Kek Lapis Masam Manis Cheese Yang Sangat Sedap!
6:07 PTG
Alhamdulillah.
Rindu dengan hasil air tangan sendiri.
Barulah puas rasa di hati kalau dapat menyiapkan kek lapis!
Hasil dan rasanya sudah tentu berbaloi-baloi kalau ikut resepi yang diberikan.
Mudah-mudahan selepas ini terus ada 'kerajinan' untuk melapis, terutama untuk anak-anak yang pulang sekali-sekala.
Amie persilakan buka tudung saji Amie untuk mendapatkan resepinya: DI SINI. Agaknya sudah agak banyak kali kongsi Kek Lapis Masam Manis ini, sehingga tak tahu nak cerita apa lagi....hiks! Amie copy paste resepinya di bawah ini.
Catatan: Amie gunakan 80% daripada jumlah bahan yang digunakan, misalnya 200 gram dari 250 gram tepung Hong Kong, 200 gram daripada 250 gram cream cheese, 8 biji telur, dan seterusnya.... (kalau nak ikut cara Amie buatlah kiraan sendiri ye) sebab Amie tak mahu berlama-lama di depan oven. Satu lagi, kalau tak ada Philadelphia Cream Cheese, gunakan jenama lain pun ok, tapi kalau tak ada Parmesan Cheese nanti lain pulak rasanya. Mentega kualiti tinggi pula, boleh pilih mana-mana jenama seperti Wood Dunn, Anchor, atau Golden Churn dan lain-lain. Mesti gunakan mentega tulen ye, bukannya marjerin atau mentega lepa seperti Buttercup!
Terpulanglah atas budi bicara masing-masing, tapi kalau nak dapatkan Kek Lapis Masam Manis Cheese yang tak boleh dilupakan sepanjang waktu, gunakanlah bahan-bahan yang disarankan.
Bahan-bahan:
250 gram Philadelphia Cream Cheese
100 gram parutan Parmesan Cheese
450 gram mentega berkualiti tinggi
100 gram gula halus
1 tin susu pekat manis - (berat 505 gram)
10 biji telur gred AA
30 gram ovallette
250 gram tepung Hong Kong
150 gram Horlicks
haw flakes secukupnya
pewarna hijau pandan
Loyang berukuran 8 X 8 X 3, yang telah dialas kertas dan digris pada dasar loyang dan sekelilingnya.
Cara:
1. Pukul mentega hingga putih, dan kemudian masukkan gula serta ovallete.
2. Setelah kelihatan sebati, masukkan Philadelphia Cream Cheese serta parutan Parmesan Cheese. Pukul lagi sehingga licin dan berkrim.
3. Masukkan telur satu persatu, dan pukul lagi sehingga kembang dan pekat.
4. Masukkan susu pekat manis dan pukul sebentar dengan kelajuan rendah.
5. Perlahankan pada kelajuan rendah, dan masukkan tepung Hong Kong diikuti dengan Horlicks.
6. Setelah adunan benar-benar rata dan sebati, bahagikan kepada 2 bahagian.
7. Amie warnakan satu bahagian adunan dengan pewarna hijau pandan, dan satu adunan lagi tanpa warna.
8. Ambil 1 senduk adunan berwarna hijau pandan dan ratakan di atas loyang kek. Bakar menggunakan api atas selama 10 minit dengan suhu 150' C (ikut karenah kepanasan oven masing-masing). Kalau nak cepat boleh naikkan suhu kepada 180' - 200'C tapi kena jaga-jaga sebab permukaan kek mudah hangus, dan hasilnya sudah tentu tak cantik.
9. Keluarkan loyang kek dan untuk mengelakkan daripada kek menggelembung, cucuk-cucuk permukaan kek dengan garpu, atau tekan dengan penekan kek - lakukan begini pada setiap lapisan kek.
10. Susun haw flake di atas permukaan kek.
11. Ambil 1 senduk adunan tanpa warna dan ratakan. Bakar lagi selama 10 minit.
12. Ulangi Langkah 8, 9 dan 10 dan seterusnya sehingga selesai.
13. Setelah selesai membakar lapisan terakhir, ubah api di bahagian bawah dan bakar lagi di antara 12-15 minit supaya masak keseluruhan kek.
Untuk menikmati kelazatan Kek Lapis Masam Manis Cheese ini kenalah melabur lebih sedikit. Boleh juga gunakan resepi ini tanpa mencampurkan cream cheese dan parmesan cheese tapi sudah tentulah rasanya berbeza, dan hasilnya menjadi Kek Lapis Masam Manis sahaja. Bagaimanapun, Amie tidak pernah 'mengingkari' bahan yang digunakan oleh guru kek kami...oooh! Kek ini sudah lebih 6 tahun lalu Amie pelajari daripada Chef Khoo!
0 comments