Nasi Lauk Kurma Ayam & Acar Peria
2:53 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah. Pagi tadi sempat menyelit ke dapur sediakan makan tengah hari. Amie masak Kurma Ayam sebagai lauk utama, dan Acar Peria sebagai pelengkapnya. Namun begitu, memandangkan hanya masak sekali untuk makan sampai ke malam, jadi Amie tambahkan ikan goreng daun kari. Masih ada baki sambal kuinin, jadi Amie cincang buah kuinin sebiji lagi dan tambahkan cili padi tumbuk.
| Lauk makan tengah hari & malam. |
| Kurma Ayam |
Kurma Ayam ini penuh aksesori sebab Amie hendak habiskan saki-baki bahan masakan seperti kentang, lobak merah, telur dan cili. Oleh kerana akhir-akhir ini jarang masak, jadi banyaklah saki-baki bahan basah dalam peti sejuk yang hampir rosak.
Kurma ayam memang terkenal dengan rasa yang lembut, lemak berempah dan tidak pedas. Ramuan kayu manis, bunga lawang, bawang, halia dan santan menjadikan kuahnya pekat beraroma, namun tetap ringan untuk perut waktu tengah hari. Ada orang suka guna sedikit kismis untuk tambah lapisan rasa manis semula jadi.
| Acar Peria |
Sepatutnya Amie hendak gandingkan Kurma Ayam dengan acar timun, tetapi timunnya sudah berair. Nampak ada sebiji peria, baiklah hiris-hiris dibuat acar. Encik Suami suka makanan pahit-pahit begini. Sebenarnya acar peria ini tidaklah pahit mana, pahit-pahit manja saja.
Apa pun acar peria ini menjadi penyeimbang rasa di antara lemak kurma ayam disuap bersama nasi panas.
| Ikan Jepun Goreng Daun Kari |
Kelmarin goreng ikan jenahak dengan daun kari, habis licin dengan daun karinya sekali. Rupanya Firdaus suka gorengan ikan dengan daun kari. Dia makan daun karinya yang rangup itu! Jadi Amie goreng lagi ikan tapi gunakan seekor ikan sulig @ ikan Jepun. Amie tambahkan dengan daun kari dan nampak betul Firdaus sukakannya.
| Sambal Kuinin |
Oleh kerana ada sebiji lagi buah kuinin yang tidak berusik, jadi Amie tambahkan ke dalam baki sambal kuinin kelmarin. Kali ini rasanya lebih pedas sebab Amie lebihkan cili padi. Amie goreng emping melinjo yang dibeli dari Acheh. Sedaplah makan emping melinjo cecah sambal kuinin!
| Kurma Ayam |
Seperti biasa kalau masak kurma Amie akan gunakan resipi yang dikongsikan oleh Che Jah, mentua Adik Chah. Resipinya memang power! Bukan sahaja sedap dinikmati bersama keluarga, hendak dijadikan lauk rumah terbuka atau majlis lain pun tentu tetamu suka. Resipi ini Amie perolehi daripada beliau pada tahun 2013 : Kurma Ayam Resipi Che Jah Memang Power!
Bahan-bahan:
- 600 gram daging ayam - potong 8
- 4 biji kentang - belah 2
- 1/2 batang lobak merah - potong ikut suka (ini Amie tambah dari resipi asal)
- 3 sudu besar rempah kurma
- 200 ml pati santan
- 3 biji telur rebus - Amie tambah
- segenggam daun pudina - Amie tidak ada daun pudina
- 2 tangkai cili hijau - belah 2
- 2 tangkai cili merah - belah 2
- 1 biji limau nipis - ambil jusnya
- 3 sudu besar minyak dicampur dengan satu sudu besar minyak sapi / mentega / marjerin
- garam / gula / perasa pilihan
- 3 cawan air
Bahan tumbuk halus / kisar :
- 5 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 2 cm halia
- 1 sudu kecil jintan manis kasar
- 1 sudu kecil jintan putih kasar
- 3 biji buah pelaga
- 1 batang kulit kayu manis - 3 cm
- 3 kuntum bunga cengkih
- 2 kuntum bunga lawang
- Panaskan minyak dan campurkan dengan satu sudu besar minyak sapi / mentega / marjerin.
- Tumis bahan kisar hingga wangi.
- Masukkan rempah kurma, dan gaul sebati menggunakan api perlahan.
- Masukkan daging ayam bersama kentang dan lobak merah. Tambahkan air.
- Masak hingga daging ayam dan kentang serta lobak merah empuk.
- Tambahkan santan, dan biarkan sehingga kuah agak pekat.
- Masukkan garam / gula / perasa pilihan, cili hijau, cili merah, telur rebus dan daun pudina - Amie tak ada daun pudina.
- Perlahankan api supaya terbit minyak - lebih lama direnih, kuahnya lebih mesra.
- Sebelum kurma ayam diangkat, perahkan jus limau nipis ke atasnya.
| Bismillah |
1 comments
sedapnya menu thari goreng ikan dgn daun kari harum n rangup.......daun kari banyk khasiat boleh cuba ni
BalasPadam