Makan Nasi Briyani Pakistan dengan Chapli Kebab
8:24 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Selepas solat Jumaat, Encik Suami hantar Amie berurusan di Fajar Centre. Selesai urusan kami jalan-jalan cari makan. Encik Suami ajak singgah di Kedai Makan Pakistan. Katanya, kalau hari Jumaat ada nasi briyani. Nasi Briyani di Kedai Makan Pakistan cepat habis. Tidak tahulah masih ada lagi atau sebaliknya. Tawakkal sahajalah ikut Encik Suami.
Nasi Briyani dengan Chapli Kebab |
Alhamdulillah, nasi briyani masih ada tetapi hanya tinggal beberapa ketul ayam goreng sahaja. Ada daging masak roasht. Ada kari ayam dan pelbagai lauk lain. Kalau ada ikan goreng, memang Amie hendak makan nasi briyani dengan ikan goreng saja. Dulu beberapa kali pernah makan nasi briyani dengan ikan goreng di sini, tetapi hari ini tidak ada pula.
Nampak ada mutton karahi (kari kambing) tetapi tinggal koret-koret kata SK Tanah Jauhar. Macam tak cukup saja untuk dibuat lauk sebab tulang lebih banyak dari isi. Apa pun untuk tidak rasa kempunan, minta jugalah koret-koret mutton karahi yang ada sebab kita suka kuahnya yang ada rasa semula jadi gabungan tomato dengan bawang besar. Pada masa yang sama cari pasal dan ambil kesempatan memesan chapli kebab!
Nasi Biryani Pakistan ini sudah cukup enak walaupun makan tanpa lauk. Ada lauk lagilah sedap... ahaks! Istimewanya, ada aroma wangi air mawar dapat dihidu ketika menyuap nasi ke mulut. Memang ada beza dengan nasi briyani yang selalu kami makan di kedai mamak atau kedai India. Rempah Nasi Briyani Pakistan dan tidak terlalu kompleks tetapi tetap menggunakan rempah ratus seperti jintan, bunga lawang, kayu manis, buah pelaga dan bawang goreng. Warna nasi bercampur putih, kuning keemasan atau jingga kerana pewarna makanan atau saffron.
Ayam Goreng |
Kalau ikut saiz ayam bahagian sukuan peha, sudah tentu akan kelihatan besar apabila digoreng. Namun begitu ayam goreng Pakistan nampak kecil dan kurus. Hal ini kerana mereka akan buang kulit ayam tersebut!
Di Pakistan dan juga banyak tempat di Asia Selatan, memang kebiasaan ayam dimasak tanpa kulit. Ini memang Amie melihat sendiri sewaktu jalan-jalan ke Pakistan, ayam yang dijual tanpa kulit, mungkin disiat terus atau dilapah seperti melapah kulit kambing. Darah masih menitis, bermakna mereka tidak celup ayam di dalam air panas untuk proses melembutkan kulit supaya senang dimesin / dicabut kulit seperti halnya di tempat kita.
Ramai orang Pakistan lebih suka rasa ayam tanpa kulit kerana dianggap lebih bersih dan kurang berminyak. Dalam masakan berkuah atau kari, kulit ayam boleh jadi liat, lembik, dan tidak begitu digemari. Barangkali inilah budaya dan selera mereka.
Masakan Pakistan banyak menggunakan kari berkuah pekat, tumisan minyak, dan masak lama atau slow cook. Jika sekiranya kulit dibiarkan, ia akan hancur seterusnya berminyak dan menjadikan kuah terlalu berat. Dengan buang kulit, rasa daging lebih menyerlah, dan kuah lebih ringan serta bersih.
Kalau kita buang kulit ayam sudah tentu sebab percaya kulit ayam tinggi kolesterol dan lemak, jadi dibuang untuk kurangkan risiko kesihatan. Begitulah cerita dan pandangan tentang kulit ayam.
Apa pun kulit ayam goreng crispy memang tak tolak... ahaks!
Mutton Karahi |
Mutton Karahi merujuk kepada masakan Pakistan berasaskan kambing yang menggunakan bawang dan tomato. Mutton Karahi merupakan hidangan paling terkenal di Pakistan. Sama seperti masak Chicken Karahi, Mutton Karahi dimasak dalam karahi (sejenis kuali besi dalam), menggunakan kambing, bawang, tomato, halia, bawang putih, dan rempah seperti jintan dan ketumbar, cili dan garam masala. Kuahnya pekat, berwarna merah keorenan, penuh aroma tomato segar dan bawang. Kalau kita makan di Paskistan samada Mutton Karahi atau Chicken Karahi akan dihidang menggunakan kuali (karahi).
Acar Timun |
Dalam hidangan briyani Pakistan sebenarnya ada dua jenis lauk sampingan iaitu raita (yogurt dicampur timun parut, bawang, tomato, pudina dan cili hijau) dan salad segar. Selain itu mereka turut menghidangkan jeruk masin masam pedas yang diperbuat daripada mangga muda, lobak atau cili hijau.
Barangkali mereka menghidangkan acar timun sekadar untuk memenuhi citarasa di tempat kita.
Chapli Kebab |
Chapli Kebab |
Chapli kebab inilah yang ditunggu-tunggu dan terakhir sampai di meja kerana perlu dimasak terlebih dahulu. Chapli kebab ini sejenis kebab tradisional dari Pakistan dan Afghanistan yang sangat terkenal, terutama di wilayah Khyber Pakhtunkhwa (Peshawar). Chapli kebab berbentuk leper dan bulat macam patty atau burger daging yang dibuat daripada daging cincang. Biasanya daging lembu atau kambing yang dicampur dengan rempah ratus untuk menghasilkan aroma yang wangi.
Tekstur chapli kebab nampak leper dan besar dan berbeza dengan kebab lain yang biasanya panjang. Amie sukakan adunan daging dicampur dengan bawang, tomato cincang, ketumbar, jintan, lada hitam, cili dan bawang putih. Resipi asal chapli kebab, untuk mendapatkan rasa masam, kadang-kadang ditambah serbuk delima kering. Chapli kebab dimasak dengan menggunakan minyak yang banyak.
Apabila digigit dan dikunyah, ada rasa pedas (terjumpa hirisan cili hijau di dalam chapli kebab) dan beraroma. Dagingnya lembut (bukan dari daging cincang dalam paket) tetapi dicincang dari daging segar. Sewaktu Amie makan, terkunyah biji ketumbar yang kasar. Sedap!
Nasi Briyani & Chapli Kebab |
Amie - Sirap Limau |
Encik Suami - Teh Pakistani |
Ketika minum baru tersedar mengapa Encik Suami bersungguh-sungguh untuk makan di sini. Rupanya dia rindu Teh Pakistani!
Kami beli sebungkus Nasi Briyani Pakistan bawa pulang untuk Firdaus. Hari ini Firdaus pulang awal dari sekolah agama. Jadi, tak perlu masak. Makan saja Nasi Briyani Pakistan.
Nasi Briyani Pakistan Ayam Goreng untuk Firdaus. |
3 comments
Isssssh, jadi nak cari restoran Pakistan. Tak pernah lihat pula di JKT... Di KL lah saya cari nanti, saking penasaran rasa Chaplin kebab kak 😍😍😍😍.
BalasPadamSaya bayangkan sedapnya briyani Pakistan ini apalagi ada aroma mawar saat disuap ❤️❤️. Jaraaang tuh. Briyani yg saya coba belum pernah tercium aroma mawar
Terasa nak menitik ailio baca penerangan Kak Amie tentang masakan Pakistan ni 🤭
BalasPadamSedapnyer nasi beriani (sp) diregukan dengan menu kambing.
BalasPadam