Nasi Minyak & Kurma Daging
8:19 PTG
Alhamdulillah.
Dapat bertemu kembali menerusi paparan kongsi resipi Nasi Minyak & Kurma Daging. Tak perlulah panjang lebar bermukadimah, sebab resipinya pun panjang lebar juga...hiks!
Boleh klik resipi Amie yang lalu untuk lebih lanjut DI SINI. Kali ini Amie tambahkan sedikit pewarna oren.
Bahan-bahan:
600 gram beras basmathi - bilas dan toskan
4 sudu besar minyak sapi
2 batang serai - diketuk
2 helai daun pandan - disimpul
1 labu bawang besar - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
3 cm halia - hiris halus
3 sudu besar kismis
1/2 cawan air mawar
3/4 tin susu cair
2 cawan air
1 sudu besar jus limau nipis
1/2 sudu kecil pewarna oren
garam secukup rasa / 1 sudu kecil gula / perasa pilihan
Rempah penumis:
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lama
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
Kuali
Periuk pengukus
Cara:
1. Naikkan periuk pengukus berisi air di atas dapur. Nyalakan api dapur
2. Panaskan minyak sapi dalam kuali. Masukkan daun pandan, serai, halia, bawang besar dan bawang putih serta kismis.
3. Tumis sehingga bawang menjadi layu.
4. Kemudian masukkan bahan penumis dan kacau sebati sehingga harum.
5. Masukkan beras dan gaul rata.
6. Tuangkan susu cair, air mawar, garam, gula dan air.
7. Kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan mula mengering.
8. Pindahkan bahan masakan tadi ke dalam periuk pengukus.
9. Kukus menggunakan api besar selama 20 minit atau sehingga masak.
10. Buka penutup pengukus dan titiskan beberapa titis pewarna oren. Tutup kembali penutup. Ada yang suka buat lubang di atas nasi, dan tuangkan pewarna. Ikut suka masing-masinglah. Amie suka sedikit warna, jadi Amie hanya titis-titiskan sahaja dan kemudian setelah nasi masak, gemburkan nasi agar warna merata.
Inilah rupa Nasi Minyak hasil air tangan Amie. Pewarnanya pun tidak begitu merata, hanya sedikit sahaja. Memang Amie suka!
Dan kita lihat pula lauk Nasi Minyak iaitu Kurma Daging. Kurma Daging ini memang sedap kalau masak ikut arahan.... ahaks! Amie ikut satu persatu arahan Che Jah, mentua adik Amie, empunya resepi ini.
Sumber : Che Jah
Bahan-bahan:
1 kg daging - potong ikut citarasa
3 biji kentang - belah 2
3 sudu makan rempah kurma
200ml santan
segenggam daun pudina
3 biji cili hijau - belah 2
1 biji limau nipis - ambil jusnya
sedikit minyak dicampur dengan minyak sapi / mentega / marjerin
3 cawan air
garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk halus / kisar :
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2cm halia
sejemput jintan manis - 1/2 sudu makan
sejemput jintan putih - 1/2 sudu makan
sejemput buah pelaga - 3-4 biji
1 batang kulit kayu manis - 3cm
bunga cengkih - 3-4 biji
2 kuntum bunga lawang
Cara:
1. Rebus daging bersama rempah kurma sehingga lembut - Amie rebus dengan api sederhana sehingga kuah pekat.
2. Panaskan sedikit minyak dan campurkan dengan sedikit minyak sapi / mentega / marjerin.
3. Tumis bahan kisar hingga wangi.
4. Masukkan daging bersama kentang. masak hingga kentang empuk.
5. Tambahkan santan, dan biarkan sehingga kuah agak pekat.
6. Masukkan garam / gula / perasa pilihan, cili hijau dan daun pudina.
6. Perlahankan api supaya terbit minyak.
7. Sebelum kurma daging diangkat, perahkan jus limau nipis ke atasnya.
Jangan lupa perahan jus limau nipis dalam kedua-dua resepi Nasi Minyak & Kurma Daging!
Selamat mencuba!
0 comments