Peria Masak Kari, Sambal Mangga, Ikan Sulig & Belais Tembaga Goreng.
4:51 PTG
Jumpa lagi.
Alhamdulillah. Dapat berehat seketika dan selepas solat Asar sementara menunggu kepulangan Encik Suami dan Fairuz dari sekolah, Amie kongsikan menu hidangan tengahari kami pada hari ini. Seperti biasa, masakan yang dihasilkan terdiri daripada bahan-bahan yang mudah diperolehi, dan senang serta ringkas cara penyediaannya. Masa pun tidak banyak terbuang di dapur, dan Encik Suami sempat isi perut sebelum kembali ke tempat kerjanya.
Di dapur, sudah terbau aroma wap nasi dari rice cooker. Bila menjenguk ke sinki, ada dua ekor ikan saiz agak besar terendam di dalam besen. Setelah membersihkan ikan dan memerap dengan garam dan serbuk kunyit, sementara menanti minyak di kuali menjadi panas, Amie buka peti sejuk mencari kalau-kalau ada sayur yang boleh diolah. Maka terjumpalah sebiji peria!
Amie suka makan sayur peria di restoran mamak di Seri Perdana dan juga di bandar Lahad Datu tapi tak pernah memasak seperti yang dihidangkan di restoran tersebut. Seingat Amie, masakan peria tersebut berkuah, terasa rempah karinya dan sedikit pun tidak rasa pahit! Apa kata Amie cuba masak di dapur sendiri?
Amie masak macam lipas kudung. Lebih kurang setengah jam, sudah tersedia hidangan di atas meja. Nampaknya lauk-pauk hari ini semuanya kering belaka, kecuali sayur peria yang sedikit berkuah. Biasanya kalau masak peria memang kering!
Maka, terhidanglah Sayur Peria Masak Kari, Sambal Mangga dan dua jenis ikan goreng iaitu ikan sulig dan ikan belais tembaga.
Memandangkan banyak stok serunding ikan, jadi kita pun hidangkanlah juga di meja makan.
Pada mulanya Amie sangka rasa peria ditambah air tentulah pahit! Rupanya salah sangkaan Amie itu. Rasanya sedap dan lembut. Jom kita lihat resepinya di bawah ini:
Bahan-bahan:
1 biji peria seberat 400 gram - belah 2 - buang biji - potong / hiris ikut citarasa
1 sudu besar serbuk rempah kari
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil biji sawi
2 biji telur
2 cawan air
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
2 biji cili merah
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga layu.
2. Masukkan biji sawi, serbuk rempah kari dan serbuk kunyit. Perlahankan api dapur.
3. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air.
4. Masukkan sayur peria dan gaul rata.
5. Tambahkan air dan biarkan masak mendidih sehingga kuah hampir kering.
6. Pecahkan telur dan pukul sedikit. Tuang merata di atas sayur peria. Kacau sekali dua.
7. Taburkan garam / gula / perasa pilihan secukupnya. Kacau sekali lagi dan padamkan api dapur.
Banyak versi sambal mangga, tapi Amie kongsikan jugalah resepinya walaupun biasa-biasa saja. Kalau nak sedap, belacan kenalah dibakar, tapi Amie goreng saja. Amie suka-suka saja tambahkan tomato ceri dalam sambal.
Bahan-bahan:
3 biji mangga muda - kupas kulit dan cincang / hiris
5 biji limau kasturi - perah jusnya
garam / gula / perasa pilihan
Bahan goreng:
20 gram belacan
30 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
Cara:
1. Tumbuk kesemua bahan goreng di dalam lesung hingga lumat.
2. Masukkan bahan tumbuk ke dalam mangkuk.
3. Tambahkan hirisan mangga, dan garam/ gula / perasa pilihan secukupnya.
4. Tuangkan jus limau kasturi.
5. Gaul sebati, dan sedia untuk dihidangkan.
Sambil menggoreng ikan di atas dapur sebelah kanan, Amie tumis sayur peria di dapur sebelah kiri. Sementara itu, curi-curi menyiapkan sambal mangga...hiks! Akhirnya siaplah semuanya.
Bagi yang belum kenal ikan sulig, inilah rupanya. Ekornya kuning. Kepalanyanya kecil. Isinya putih, padat tapi lembut.
Gambar atas dan bawah ini pula gambar ikan belais tembaga. Walaupun bahagian luarannya kurang menarik dengan warnanya yang gelap, tapi isinya putih cantik! Dan sedap pula rasanya!
Sebelum ini Amie pernah kongsikan gambar ikan belais tembaga tapi belum pernah kongsikan hasil masakannya. Hari ini Amie kongsikan hasil masakan ikan belais tembaga goreng dengan ikan sulig goreng seperti di bawah ini.
Nampaknya Encik Suami sudah pulang. Terdengar pintu pagar dibuka, bunyi enjin kereta dimatikan, dan pintu pagar kembali berbunyi...ditutup!
Wokey!
Jumpa lagi!
1 comments
aduhaiiiiii ngences ni tenguk sambal mangga
BalasPadam