat Hari Ibu buat semua pengunjung yang bergelar ibu...., sebenarnya pagi ini ada perkara yang sangat mengharukan sehingga menitis airmata, tapi tak apalah... semuanya ok. Rasa sedih sebab berjauhan dengan keluarga, terutama bila terkenang bonda. Mudah-mudahan bonda sentiasa sihat dan khabarnya ahli keluarga berkumpul bersama di rumah bonda, cuma Amie seorang yang jauh.... Apa pun, perut perlu dilayan, asyik termenung nanti perut masuk angin pulak ye. Amie teringat kerabu berkuah santan yang pernah Amie makan entah berapa tahun yang lalu.... makan di surau sekolah selepas sembahyang terawih... ni cerita pasal moreh ni... antara banyak menu yang dihidang, terpikat pula dengan menu yang satu tu, kerabu ada santan pulak. Amie makan tapi tak puas sebab faham-faham sajalah, segan pulak nak ambil banyak2. Tak pasti pula mana satu kawan yang membuat dan membawanya. Kalau dah teringin makan, siapa lagilah boleh diharap menyediakannya selain diri sendiri. Tapi Amie ubahsuai sedikit resepinya ikut kepala dan cita rasa sendiri tau...
Ratah sepinggan tak cukup....
Bahan asasnya pucuk paku, tapi Amie tambah taugeh.
Amie sediakan bahan lain termasuk isi ikan kembung, hirisan serai, bawang besar dan bawang merah, lada merah dan cili padi. Amie tumbuk kelapa parut bersama bawang merah, cili padi, sedikit belacan, lada hitam, garam dan gula serta sedikit asam jawa.
Kerabu di atas ni kira dah boleh dimakan tapi Amie masukkan sedikit santan pekat seperti di bawah...
Dah siap pun kerabu bersantan Amie. Minta maaflah sebab tak tahu siapa sebenarnya empunya resepi. Minta maaf lagi sebab pandai2 Amie ubah suai ikut kepala Amie. Kepada yang berminat untuk mencuba resepi ini, dipersilakan....
Bahan-bahan:
15 batang pucuk paku tanjung (celur)
2 cawan taugeh (celur)
2 ekor ikan kembung (rebus dan ambil isinya- hancurkan tapi jangan sampai lumat)
1 cawan santan pekat
2 batang serai
2 biji lada merah (hiris)
7 biji cili padi (hiris)
7 biji bawang merah (hiris)
1/2 labu bawang besar (mayang)
2 biji limau kasturi (perah airnya)
garam & gula
Bahan campuran ditumbuk bersama kelapa:
1 1/2 cawan kelapa parut
7 biji cili padi
1 batang serai (hiris)
2 biji bawang merah
1/2 sudu kecil pati asam jawa
1.5cm belacan
1 sudu kecil lada hitam
secubit garam
Cara:
1. Masukkan pucuk paku dan taugeh ke dalam sebuah bekas.
2. Masukkan semua bahan di atas termasuk kelapa tumbuk kecuali santan.
3. Gaul rata dan rasa masam, manis dan masinnya.
4. Tuangkan santan dan gaul sekali lagi.
5. Sedia untuk dihidangkan.
0 comments