Betik Masak Tumis & Sambal Belacan Mak Mertua
6:35 PTG
Biasanya hidangan makan tengahari kami seisi keluarga hanyalah nasi dan lauk-pauk yang ringkas dan mudah disediakan. Kecualilah kalau hari tidak bekerja, bolehlah memasak hidangan atau lauk-pauk yang memakan masa agak lama sedikit. Kalau hari bekerja, cukuplah setakat lauk bergoreng, atau masak rebus sahaja. Seperti biasa, Encik Suami akan pulang lebih awal bersama Firdaus. Dan Encik Suami akan masak nasi, dan merendam ikan atau ayam. Masak lauk merupakan kerja Amie. Setelah makan tengahari bersama, Encik Suami akan kembali ke tempat kerjanya.
Tengahari tadi Amie sempat mengolah Betik Masak Tumis, tumbuk Sambal Belacan Mak Mertua, dan dilengkapi dengan Ikan Belais Goreng serta ulam-ulaman.
Sedaplah pula Betik Masak Tumis ni....hiks! Betik setengah masak atau mengkal ini akan mengeluarkan perasa manis semulajadinya, dan Amie tambahkan sekeping asam gelugor untuk seimbangkan rasanya. Jom lihat resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 biji betik mengkal - anggaran 500 gram
15 ekor ikan bilis - rendam seketika - toskan airnya
1 keping asam gelugor
4 sudu besar minyak
2 cawan air
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
2 biji cili merah
2 biji cili hijau
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan hiris hingga layu.
2. Masukkan betik dan asam gelugor. Kacau rata dan tambahkan air.
3. Masak sehingga betik layu dan lembut.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
5. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.
Oleh kerana Betik Masak Tumis tidak pedas, jadi Amie sediakan Sambal Belacan Mak Mertua. Cara MIL buat sambal belacan ialah dengan cara menggoreng semua bahan termasuk belacan, bawang putih, bawang merah dan cili padi. Bawang putih dan bawang merah dihiris kasar. MIL suka gunakan perahan jus limau nipis untuk melengkapkan rasa sambal belacannya. Kebetulan ada limau nipis, jadi Amie gunakanlah sebiji, tapi Amie tambahkan jus limau kasturi juga...ahaks!
Bahan-bahan:
1 keping belacan - 20 gram
30 biji cili padi
1 biji limau nipis
3 biji limau kasturi
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris kasar:
3 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
Cara:
1. Goreng bawang putih, bawang merah, belacan dan cili padi menggunakan sedikit minyak. Toskan.
2. Tumbuk kesemua bahan gorengan tadi di dalam lesung hingga lumat dengan menambahkan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
3. Masukkan perahan jus limau nipis dan limau kasturi. Gaul sebati.
4. Hidangkan sebagai pelengkap hidangan nasi dan lauk-pauk yang lain.
Siaplah hidangan tengahari kami yang turut di lengkapi dengan Ikan Belais Goreng dan ulam-ulaman.
Jemput makan!
0 comments