Makanan Tradisi Masyarakat Bajau : Putu & The Gang
4:47 PTG
Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Hari ini Amie ingin kongsikan sekali lagi tentang makanan tradisional msyarakat Bajau di daerah Lahad Datu. Sebelum ini biasanya kalau Amie kongsikan menu masyarakat Bajau, Amie hanya paparkan putu bersama ikan bakar, kilau dan juga rumpai laut. Kali ini Amie paparkan menu yang sama iaitu putu juga tetapi diiringi oleh teman-teman yang seangkatan dengannya (maksud Amie olahan lain yang dibuat dari bahan yang sama iaitu ubi kayu, dan rasanya juga lebih kurang sama dengan putu).
Amie hidangkan putu bersama kilau, lato' dan juga kima.
Inilah putu (diperbuat daripada ubi kayu), yang biasa Amie paparkan di dalam blog ini.
Hari ini Amie tambahkan bamban atau bianbam. Bahannya sama seperti putu, tetapi bamban dibungkus dengan daun pisang dan adakalanya dibungkus dengan daun kelapa.
Amie kongsikan juga tompek atau tinompek. Juga diperbuat dari bahan yang sama, hanya bentuknya yang berbeza. Cara memasaknya juga berbeza. Kalau putu dimasak cara kukus, tompek pula digoreng tanpa minyak.
Amie hidangkan putu dan teman-temannya itu bersama dengan lato' (gambar atas). Selalunya Amie hidangkan lato' lengkap dengan limau dan lada seperti kebiasaan yang Amie buat DI SINI. Tapi kali ini kami nak ratah-ratah sahaja anggur laut ini.
Amie juga tambahkan lauk kima, sejenis kerang besar yang hidup di celah-celah batu karang. Biasanya kima dimakan mentah tanpa dimasak terlebih dahulu, tetapi Amie belum pernah buat. Kalau nak makan begitu saja, bolehlah tambahkan jus limau nipis atau limau kasturi untuk 'memasak' kima tersebut.
Ini kima yang sudah Amie masak. Masak seperti tumis biasa, cuma tambahkan serai lebih sedikit untuk kurangkan bau kima. Sebelum dimasak, Amie tuangkan air panas ke atas kima untuk hilangkan baunya.
Tidak sempurna rasanya kalau makan putu tanpa kilau atau kinilau. Amie selalu buat kilau untuk FIL, dengan menggunakan ikan tenggiri atau ikan belanak tetapi Encik Suami lebih suka makan kilau daripada ikan bilis.
Untuk resepi kilau ini bolehlah buka tudung saji Amie DI SINI.
Kalau tak mahu makan putu dan teman-temannya, lauk-pauk yang disediakan ini boleh dinikmati bersama nasi.
1 comments
Tak pernah makan menu-menu tersebut. Kalau berjiran dengan amie seronoknya dapat merasa masakan lauk pauk sabah. Hari-hari ulur pinggan. hehehehe
BalasPadam