Kek Lapis Blueberry Cheese..... sedapnya ya ampun!
1:41 PTG
Selamat berhujung minggu buat semua. Sementara menunggu seorang pelanggan datang untuk mengambil tempahan Kek Lapis Cheese Masam Manis yang Amie siapkan malam tadi, Amie ingin kongsikan hasil air tangan Amie yang terbaru. Dengan menggunakan bahan yang hampir sama dengan adunan Kek Lapis Cheese Masam manis, Amie berjaya menghasilkan Kek Lapis Cheese Blueberry yang sangat sedap! Lembut dan enak dimakan sampai tak boleh berhenti walaupun baru keluar dari oven. Encik Suami yang terjaga dari tidur untuk membantu Amie masak sahur pun teruja untuk menikmatinya!
Amie sangat berpuas hati dengan hasilnya kerana ini merupakan versi percubaan memandangkan menjelang hari raya nanti ada beberapa tempahan kek lapis begini. Jadi, Amie tidak akan teragak-agak untuk terus menggunakan resepi yang Amie cuba untuk menghasilkan Kek lapis Cheese Blueberry untuk rakan-rakan yang telah membuat tempahan raya.
Tak tahu macamana dah Amie nak jelaskan kelazatan Kek Lapis Cheese Blueberry ini. Ia kaya dengan dua jenis keju iaitu krim keju dan juga keju parmesan. Rasanya tidak begitu manis kerana Amie lebihkan penggunaan susu pekat berbanding gula. Penggunaan keju menyebabkan rasanya begitu seimbang dan cukup enak! Sesiapa yang berminat untuk mencubanya, Amie persilakan dengan segala senang hati. Jika kek lapis ini dihidangkan sebagai salah satu juadah raya untuk tetamu, sudah pasti tidak cukup sepotong dan ingin terus menikmatinya!
Resepi : Kek Lapis Cheese Blueberry
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
250 gram Philadelphia Cream Cheese
100 gram parutan Parmesan Cheese
450 gram mentega berkualiti tinggi - Amie gunakan jenama Anchor
100 gram gula halus
1 tin susu pekat manis - (berat 505 gram)
10 biji telur gred AA
30 gram ovallette - boleh gantikan dengan baking powder
250 gram tepung Hong Kong
75 gram Horlicks
250 gram blueberry pie filling
setitik pewarna ungu
Loyang berukuran 8 X 8 X 3, yang telah dialas kertas dan digris pada dasar loyang dan sekelilingnya.
Cara:
1. Pukul mentega hingga putih, dan kemudian masukkan gula serta ovallete / baking powder.
2. Setelah kelihatan sebati, masukkan Philadelphia Cream Cheese serta parutan Parmesan Cheese. Pukul lagi sehingga licin dan berkrim.
3. Masukkan telur satu persatu, dan pukul lagi sehingga kembang dan pekat.
4. Masukkan susu pekat manis dan pukul sebentar dengan kelajuan rendah.
5. Perlahankan pada kelajuan rendah, dan masukkan tepung Hong Kong.
6. Setelah adunan benar-benar rata dan sebati, bahagikan kepada 2 bahagian.
7. Campur rata serbuk horlick dalam satu bahagian adunan , dan satu adunan lagi dicampur sebati dengan blueberry pie filling serta setitik pewarna ungu.
8. Ambil 1 senduk adunan blueberry dan ratakan di atas loyang kek. Bakar menggunakan api atas selama 10 minit.
9. Keluarkan loyang kek dan tekan dengan sterika kek. Lakukan begini pada setiap lapisan kek supaya kek tidak menggelembung.
10. Ambil 1 senduk adunan horlick dan ratakan. Bakar lagi selama 10 minit.
11. Ulangi Langkah 8, 9 dan 10 dan seterusnya sehingga selesai.
12. Setelah selesai membakar lapisan terakhir, ubah api di bahagian bawah menggunakan suhu 100'C dan bakar lagi di antara 12-15 minit supaya masak keseluruhan kek.
Bagaimana pun Kek Lapis Cheese Masam Manis masih mendapat tempat teratas untuk tempahan hari raya, dan nampaknya sepanjang Ramadhan ini Amie berterusan membuat kek lapis ini untuk memenuhi tempahan (bukan untuk raya). Kek Lapis Cheese Masam Manis di atas sedang menunggu untuk diambil oleh tuannya, iaitu Cikgu Anita Faizal yang akan datang pukul 3 petang nanti. Terima kasih atas tempahan kek lapis ini ye Cikgu Anita. Harap berpuas hati.
6 comments
isk isk isk sedap nyer nampak kek Amie nie klu dekat mau gak D5 tempah suker sgt tgk kek lapis masam manis tu musti sedap kan...
BalasPadamSaya ada sorang kawan yang berasal dari Swak, tiap tahun ada saja tempahan Kek Lapis. Ohhh Kek Lapis memang sangat sedap!
BalasPadamDelima,
BalasPadamdua-duanya memang sedap... tak tahu mana satu yang lebih mana satu yang kurang!
Azie,
memang sangat sedap...setakat ini belum terdengar komen tidak sedap dari pelanggan he hehh.
X tahan ni...tiap2 hari nmpk kek lapis k.amie...klau dekat mmg lama dah ode ni...mcm kena masak n try sndiri nmpaknya....
BalasPadamkalau duk dekat dah lama saya tempah!.terliur la..
BalasPadamKak, boleh saya tau akak jual brp untuk sebiji kek lapis mcm ni...
BalasPadam