Jalan-Jalan Cari Sayur & Buah di Pasar Tani LD
8:22 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Pagi tadi sempat jalan-jalan ke Pasar Tani LD. Banyak jualan sayuran segar seperti pucuk paku-pakis, paku rawan, pucuk ubi, pucuk betik, rebung buluh, pucuk geti, cili padi dan segala macam hasil kampung. Lokan dan siput laut pun ada. Apalagi sewaktu melihat buah-buahan, rasa hendak borong banyak-banyak! Ada jambu, nangka, belimbing besi, pelbagai jenis pisang dan entah apa lagi.
Kami beli untuk keperluan:
- Pucuk dan Bunga Betik
- Terung Pipit
- Genjer
- Umbut Kelapa Sawit
- Durian Belanda
- Buah Salah
- Jambu Batu
Hasil dari Pasar Tani LD. |
Kami pilih batang genjer berbunga dan berdaun muda. Tangkainya panjang dan daunnya apabila kembang kelihatan seperti daun teratai kecil.
Rasa genjer sedikit pahit dana agak berlendir tetapi kalau dimasak tumis pedas, sedaplah pula. Tak sabarlah pula hendak masak tumis sambal belacan!
Pucuk & Bunga Betik |
Tidak ketinggalan beli sayur kegemaran Encik Suami, pucuk dan bunga betik. Biasanya Amie akan masak tumis dengan udang kering. Agak lama juga tidak masak lodeh, iaitu masakan tradisi masyarakat Melayu Cocos. Biasanya masakan lodeh mereka pucuk dan bunga betik ditambah dengan pucuk ubi dan jantung pisang.
Umbut Kelapa Sawit |
Tak ada umbut kelapa, dapat umbuk kelapa sawit pun jadilah. Sekarang agak susah hendak dapat kelapa parut! Maklumlah kelapa sawit sudah ambil alih tanaman pokok kelapa. harapkan santan kotak sahajalah.
Terus terbayang masak lemak putih umbut kelapa sawit!
Terung Pipit |
Walaupun ada pokok terung pipit di belakang rumah, tetapi tidaklah berbuah lebat untuk sekali petik. Belilah juga terung pipit di pasar tani. Sedapnya kalau sudah jadi sambal!
Keluarga Encik Suami panggil terung pipit ini buah rengas. Selain terung pipit, nama lainnya ialah terung rembang, terung manggul, terung lalat dan terung hutan. Orang putih sebut namanya sebagai Turkey berry atau wild pea eggplant.
Bonda panggil cepokak!
Waktu kecil dahulu selalu disuruh petik terung pipit dikebun. Terasa-rasa lagi gatal-gatal lengan sebab terkena bulu putih di batang pokok terung pipit. Bonda suka buat ulam. Kadang-kadang dibuat sambal.
Waktu kecil dahulu selalu disuruh petik terung pipit dikebun. Terasa-rasa lagi gatal-gatal lengan sebab terkena bulu putih di batang pokok terung pipit. Bonda suka buat ulam. Kadang-kadang dibuat sambal.
Durian Belanda, Jambu batu & Buah Salak |
Durian Belanda |
Kami suka beli durian belanda sebab:
- Kaya dengan antioksidan
- Meningkatkan sistem imun
- Menyokong kesihatan jantung
- Membantu penvernaan
- Menenangkan dan bantu tidur
- Mengandungi unsur perubatan herba Nusantara
Dulu di kebun arwah MIL pokok durian belanda berbuah lebat. MIL suka buat ais krim durian belanda.
Buah Salak |
Sekarang jarang sangat hendak jumpa buah salak di LD. Dahulu, zaman Abang Farid masih kecil kami selalu bawa buah salak sebagai oleh-oleh balik ke Malaya. Banyak jenis buah salak boleh dipilih terutama yang manis dan harum. Kali ini tiada pilihan. Buah salak yang dijual pun tidak banyak. Dapatlah beli sekilogram.
Jambu Batu Tanpa Biji |
Nampak jambu batu, teringinlah pula beli yang tidak ada biji. Rupanya yang tidak berbiji ini sudah kena reject. Yang elok sempurna sudah habis dibeli pelanggan. Tidak apalah, belilah sekilogram dapatlah lima biji. Hari ini sahaja, sudah dua biji Amie makan jambu batu tidak berbiji ini.
Teringat sewaktu di sekolah rendah, cikgu beritahu jambu batu mengandungi vitamin C yang sangat tinggi kira-kira 4 atau 5 kali ganda lebih banyak daripada oren, dan 20 kali lebih banyak daripada epal! Kata-kata cikgu itu Amie ingat tapi nama dan rupa cikgu itu sudah lupa! Terima kasih cikgu.
0 comments