Siput Kahanga Masak Lemak Tempoyak
4:50 PTG
Minggu lepas dan minggu ini Encik Suami sering balik lewat hingga ke malam. Ada urusan luar daerah yang perlu diselesaikan. Pada masa yang sama, jika berkesempatan Encik Suami akan singgah membeli oleh-oleh berupa ikan dan sayur-sayuran. Pada petang Isnin, dua hari yang lalu ketika Encik Suami pulang, Amie sedang menidurkan Firdaus. Sempat Encik Suami menjenguk ke bilik dan bersuara perlahan : Ada kahanga dengan ikan belanak. Masuk peti sejuk ya?
Petang ini Amie masak kahanga.
Apa itu kahanga?
Kahanga sejenis siput laut.
Cengkerangnya agak keras dan mempunyai jari- jemari yang runcing seakan-akan duri besar. Amie tak dapat nak tunjukkan rupa kahanga sebab kahanga yang Amie masak ini sudah dibuang kulit cengkerangnya. Maknanya, Encik Suami beli isi kahanga. Kahangan boleh dinikmati mengikut olahan citarasa masing-masing. Ada yang suka bakar, dan makan dengan pencecah tertentu. Ada yang suka masak kicap, goreng bercili dan sebagainya. Amie cuba 'komersial'kan haiwan laut ini sebagai Siput Kahanga Masak Lemak Tempoyak. Kebetulan ketika Amie telefon Encik Suami, katanya dalam perjalanan pulang. Eloklah, boleh makan tengahari merangkap makan malam bersama-sama.
Amie bubuh lebih sedikit cili padi, dan memang pedas tapi teramatlah sodapnya! Apalagi bila ditambah tempoyak! Encik Suami dan Fairuz pun menambah-nambah nasi dalam pinggan masing-masing. Jom lihat resipinya di bawah ini:
Bahan-bahan:
400 gram isi kahanga - potong ikut saiz yang digemari - cuci bersih - toskan
7 biji belimbing buluh - belah jangan sampai putus
1 papan petai - ambil isinya
1 batang serai - diketuk
3 cawan santan
1 helai daun kunyit - siat dan simpul
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
3 sudu besar tempoyak
2 cm kunyit hidup
1/2 sudu kecil belacan
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
30 biji cili padi kampung
Cara memasak:
1. Masukkan santan dan semua bahan kisar, serai, kahanga ke dalam periuk.
2. Masak di atas api sederhana. Kacau selalu.
3. Apabila kuah mula mendidih, dan kahanga mula mengecut, masukkan petai dan belimbing buluh.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan. Biarkan masak seketika lagi, sambil dikacau.
5. Padamkan api dapur.
Aduhai!
1 comments
Aduhh sayangnya tak leh tgk mcm mana rupa siput tu
BalasPadam