Pucuk Paku Tumis Pedas Dengan Udang
1:44 PTG
Akhir-akhir ini cuaca selalu mendung. Hujan turun mencurah-curah membasahi bumi. Tumbuh-tumbuhan bertambah subur. Zaman kanak-kanak dahulu, waktu beginilah yang selalu kami nantikan. Kalau kebetulan cuti sekolah, seronoklah kami mengutip kulat di batang pokok getah yang tumbang, dan memetik pucuk paku pakis yang merimbun subur di pinggir hutan.
Selain paku pakis, kami turut mengutip kangkung dan juga bayam. Bonda paling suka kalau ada pucuk paku tanjung selain pucuk paku udang. Pucuk paku tanjung berwarna hijau dan saiznya lebih besar berbanding pucuk paku udang. Bonda suka masak tumis pucuk paku, dan ia juga sedap dimasak lemak cili padi atau diolah bersama kangkung dan bayam dijadikan kerabu.
Huurrmmm.... itu cerita dulu!
Cerita sekarang, kalau nak masak pucuk paku pergi sahajalah ke pasar...hiks!
Marilah jamu mata, lihat apa yang ada di bawah tudung saji di dapur Amie ini.
Kali ini Amie kongsikan resipi Pucuk Paku Tumis Pedas Dengan Udang. Jom lihat resipinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 cekak paku pakis tanjung - 20 batang - ambil pucuknya dan bahagian batang yang lembut
15 ekor udang basah - bersihkan
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk / kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
20 biji cili padi
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut (boleh gantikan dengan belacan)
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan udang basah dan tumis lagi sehingga udang berubah warna.
3. Kemudian masukkan pucuk paku dan gaul rata.
4. Setelah pucuk paku berubah warna, tambahkan garam / gula / perasa pilihan.
5. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
Amie ratah sahaja Pucuk Paku Tumis Pedas Dengan Udang ini.
2 comments
kalau saya, terjah dekat udang tu dulu...
BalasPadamsudipVSsenduk,
BalasPadamjemput.