Apam Puteri Ayu - Kuih Tradisional Yang Sedap dan Seindah Namanya!
8:01 PTG
Bertemu lagi di dapur maya yang seadanya ini.
Kali ini Amie ingin kongsikan sejenis kuih tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Peredaran masa dan perubahan suasana adakalanya memberi sedikit sebanyak kesan ke atas kuih-muih Melayu tradisional. Seiring dengan kecanggihan teknologi dan kreativiti masing-masing, wujudlah pelbagai rupa dan bentuk serta warna mengikut kesesuaian dan citarasa.
Kita buat apam!
Bila sebut tentang apam, banyaklah kenangan lama menjelma dalam ingatan!
Amie membesar bersama 'apam' air tangan Bonda! Bonda akan membuat adunan apam sebelum tidur, dan sudah tentunya keesokan paginya apam akan dijadikan alas perut kami seisi keluarga. Seingat Amie, memang pelbagai warna dan bahan yang Bonda gunakan untuk membuat apam. Boleh dikatakan dalam seminggu, mesti dua atau tiga kali Bonda mengukus apam di malam hari! Selepas belajar mengaji al-Quran dan menunaikan solat Isya', kami adik-beradik akan turun ke dapur berkeliling duduk menghadap Bonda bersama bahan-bahan untuk membuat apam. Dan, ketika adunan dituang ke dalam loyang, kami pun mula beransur meninggalkan dapur untuk tidur atau menyiapkan kerja sekolah. Tinggallah Bonda di dapur menjaga kayu api yang marak, digunakan untuk mengukus apam.
Sesungguhnya kenangan itu tidak ternilai harganya!
Yang tinggal hanyalah sebuah nostalgia yang dipenuhi sejuta rasa rindu!
Dan rindu itulah yang sering menggamit untuk kembali mengimbau masa lalu!
Untuk perkongsian resepi kali ini (sebelum ini Amie pernah kongsikan di dapur maya ini), Amie tidak gunakan sebarang pewarna. Amie gunakan jus pandan, dan walaupun warna hijaunya kelihatan agak pucat, tapi Amie rasa seronok sebab rasanya sangat sedap!
Amie gunakan sukatan orang kampung, guna sudu dan cawan sahaja. Kepada yang lebih gemar gunakan timbangan, bolehlah rujuk Pak Google untuk mencari alamat dapur blogger yang gunakan timbangan. Selain santan pekat, Amie tambahkan susu cair dalam adunan.
Bahan A:
2 cawan kelapa parut muda / ambil yang putih
1 sudu besar tepung ubi
garam secukup rasa
Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum - diayak
1 cawan gula kastor
1 cawan santan pekat
2 sudu besar susu cair
3 biji telur ayam - gred A
1 sudu kecil ovallette
1 sudu kecil baking powder - diayak
2 sudu besar jus daun pandan - (5 helai daun pandan, tambah sedikit air, kisar dan tapis)
minyak secukupnya - oleskan pada acuan
Cara:
1. Masukkan kesemua bahan A ke dalam sebuah bekas. Gaul sebati dan ketepikan.
2. Pukul telur bersama gula kastor sehingga kembang.
3. Kemudian masukkan jus pandan, susu cair, santan pekat, tepung gandum dan baking powder.
4. Gaul sebati dan ketepikan.
5. Didihkan air dalam pengukus.
6. Masukkan sedikit kelapa ke dalam acuan dan tekan sehingga padat.
7. Seterusnya tuang adunan ke dalam acuan yang berisi kelapa tadi.
8. Kukus selama 10-12 minit.
Walaupun bentuk dan rasanya agak berbeza dengan hasil air tangan Bonda, namun sedikit-sebanyak mampu mengurangkan rasa rindu zaman kanak-kanak di kampung halaman berpuluh tahun lalu!
Membuat adunan hingga ke malam,
Resepi warisan kuih Melayu,
Apam bukan sebarang apam,
Apam tradisi Puteri Ayu!
2 comments
Kita orang suka apam kampung cecah dengan air kopi minum waktu hujan turun. perghhhh sedap
BalasPadamNootie,
BalasPadamseronok zaman kecik2 dulu, apa sahaja jenis biskut dll celup dalam kopi...adeeeehhhh sodap!