Ayam Goreng Cencaluk Yang Sedap Jadi Rebutan!
11:15 PG
Seronok juga dapat tambah ilmu menerusi siaran radio. Kadang-kadang ketika waktu rehat, duduk melepas lelah sambil telinga mendengar celoteh juruhebah, dan ada pula perkongsian resepi terus saja tangan mencapai pen untuk mencatat. Minggu lepas bicara tentang resepi sudah separuh jalan, jadi tak sempat dengar semua. Yang pastinya resepi yang dikongsi ialah resepi ayam masak cencaluk! Rasanya pernah juga masak ayam cencaluk suatu ketika dahulu
Ada seengah botol kecil cencaluk dalam peti sejuk. Eloklah dihabiskan sebelum menjelang raya! Cari bahan lain, nampaknya semua ada. Amie masak sedikit sahaja memandangkan Encik Suami dan Fairuz sudah ada makanan kegemaran masing-masing untuk berbuka. Biarlah Amie makan nasi lauk Ayam Goreng Cencaluk!
Sebelum ini Amie hanya tapiskan air cencaluk, tapi kali ini setelah tapis air cencaluk, Amie bilas cencaluk di bawah air paip yang mengalir!
400 gram dada ayam - potong dadu
1/2 botol cencaluk - tapis airnya - dan bilas di bawah air paip yang mengalir
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
4 helai daun limau purut - buang urat - ramas
2 biji cili hijau / merah
1 sudu besar jus limau kasturi
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 batang serai - hiris
2 cm kunyit hidup
Dada ayam dipotong dadu
Serai, kunyit, bawang putih dan bawang merah kisar.
Cencaluk yang sudah ditapis dan bilas sedikit.
Daun limau putu, limau kasturi dan cili hijau / merah.
Mari kita mula masak.
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan air asam jawa dan biarkan mendidih seketika, kemudian masukkan dada ayam diikuti dengan cencaluk.
3. Gaul rata dan biarkan sehingga masak. Jika suka berkuah sedikit, boleh tambahkan air.
4. Selepas itu masukkan daun limau purut, hirisan cili hijau / merah, garam/ gula / perasa pilihan secukupnya.
5. Padamkan api dapur.
6. Ketika menghidang, renjiskan jus limau kasturi dan taburkan bawang goreng.
Biasanya Ayam Goreng Cencaluk kurang mendapat perhatian, tetapi kali ini sebaliknya pula. Pada mulanya, Amie sangka Ayam Goreng Cencaluk ini boleh dijadikan lauk untuk bersahur, tetapi habis licin sebaik sahaja Encik Suami pulang dari solat tarawioh. Fairuz pun berkali-kali menambah dalam pinggan nasinya!
Apa bezanya masakan Ayam Goreng Cencaluk kali ini?
Mungkin disebabkan Amie bilas cencaluk!
Baunya pun kurang menyengat!
Rasa masinnya pun berkurangan!
Mungkinlah......
3 comments
dana tak pernah mkn, masak jauh sekali cencaluk... pernah beli tp sbb masa bukak dia meletops sampai sudah dana fobia hahahha...
BalasPadamtp tgk resepi akak tu mudah jgk yek
wah sy nak cubalah untuk sahur nanti ? TQ 😊👍
BalasPadamRasanya macam tambah belacan Dalam tumisan...
BalasPadam