Resipi Ayam Tangkap Khas Aceh (Ayam Goreng Daun Kari) : Cuba Sekali Rasa Hendak Makan Lagi!
8:41 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Seronok pula rasanya mencuba resipi Ayam Tangkap Khas Aceh dari negara jiran. Secara tidak sengaja Amie paparkan gambar menu ayam goreng penuh dengan daun kari di sini: Berkenalan dengan Asam Keueng dan Keumamah di L'Pante Cafe Banda Acheh. Dalam entri tersebut Amie cerita tentang pelbagai jenis lauk dihidangkan untuk makan malam kami. Salah satunya ialah ayam goreng berdaun kari. Ayamnya dipotong kecil dan tersembunyi di bawah timbunan daun kari yang digoreng. Amie sempat mencicipi seketul dan rasanya sangat enak! Sayangnya walaupun mulut boleh menerima tetapi perut sudah penuh, jadi tidaklah tumpukan sepenuh perhatian kepada ayam goreng tadi. Tambahan pula banyak lauk-pauk lain dan kami lebih banyak beri perhatian kepada menu keumamah dan asam keueng.
Di hotel, setiap kali sarapan memang terpandang ayam goreng dan ikan goreng berdaun kari! Hal ini menyebabkan Amie membuat anggapan bahawa penggunaan daun kari tidak dapat dipisahkan dalam beberapa menu di Banda Aceh! Apa tidaknya, dalam masakan asam keueng pun ada daun kari.
Amie sebenarnya tidak tahu nama sebenar menu ayam goreng daun kari sehinggalah Blogger Fanny @ dcatqueen beritahu namanya AYAM TANGKAP! Terima kasih dik Fanny atas infonya.
Amie mencari maklumat lanjut melalui Pak Google tentang menu Ayam Tangkap Khas Aceh. Setelah membaca beberapa resipi, Amie putuskan untuk mencuba resipi yang mudah dari Cookpad - Nauzaery Setyo.
Ayam tangkap merupakan masakan khas Aceh. Pertama kali diberi nama ayam semak belukar, berubah menjadi ayam tangkap, konon katanya zaman dahulu ketika hendak memasak ayam goreng ini, orang harus mengejar dan menangkap ayam yang berkeliaran diluar terlebih dahulu. Jadilah sekarang namanya Ayam Tangkap.
Ayam tangkap sendiri sebenarnya ayam goreng biasa tetapi yang membezakan dengan ayam goreng yang lain, Ayam Tangkap digoreng dan disajikan dengan banyak rempah daun, sehingga ketika hendak menikmatinya, kita kena mencari ayamnya yang tersembunyi di bawah timbunan rempah daun kering (daun kari).
Menurut empunya resipi ini, sekiranya hendak tambahkan buah keras, ketumbar atau lengkuas, boleh sahaja. Amie baca dalam resipi lain, ada juga ditambah hirisan daun limau purut dan juga daun kunyit. Bagaimanapun untuk menu Ayam Tangkap buat kali pertama, Amie hanya gunakan bahan yang ada sahaja.
| Ayam Tangkap Khas Aceh |
| Labu Manis Masak Lemak dengan Bayam |
Amie minta tolong Encik Suami bantu buatkan kicap lada. Dalam hati mengumpat Encik Suami sebab lama sangat hendak siapkan kicap lada. Mungkin dikira dulu berapa biji lada dan bawang putih barulah dimasukkan dalam chopper. Hendak tambahkan jus limau pun bertanya lagi, gunakan limau nipis atau limau kasturi.
Dari Amie mula potong ayam, masak nasi dan masak sayur sampailah siap semuanya, barulah Encik Suami dapat hidangkan kicap ladanya!
| Kicap Lada |
Tak sabar rasanya hendak jamah nasi panas-panas dengan Ayam Tangkap Khas Aceh. Sewaktu menggoreng pun, sempat juga dua tiga kali ambil ayam goreng masuk dalam mulut! Seperti biasa, siaplah hidangan makan tengah hari yang terlewat sebab sudah pukul lima petang. Ketika Amie hendak kaut nasi dari rice cooker... alamak! Lupa teka butang on. Dalam rice cooker hanya ada beras dengan air sahaja!
Allahu Akbar!
Terpaksalah tunggu lebih kurang dua puluh lima minit untuk makan nasi.
Terpaksalah tunggu lebih kurang dua puluh lima minit untuk makan nasi.
Dalam hati berkata : Sibuk mengumpat Encik Suami lambat siapkan kicap lada, tak sedar nasi yang sendiri masak masih beras!
| Cili Putih |
Jom kita cerita tentang resipi Ayam Tangkap Khas Aceh. Kebetulan Encik Suami petik cili putih di belakang rumah, jadi Amie goreng sekalilah dengan daun pandan dan daun kari. Cuma Amie tidak goreng bawang merah, sebab malas hendak kupas dan hiris.
| Ayam Tangkap Khas Aceh |
Ayam Tangkap Khas Aceh
(Resipi Nauzaery Setyo)
Bahan-bahan:
(Resipi Nauzaery Setyo)
Bahan-bahan:
- 1 ekor ayam kampung - Amie gunakan 600 gram ayam daging
- 1 biji limau nipis - ambil jusnya
- 3 sudu besar air asam jawa - dari 3 mata asam
- 2 sudu teh - sesuai selera
- 300 ml air kelapa - dari sebiji kelapa
- minyak secukupnya
Bumbu halus:
- 6 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 5-8 cili padi hijau - optional
- 1 sudu teh serbuk kunyit
- 1/2 sudu teh serbuk lada putih
- 2 cm halia
Bahan lain:
- 10 tangkai daun kari - ambil daunnya
- 7 helai daun pandan - potong kecil
- 8 tangkai cili hijau - potong 3 - Amie gunakan cili putih
- 8 biji bawang merag - hiris nipis
Cara memasak:
- Potong ayam kecil-kecil. Cuci bersih. Gaul dengan jus dari 1/2 biji limau nipis. Biarkan seketika dan kemudian bilas. Toskan.
- Masukkan ayam ke dalam kuali, tambahkan garam dan campuran jus 1/2 biji limau nipis dan air asam jawa.
- Masukkan bumbu halus, tambahkan air kelapa dan kemudian ungkep ayam (ditutup) sehingga kuahnya mengering.
- Panaskan minyak yang banyak.
- Goreng ayam dengan api sederhana.
- Setelah ayam kelihatan kecoklatan, masukkan daun kari, daun pandan dan cili hijau serta hirisan bawang merah - Amie masukkan cili putih dan tiada hirisan bawang.
- Goreng sehingga daun kari kering serta bawang merah berwarna coklat.
- Angkat dan toskan.
- Ayam Tangkap Khas Aceh ini enak disajikan panas sementara daun karinya masih garing dan rangup untuk dinikmati bersama nasi putih.
Terima kasih buat Nauzaery Setyo di atas perkongsian resipi yang sangat sedap ini. Minta izin kerana Kak Amie ubahsuai bahasa Indonesia ke bahasa Melayu.
Untuk menikmati sepenuhnya masakan ini, tak perlulah lauk lain. Ayam Tangkap Khas Aceh ini sudah cukup sempurna rasanya. Encik Suami turut mengakui keenakannya!
| Makan nasi lauk Ayam Tangkap Khas Aceh. |
2 comments
Drama bulan puasa tu terlupa tekan button rice cooker 🤣. Sekarang anak dah masak nasi takdela drama terlupa tekan.
BalasPadamWow.... dalam banyak2 tuu.. terliur cili..hihi
BalasPadam