Resepi Rendang Ayam Paling Mudah Tapi Sedap!
4:59 PTG
Assalamualaikum.
Kongsi resepi Rendang Ayam masakan kelmarin petang sempena sambutan malam ketupat. Alhamdulillah, 'malam ketupat' berjalan lancar di kampung Encik Suami. Semoga amalan TRADISI MALAM KETUPAT dalam masyarakat Melayu Cocos dapat diteruskan oleh generasi kini pada tahun-tahun akan datang.
Antara lauk untuk hidangan ketupat yang sempat Amie sediakan ialah Rendang Ayam. Masakan rendang ini sangat mudah kerana tidak menggunakan sebarang rempah ratus. Resepi asalnya dari MASAKAN MINANG - RENDANG OPAH, gunakan daging tapi Amie gantikan ayam. Rendang ini nampak lebih warna merah sebab Amie gunakan cili kering wonder hot yang tak berapa pedas. Jumlahnya 25 tangkai, jadi hasilnya pun banyak! Hurrmm... semuanya terus termasuk dalam periuk, sebab senang hati sangat masak main campak-campak saja. Rendang ini sangat sedap, dan terasa manisnya bawang merah yang mesra bersatu menjadi kuah rendang. Disebabkan kuahnya sangat sedap, jadi Amie tak masak sehingga kering. Rendang basahlah ceritanya ni.
Bahan A:
1 kg daging ayam - potong 10 bahagian
2 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
25 tangkai cili kering - kisar halus
3 helai daun limau purut - buang urat
1 cawan kerisik
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
Bahan B : Kisar
5 batang serai
3 helai daun kunyit
25 biji bawang merah
7 ulas bawang putih
5 cm halia
Cara memasak:
1. Masukkan kesemua Bahan A dan Bahan B ke dalam kuali, dan jerang di atas dapur.
2. Kacau perlahan-lahan sehingga masak, dan taburkan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
3. Apabila kuah mulai pekat, sentiasa dikacau supaya tidak berkerak.
4. Padamkan api dapur.
Senangkan nak masak Rendang Ayam ini?
Dan bertambah enak bila dinikmati bersama ketupat sebagai juadah berbuka puasa!
0 comments