ADSENSE

Sabtu, 8 Januari 2011

Cekuk Manis Goreng Ikan Kurau Kering

Saya tidak berapa pasti adakah di pasar-pasar lain ada menjual  pucuk-pucuk muda sayur cekuk manis. Di tempat saya, pucuk muda ini hanya dipetik sekitar 5 hingga 6cm sahaja dan dijual antara RM10-12 sekilogram. Pucuk yang sangat muda ini sangat lembut dan rangup apabila dimakan. Suatu ketika dahulu setiap kali menziarahi keluarga sebelah suami, saya suka ke belakang rumah, berhampiran reban ayam daging ternak terdapat beberapa rumpun pokok cekuk manis. Saya sangat suka memetik pucuknya dan rasanya boleh dipetik setiap 3 atau empat hari sekali. Cara memasak cekuk manis juga boleh dipelbagaikan tetapi jangan memasaknya terlalu lama, nanti hancur dan hilanglah kerangupannya.... Di bawah ini hasil masakan cekuk manis goreng dan saya taburkan di atasnya ikan kurau kering. Ikan kurau kering ini saya goreng terlebih dahulu dan kemudian saya tumbuk hingga halus.


Bahan-bahan:
200 gram sayur cekuk manis (patahkan 2)
1 keping ikan kurau kering
1 biji lada merah (ditumbuk)
2 biji bawang putih (ditumbuk)
1 biji lada merah (dihiris)
1 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil tepung jagung (bancuh dengan sedikit air)
minyak

Cara:
1. Goreng ikan kurau kering dan tumbuk hingga halus.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, bawang merah dan lada merah hingga naik bau.
3. Masukkan sayur cekuk manis.
4. Masukkan sos tiram dan dan balik-balikkan sebentar.
5. Masukkan bancuhan air tepung jagung untuk memekatkan kuahnya.
6. Pindahkan sayur ke dalam pinggan dan taburkan ikan kurau kering di atasnya.

Tiada ulasan: