Antara Puerta de Aragon dan Daun Maple Yang Gugur, Mentari Andalusia Mengintai Rindu

10:03 PG

Bismillahirrahmanirrahim.
Walaupun sekarang musim panas (summer) tetapi cerita kembara di musim sejuk (winter) belum berakhir. Kami masih berada di Seville, kota yang sejuk dan romantik yang masih mengekalkan identiti Andalusia, penuh warna dan sejarah.

Benar kata Leong, rakan sekerja yang ketika itu sedang mengembara  bersama anak dan isterinya di Portugal. Ketika kami berada di Morocco, Leong berada di Sepanyol. Sewaktu kami sampai di Sepanyol, Leong sudah berada di Portugal pula. Katanya, Sepanyol sangat sejuk terutama di Granada dan Cordova. Namun begitu Seville juga tidak kurang dinginnya! Suhu pagi sekitar 5'C hingga 10'C dan boleh turun  hingga 2'C ketika dinihari.

Menjejaki sejarah Al-Andalus.


Entah mengapa rasa sering teruja apabila terpandang pokok maple, apalagi ketika melihat daun maple terbang melayang gugur ke bumi. Barangkali sewaktu di sekolah menengah dahulu, sangat tertarik dengan pelbagai tanaman di negara empat musim sewaktu belajar subjek Geografi. Dahulu, belajar hanya berpandukan guru dan buku teks sahaja. Tidak seperti sekarang, dunia di hujung jari. Semua maklumat boleh diperoleh dengan mudah.  Oleh sebab sangat berminat dengan Geografi Kawasan terutamanya buku teks tingkatan empat, maka kita pun baca dari kulit ke kulit! Seronoknya meneroka Benua Amerika termasuk Amerika Utara dan Amerika Selatan! Selain memahami iklim dan bentuk muka bumi, sudah tentu rasa teruja mengkaji kegiatan ekonomi dan melihat gambar-gambar hasil tanaman seperti anggur, epal, oren, pelbagai hasil laut dan sebagainya.

Tentang pokok maple pula, banyak terdapat di Amerika Utara terutamanya di Kanada. Batang maple menghasilkan getah yang manis dan diolah untuk dijadikan sirap atau gula. Waktu dibangku sekolah kita hanya mampu membayangkan pokok maple, dan tidak berani  bermimpi untuk melihat dengan mata kepala sendiri.

Pernah juga melihat daun-daun maple berserakan sewaktu berada di Seoul, Korea. Begitu juga ketika berhenti rehat di R&R di Turki. Di Morocco juga ternampak pokok-pokok maple di pinggir pasar lama. 

Gambar pohon maple ketika menghampiri musim luruh - Pulau Nami, Korea selatan.

Dan apabila berada di Sepanyol, hampir kebanyakan tempat dapat melihat dengan lebih dekat pokok ini. Rezeki kami sampai ke sini di waktu musim dingin, jadi tidaklah dapat menyaksikan keindahan warna daunnya di musim luruh.


Di musim luruh, pokok maple adalah raja warna merah menyala, jingga membara dan kuning keemasan. 🍁🍁🍁Tetapi di musim dingin tiba, keindahannya berubah bukan sahaja pada warna, tetapi bentuk dan ketenangannya. 

Begitulah, pokok maple di musim dingin seumpama seorang tua yang sedang merenung diam-diam zaman mudanya! Situasi sebegini seolah-olah mengajar kita bahawa kecantikan bukan hanya pada keindahan luar, tetapi pada ketahanan dan keteguhan berdiri ketika semuanya telah pergi.


Pokok maple yang tinggi, dengan ranting bercabang-cabang dan gondol seperti jari-jemari yang runcing sehingga terlihat tulang, umpama seorang penyair yang baru selesai menulis puisi musim luruhnya.

Asyik cerita tentang pokok maple, terlupa pula untuk memperkenalkan wilayah Seville yang sedang kami lawati ini.


Seville (Sevilla) merupakan sebuah bandar di selatan Sepanyol yang terkenal dengan cuaca Mediterranean yang panas dan tanah yang subur terutama di kawasan Sungai Guadalquivir, menjadikannya lokasi sesuai untuk pelbagai jenis pertanian. Antara hasil pertanian utamanya termasuklah buah oren (Orange Seville) iaitu oren pahit (bitter orange) yang digunakan untuk membuat marmalde (jem). Pokok-pokok ini tumbuh di sepanjang jalan di bandar. Selain itu, terdapat tanaman zaitun untuk produk minyak zaitun terutamanya extra virgin olive oil (antara yang terbaik di dunia), anggur untuk dijadikan wain tempatan, almond, lemon 🍋🍋🍋, limau, delima, buah peach 🍑 🍑 🍑, tin dan sebagainya.

Rakaman video dari dalam bas.

Sesuai dengan cuaca panas dan tanah yang mengandungi mineral sungai, Seville juga memiliki ladang kapas dan bunga matahari 🌻🌻🌻 untuk menghasilkan minyak bunga matahari. Selain itu tanaman bijirin dan sayuran juga giat diusahakan seperti  gandum, barli, jagung dan oat. Sayuran pula termasuklah  tomato🍅🍅🍅, lada, artichoke dan seumpamanya.

Rakaman video - ladang zaitun yang tersusun rapi.

Di Andalusia musim sejuk adalah waktu memproses minyak zaitun secara besar-besaran. Buah zaitun dipetik bermula dari bulan November sehingga bulan Januari. Andalusia menghasilkan lebih 40% minyak zaitun dunia, dan Seville adalah salah satu pusat minyak zaitun terpenting.  Kilang minyak zaitun yang masih beroperasi terdapat di Sierra de Seville dan Carmona.


Pada musim sejuk, oren pahit dituai secara besar-besaran untuk dijadikan marmalade (jem) untuk pasaran luar seperti United Kingdom. Buah-buahan sitrus lain seperti lemon dan limau juga dituai pada musim ini untuk mengekalkan rasa segar dan warna buah yang lebih terang.

Musim sejuk juga merupakan waktu terbaik untuk menanam dan menuai sayur-sayuran berdaun dan akar seperti kobis (repollo), kobis bunga, brokoli, bayam, lettuce (salad hijau), lobak putih dan merah serta bawang putih dan bawang merah. Parsli, ketumbar dan pudina tumbuh dengan subur ketika ini. 

Dan musim sejuk ini juga adalah waktu yang sesuai untuk menanam gandum dan barli yang akan dituai hasilnya pada musim panas.


Di setiap pinggir bangunan atau di tepi jalan, mesti terlihat pemandangan pokok limau pahit  berbuah lebat!


Ketika bas menghampiri destinasi, suasana kelihatan sunyi sepi. Cahaya matahari mula menampakkan sedikit sinarnya di celah-celah  bangunan dan pepohonan.  Langit biru pucat,  dengan awan yang kelabu seolahnya dalam suasana berkabus.  Kelihatan gabungan pokok evergreen (daun kekal) dan jenis daun gugur menjadi latar belakang pemandangan.


Seville di waktu pagi pada musim sejuk memberikan suasana yang sangat berbeza berbanding musim panasnya yang terkenal panas terik. Pada musim sejuk (sekitar Disember hingga Februari), kota ini menjadi lebih tenang, sejuk dan romantik, namun tetap mengekalkan identiti Andalusia yang penuh warna dan sejarah.

Matahari naik sekitar jam 8:30 pagi, memancarkan cahaya keemasan yang lembut. Cahaya pagi menyinari bangunan, dinding batu masjid lama, istana, dan dataran berjubin serta mencipta suasana hangat walaupun udara masih sejuk.


Pokok limau pahit.




Bas berhenti di seberang jalan menuju ke Plaza de Espana dan kebetulan pula kami diturunkan berhampiran pokok maple tua.

Hi Mr. Maple. Good morning!


Sempat rakam gambar pokok maple tua yang berdiri teguh di hadapan Puerto de Aragón, di pagi yang dingin ketika matahari malu-malu kucing untuk munculkan dirinya.



Pagi itu kami dijadualkan untuk melawat Plaza de Espana. Kami memasuki Puerta de Aragón iaitu salah satu pintu bersejarah yang terdapat dalam kompleks Alcázar of Seville (Real Alcázar de Sevilla), sebuah istana diraja yang dibina semasa pemerintahan Islam di Sepanyol dan kemudian diubah suai oleh raja-raja Kristian. Pintu ini membawa nilai sejarah dan seni bina yang menarik.


Puerta de Aragon (Pintu Aragon) terletak di dalam kompleks Alcázar of Seville, berhampiran taman-taman diraja. Pintu ini menghubungkan beberapa bahagian dalam kompleks istana, termasuk akses ke kawasan taman atau bilik tertentu. Nama pintu ini dikaitkan dengan kerajaan Aragon, salah satu kerajaan penting di Sepanyol zaman pertengahan.



Ketika kami hendak menyeberang jalan menuju ke Puerta de Aragon, kelihatan sekumpulan pelancong  (ditandakan dengan bendera yang dipegang oleh tour giude) juga sedang bersedia menyeberang jalan. Walaupun tidak ada kenderaan di atas jalan raya ketika itu, tetapi semua pejalan kaki mematuhi lampu isyarat! Mereka tetap menunggu sehingga lampu bertukar warna hijau, barulah mereka bergerak.


Para pelancong kelihatan berpusu-pusu untuk memasuki Puerta de Aragon. Puerto de Aragon adalah salah satu gerbang dalam kompleks Plaza de Espana yang dibina untuk Ibero-American Exposition 1929. 

Puerta de Aragon.




Puerta de Aragon memaparkan elemen seni bina Mudejar, iaitu gaya yang menggabungkan seni Islam dan Kristian:
  • Terdapat lengkungan khas, hiasan geometri, dan ukiran batu yang halus. Ciri yang nyata ialah penggunaan batu bata merah yang merupakan bahan utama  dalam kebanyakan bangunan Mudejar. Keseluruhan struktur gerbang utama Puerta de Aragon dibina daripada batu bata ini. 
  • Selain itu terdapat gerbang berbentuk tapal kuda atau gerbang berbilang lengkung dan arch bertingkat mirip dengan masjid zaman Moor. 
  • Ciri Mudejar yang paling jelas ialah adanya corak jubin seramik (azulejos)  yang rumit dan berwarna-warni - biru, kuning, hijau dan putih dengan corak geometri atau arabesque. 
  • Seterusnya terdapat seni ukiran kayu dan hiasan stuko, kemas dan halus yang digunakan pada siling atau pintu - di bahagian siling ada ukiran geometri atau bintang-bintang.
  • Terdapat juga menara kecil dan bentuk tingkap Islamik pada sisi bangunan, atau tingkap kecil dengan bentuk lubang bulat. Hal ini jelas menunjukkan tampilan gaya istana Nasrid di Al Hambra.
Pada asalnya, Puerta de Aragon digunakan sebagai laluan antara bahagian dalaman istana ke taman diraja. Ia berfungsi sebagai pintu kawalan masuk atau kawasan tertutup yang hanya boleh diakses oleh golongan istana.


Apa itu Gaya Mudejar?
  • Merujuk kepada gaya seni bina dan seni hiasan  yang berkembang di Sepanyol selepas penaklukan semula (Reconquista), iaitu apabila kerajaan-kerajaan Kristian mengambil alih semula kawasan yang dikuasai oleh orang Islam (Moor).
  • Gaya ini merupakan  gabungan unsur seni bina Islam dengan seni bina Kristian, khususnya Gothic dan Romanesque.


Dari segi nilai sejarah pada hari ini, Puerta de Aragón menjadi simbol integrasi sejarah Andalusia antara budaya Islam, Kristian, dan Yahudi serta mencerminkan kekayaan sejarah zaman Al-Andalus dan kerajaan-kerajaan Kristian selepas Penaklukan Seville (1248).


Puerta de Aragón bukan sekadar sebuah pintu. Ia adalah sebahagian daripada naratif sejarah Sepanyol,  bagaimana tamadun Islam membina, dan kemudian kerajaan Kristian mengambil alih serta mengekalkan keindahan seni bina tersebut. Ia menjadi bukti pertembungan budaya dan kesinambungan sejarah di Seville.


Campuran seni bina Medejar - Kristian.


Ada anak tangga ke tingkat atas,  menghala ke kiri dan ke kanan.


Walaupun Puerta de Aragón diubah suai selepas kejatuhan Islam di Seville (tahun 1248), gaya seninya masih mengekalkan unsur Islam, terutamanya lengkungan tapal kuda (horseshoe arches), ukiran arabesque dan kaligrafi serta corak geometri Islam. Ini adalah hasil pengaruh seni bina Islam yang dikekalkan dan diserap oleh raja-raja Kristian selepas penaklukan.

Setelah Raja Ferdinand III dari Castile menawan Seville pada 1248, istana ini tidak dimusnahkan, sebaliknya digunakan dan diubah suai. Raja-raja Kristian (termasuk dari kerajaan Aragon) membina bahagian-bahagian baharu, termasuk Puerta de Aragón, dengan mengekalkan tukang-tukang Muslim (mudéjares) yang pakar dalam seni bina Islam.

Jadi, walaupun Puerta de Aragón itu mungkin dibina dalam zaman Kristian, tukang-tukangnya adalah orang Islam, dan teknik serta gayanya adalah kesinambungan dari zaman pemerintahan Islam. Ini menjadikan pintu tersebut sebagai simbol kesinambungan budaya,  bukan penghapusan tetapi penggabungan tamadun Islam ke dalam sejarah Sepanyol selepas Reconquista.

Kita simpulkan bahawa Puerta de Aragón adalah warisan seni Islam dalam konteks Kristian, lahir dari istana yang asalnya dibina oleh pemerintah Islam. Ia mencerminkan bagaimana pengaruh Islam terus hidup dalam bentuk seni bina, budaya, dan sejarah Seville — walaupun pemerintahan Islam telah berakhir. Dengan kata lain, walaupun dibina dalam era moden, tetapi budaya dan seni bina Islam - Sepanyol (Al-Andalus) terus mempengaruhi identiti kebangsaan Sepanyol.



Dari beranda di tingkat atas, bolehlah melihat pemandangan Plaza de Espana seperti gambar di bawah.



Subhanallah.
Walaupun hanya mampu menjejakkan kaki  berjalan di atas rel sejarah masa lalu, namun masih terasa hangatnya mentari Andalusia  di sana sini! Betapa jauhnya jarak waktu yang berlalu.... berabad lamanya!

6 comments

  1. Seronok tengok Amie melancong ke negara orang. Jauh berjalan luas pemandangan.

    BalasPadam
  2. Bestnya Kak Amie jalan² tengok negara orang.

    BalasPadam
  3. Menarik betul bandar Seville ni. Paling Sy suka bila ada tarikan sejarah dan juga ladang pertanian. Sangat menarik!

    BalasPadam
  4. kawasan Seville tu nampak lapang je

    BalasPadam
  5. Kat Malaysia tak pernah dapat lagit sebiru tu kan? Dah macam biru laut

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

Labels

~Albania ~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Bosnia Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~Bulgaria ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Croatia ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Montenegro ~Morocco (Casablanca - Marrakech - Rabat - Chefchaouen - Tangier - Fes) ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Pakistan ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Perlis ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Republik Macedonia ~Sabah ~Sarawak ~Saudi Arabia ~Selangor ~Sepanyol (Algeciras - Granada - Cordova - Seville - Toledo - Madrid) ~Slovenia ~Tempat Menarik di Malaysia ~Terengganu ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Trip SPM : Sepanyol-Portugal-Morocco ~Turki ~Turkiye ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kampung Laman Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Asia Selatan Masakan Asia Tengah Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Minuman Panas / Sejuk Moroccan Food Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pakistan Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto South Africa & Portuguese Food Sumber Telur Tempahan Western Food Wordless Wednesday

Subscribe