Cara Mudah Masak Pindang Serani Ikan
11:10 PTG
Assalamualaikum.
Hari hampir lewat malam, tapi belum terlambat untuk kongsi resepi.
Bagaimana suasana berpuasa pada hari ini? Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas rezeki yang dianugerahkan kepada kita. Tidak kiralah apa jua bentuknya, termasuk rezeki kesihatan, mendapat jiran yang baik, dipermudahkan segala urusan dan sebagainya.
Beberapa hari lepas, sewaktu Amie sedang duduk berehat sambil mendengar radio, telinga menangkap percakapan seorang chef dengan DJ Radio Klasik. Oleh kerana sewaktu mendengar itu, topiknya agak menarik untuk diikuti, jadi Amie pun sempat mencatatkannya di atas kertas. Kalau tak silap chef jemputan tersebut ialah Chef Zaidah. Maaf, tak ingat apa nama rancangan tersebut, maklumlah hiburan sambil bekerja. Bila ada masa duduk makan mendengarlah butir bicara, tapi bila bergerak ke tempat lain makan terputuslah segala maklumat yang disampaikan.
Salah satu resepi yang dikongsi oleh Chef Zaidah ialah resepi pindang serani ikan. Katanya, kesemua bahan yang digunakan hanya dihiris halus, dan kemudian tumis. Wah! Dengarnya macam menarik! Selama ini kalau masak pindang mesti nak tumbuk atau kisar semua bahan. Kali ini nak cuba hiris-hiris sahaja kesemua bahan tersebut! Resepi pindang serani ikan yang dikongsikan (tak ngat guna ikan apa) ditambah dengan belimbing buluh. Amie gunakan nanas, sebab tidak ada belimbing buluh. Jom kita lihat resepinya di bawah ini.
800 gram ikan - Amie gunakan 1 ekor ikan susu - bersihkan - potong 6
1/2 biji nanas (400 gram) - kupas kulit - potong ikut citarasa
asam keping - boleh masukkan jika masakan kurang rasa masam
1/2 sudu kecil serbuk kunyit - pilihan
2 biji cili merah / hijau - belah 2
3 sudu besar minyak
3 cawan air
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris nipis:
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
10 biji cili padi
1 cm kunyit hidup
1 cm lengkuas
1 cm halia
2 batang serai
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dalam kuali / periuk. Tumis semua bahan hiris hingga terbit bau dan kekuningan.
2. Masukkan nanas dan gaul, biarkan seketika.
3. Tuangkan air. Biarkan mendidih sehingga nanas layu. Ketika ini Amie tambah 1/2 sudu kecil serbuk kunyit sebab warna kuah tidak menyerlah.
4. Seterusnya masukkan ikan susu. Masak di antara 5 hingga 7 minit.
5. Masukkan cili merah / hijau, dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
Lama tak makan ikan masak pindang. Bila dah jumpa, tak nampak dah orang belakang...hiks!
Sempat ke bazar Ramadan. Beli otak-otak 10 bungkus sebab memang hantu otak-otak. Bila buka puasa, isinya masih basah. Encik Suami suruh panggang semula, katanya lepas solat tarawih nak makan otak-otak itu lagi.
Hari ini terpikat melihat karipap walaupun hanya karipap biasa, bukan yang pusing-pusing dan sebagainya. Macam tahu -tahu sahaja, firasat di hati mengatakan karipap ini sedap, kulitnya lembut dan intinya penuh. Sebiji berharga 50 sen. 5 biji RM2. Jadi belilah 5 biji. Encik Suami tak dapat makan sebab 4 ketul Fairuz makan! Katanya sedap. Memang betul sedap!
Bila melihat bungkusan daun pisang kecil comel, kita sangka tapai pulut hitam. Rupanya wajik! Melihat kecomelannya, kita pun beli RM1 dapat 3 ketul.
Bubur kacang hijau dengan jagung ini Encik Suami beli dua bungkus. Dua-duanya habis Encik Suami makan, sebab katanya tak berapa manis!
1 comments
Dalam banyak2 gambar kat atas tu paling tertarik tengok karipap. Fevret saya dari dulu sampai sekarang hehe. Mesti sedap kan karipap tu
BalasPadam