Berkenalan dengan Asam Keueng dan Keumamah di L'Pante Cafe Banda Acheh
8:36 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Ketibaan kami di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda Aceh disambut oleh hujan. Oleh kerana hujan semakin lebat, lawatan kami ke Kuburan Massal Tsunami di Siron hanya dapat dilihat dari dalam kenderaan sahaja. Kami solat maghrib di Masjid Raya Baitulrahman. Sebelum daftar masuk hotel, kami makan malam di L'Pante Cafe di banda Acheh.
Pemandung pelancong merangkap pemandu kenderaan kami bernama Pak Arman. Dalam perjalanan menuju ke tempat makan, Pak Arman memperkenalkan dua jenis menu popular masyarakat Acheh iaitu kemamah dan asam ke'e. Barangkali sebutan dan ejaan mereka berbeza. Setelah Amie rujuk Pak Google, rupanya kemamah itu dieja keumamah dan asam ke'e itu ejaannya asam keueng.
Sampai di L'Pante Cafe, ruang makan penuh dengan para pelancong dari negara kita. Memang luas sungguh tempatnya. Memandangkan ketika itu sudah malam dan hujan pula, tidaklah kami dapat menikmati pemandangan tepi pantai!
Teruja sungguh kami apabila dihidangkan dengan nasi dan lauk-pauk seperti berikut:
- Nasi Putih
- Jus Tembikai
- Buah Tembikai dan Betik
- Udang Goreng Salut Tepung
- Ikan Masin Goreng
- Ikan Masak Masam Manis
- Sayut Kangkung Tumis
- Ayam Goreng Daun Kari
- Tempe & Tauhu Goreng
- Asam Keueng Udang
- Keumamah
| Keumamah + Sayur Kangkung + Ayam Goreng Daun Kari + Ikan Masin |
| Ayam goreng ini terletak di bawah timbunan daun kari. Besar lebar daun karinya. sedap pula kunyah daun kari! |
| Jus Tembikai |
Inilah asam keueng yang pada pendengaran kami bunyinya asam ke'e atau sangke'e! Daun dalam asam keueng itu daun kari.
| Asam Keueng |
Asam keueng ialah masakan tradisional Aceh yang terkenal dengan rasa masam dan pedas. Dalam bahasa Acheh, asam bermaksud masam, dan keueng bermaksud pedas. Jadi, asam keueng bermakna masam pedas dan menggambarkan dua rasa utama dalam hidangan ini.
Menurut Pak Arman, biasanya bahan yang digunakan dalam masakan ialah ikan laut seperti ikan tongkol, ikan kakap, atau ikan kembung tetapi ada juga versi dengan daging atau udang.
Bahan lain termasuklah asam sunti atau belimbing wuluh kering (belimbing buluh) yang akan menerbitkan rasa masam, cili padi, kunyit, serai, bawang merah, bawang putih dan daun kari.
Sewaktu kami mencicipi, kuah yang berwarna kuning, ada rasa masam, pedas, dan segar, dan membangkitkan selera untuk terus menghirupnya.
Kata Pak Arman lagi, asam keueng merupakan antara menu wajib dalam masakan harian masyarakat Acheh, sama seperti asam pedas dalam masakan Melayu.
| Keumamah |
Pada mulanya, telinga kami mendengar perkataan 'kemamah' seperti yang disebut oleh Pak Arman. Rupanya ejaannya keumamah. Keumamah merupakan makanan tradisional Acheh yang sangat terkenal. Di beberapa tempat lain di Nusantara, termasuk negara kita kemamah dipanggil ikan kayu. Kemamah merupakan hidangan warisan yang mencerminkan cara hidup masyarakat Acheh yang bijak memanfaatkan hasil laut dan menjaga ketahanan makanan sejak zaman dahulu.
Keumamah yang berasal dari Aceh, Indonesia ini sudah wujud sejak zaman perang Aceh lagi. Pada masa itu, masyarakat dan para pejuang memerlukan makanan yang tahan lama, mudah dibawa, dan tidak cepat rosak. Maka, ikan laut seperti ikan tongkol atau ikan tuna kecil dikeringkan dan dijadikan keumamah.
Jom belajar cara membuat keumamah. Ikan segar dibersihkan, direbus, kemudian dijemur di bawah matahari sehingga kering sepenuhnya. Setelah kering, ikan menjadi keras seperti kayu dan sebab itu dinamakan ikan kayu. Untuk dimasak, ikan kering ini akan direndam semula, dihiris halus, dan dimasak dengan rempah Aceh yang kaya seperti serai, kunyit, lengkuas, cili, dan daun kari.
Dalam bahasa Pak arman, rasa keumamah ini gurih, pedas, dan beraroma rempah yang kuat. Teksturnya agak liat tetapi sedap apabila digaul dengan nasi panas. Warna masakannya biasanya keemasan atau sedikit kehitaman, bergantung pada rempah dan cara memasak.
Keumamah sering dijadikan bekal perjalanan jauh, terutama oleh nelayan dan perantau. Dalam budaya Acheh, ia juga menjadi lambang ketahanan dan kecekalan, kerana proses pembuatannya memerlukan kesabaran.
Hurrmmm.... kami berempat keturunan Bugis, Jawa, Bajau dan Melayu datang ke Acheh, habis licin hidangan keumamah kami nikmati!
| Terima kasih pelayan cafe ambilkan gambar kami walaupun kepalanya semua kabur... ahaks! |
3 comments
Asam Keueng tu terasa2 sedapnya. Rupa macam masak asam keladi arwah tok masak dulu. Semua pun nampak sedap Kak Amie. Thanks for sharing info asal nya keumamah ni. Kalau masak kering2 memang akan tahan lama selalu nya kan.
BalasPadamOh asam pedas maksudnya...rupa dan gambaran rasa tu seakan khengsom Thailand. pun ada..asam pedas utara pun ada...
BalasPadamMacam baru dengar je cerita pasal "keumamah" tu.. rasa tengok dalam TV.. memang sedap lah hirup kuah asam tu hujan²..
BalasPadam