Sup Kaki Ayam dengan Kundur

9:05 PTG

Dua tiga hari kebelakangan ini, setiap kali buka pintu dari bilik tamu kedua, ada semacam aroma yang sedap dihidu. Tertanya-tanya juga, kalau-kalau ada sesiapa pakai minyak wangi, tetapi rasanya baunya bukan bau dari minyak wangi. Nak kata bau bunga sundal malam yang harum semerbak pun bukan juga. Pokok bunga sundal malam yang ditanam depan pintu dapur, berbunga lebat dan berbau harum menusuk setiap kali menjelang senja sudah lama Encik Suami tebang. Nak kata bau bunga tanjung, pokoknya nun jauh di seberang taman. Tertinjau-tinjau juga sehingga ke pagar jiran sebelah, mana tahu ada bunga sedang berkembang! Tidak ada juga. Misteri sungguh!

Pagi tadi, duduk di tangga luar pintu bilik tamu kedua, belek-belek buah kundur tiga biji yang hampir seminggu terletak di situ. Amie ambil sebiji, dan terasa buah kundur agak ringan. Mungkin sudah tua, kerana bulunya yang putih pun sudah hampir tiada. Amie nak masak sup dengan kaki ayam. Ketika sedang menimbang-nimang sebiji kundur, tiba-tiba Amie terhidu bau yang menjadi misteri sejak dua tiga hari lalu. Rupanya bau itu datangnya dari buah kundur yang sedang Amie pegang! 

Masha Allah!

Minggu lepas, Fuad beritahu kawannya, Byverly meminta dia datang ke kampungnya. Katanya banyak labu manis dan labu kundur di kebunnya. Fuad pun datanglah ke sana, dan kata Fuad berpuluh-puluh biji labu dan kundur diberikan kepadanya. Fuad pun bahagi-bahagikan labu dan  kundur di kampung Encik Suami pula. Banyaklah agihan diberi, untuk adik ipar, dan juga untuk kakak ipar. Sampai di rumah, diagihkan pula kepada jiran.

Berbalik cerita tentang kundur tadi, Amie pun bawalah ke dapur. Oleh kerana kulitnya sudah keras kerana tua, Amie pun cuci bersih dan kikis-kikis. Apabila Amie belah buah kundur itu, memang benarlah kundur itu ada aromanya yang tersendiri. Sedap baunya! Teringatlah pula bau minuman buah kundur dalam tin. Amie suka sangat minuman buah kundur dalam tin kerana rasa dan baunya yang sedap itu!  Kalau Amie demam atau mati liur (hilang selera makan), memang minuman itulah yang Amie cari.

Entri sebelum tidur malam ini, Amie kongsikan Sup Kaki Ayam dengan Kundur. Dalam bahasa Tagalog, kundur disebut kundól. Eh... melalut bahasa negara jiran pulak!  Kadang-kadang tersasul sebut, sebab sudah biasa berkawan dengan rakan-rakan dari Filipina.

Sup Kaki Ayam dengan Kundur

Buah kundur yang sudah tua. Biji dan kulitnya keras. Isinya juga hampir lekang dan bersabut.

Bahagian luar buah kundur yang sudah dibersihkan.


Amie gunakan setengah biji buah kundur. Buang bahagian isi dan bijinya. Kemudian Amie potong-potong kecil bersama kulitnya sekali.

Amie gunakan 1/2 kg kaki ayam untuk dicampurkan dalam masakan.



Amie tidak gunakan sebarang rempah di dalam masakan sup ini. Amie hanya ingin hasilkan sup yang ringan tetapi beraroma. Selain aroma buah kundur, Amie tambahkan cendawan shiitake kering. Apabila kundur bertemu cendawan shiitake dalam periuk, harumnya memang semerbak! Selain cendawan shiitake, Amie tambahkan lobak merah. Lobak merah ini kalau direnih lama-lama dalam masakan sup, keluarlah rasa manisnya. Tidak ketinggalan, Amie bubuh biji goji. Hirisan halia, sebiji bawang besar di belah empat dan juga beberapa ulas bawang putih, biarkan ulas-ulas itu tak perlu diketuk atau dihiris.

Masukkan semua bahan ke dalam periuk, dan tuangkan air. Untuk masakan sup ini, Amie bubuh 2 liter air. 

Seperti biasa, Amie masak dengan api besar sehingga mendidih, dan kemudian Amie tutup periuk serta kecilkan api. Biar sup merenih sehingga kaki ayam empuk. Pada ketika ini, keluar jugalah bau yang sedap dari periuk walaupun sudah bertutup. Apabila buah kundur bertemu dengan cendawan shiitake dalam periuk sup yang sedang mendidih, tidak adalah bau lain yang lebih menyenangkan ketika memasak di dapur! Setelah kaki ayam lembut, dan bahan lain pun ikut masak sama, bolehlah perasakan dengan garam atau perasa pilihan mengikut citarasa. Padamkan api dapur.

Sup Kaki Ayam dengan Kundur dah siap!



Kalau ada kuah sup yang ringan seperti yang Amie masak ini, Amie suka hirup panas. Bubuh beberapa helai daun salad, dan kemudian tuangkan kuah Sup Kaki Ayam dengan Kundur.



Apabila leka hirup semangkuk sup panas ini, bersedialah dengan peluh merecik di dahi!
Sluuurrpppp!!!!!

9 comments

  1. Nampak macam berbeza dengan kundur yang saya bayangkan.kundur yang biasa saya masak rasa agak masam kalau sudah tua & tiada bau harum.Apa rasa kundur yang ini cikgu?
    Saya juga penggemar air winter melon tin tu.. Sedapkan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mamacella,
      Kundur tua rasa masam ke? Tidak pula ada rasa masam dalam sup yang saya masak ni.

      Padam
  2. buah kundur kat sini bulat mcm tembikai ya..kat tempat kak panjang mcm labu air

    BalasPadam
  3. tak pernah cuba lagi menu ni, nampak sedap :)

    BalasPadam
  4. Sedapnya kejadian Sup Kaki Ayam dengan Kundur tu

    BalasPadam
  5. Kaki ayam memang fav SA...tapi x pernah lagi masak style macam ni...nak cuba la...

    BalasPadam
  6. Menarik hidangan ni kak. Saya tak pernah makan kundur fresh selain pernah minum air kundur dalam tin dan juga kundur bergula tu. Tapi sayang kaki ayam saya tak makan pulak. mungkin boleh cuba dengan bahagian ayam yang lain.

    BalasPadam
  7. Memang fevret ni. Suka sangat sup kaki ayam...

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

Labels

~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Sabah ~Saudi Arabia ~Selangor ~Tempat Menarik di Malaysia ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Turki ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Minuman Panas / Sejuk Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto Telur Tempahan Western Food Wordless Wednesday

Subscribe