Resipi Siput Sedut Masak Lemak Cili Padi dengan Tempoyak & Daun Kaduk
6:03 PTGAlhamdulillah, hari ini ada kesempatan masuk dapur maya setelah beberapa hari sibuk dengan tugas-tugas di ladang. Dapatlah sediakan hidangan tengah hari, yang biasanya disantap menjelang petang. Ada siput sedut, bolehlah dimasak lemak tambah cili padi dan tempoyak. Petik sedikit daun kaduk di Taman Firdaus buat tambah aksesori siput sedut.
| Siput Sedut Masak Lemak Cili Padi dengan Tempoyak & Daun Kaduk |
| Lauk makan tengah hari. |
Sementara kita masak-masak, Firdaus bantu bersihkan dapur dengan menyapu sampah dan mengemop lantai. Kenalah rajin menyuruh dan tunjuk ajar Firdaus buat kerja rumah. Kita tak boleh harapkan budak akan buat kerja sendiri tanpa di suruh... ahaks!
Menjelang azan asar, siaplah:
- Nasi Putih
- Ikan Tenggiri Goreng Berempah
- Siput Sedut Masak Lemak Cili Padi dengan Tempoyak & Daun Kaduk
- Kacang Buncis Tumis dengan Udang
- Sambal Kicap
| Aksesori Ikan Goreng Berempah |
Balik dari ladang tidak terus masuk rumah. Singgah di Taman Firdaus petik daun pucuk kaduk. Ambil seranting daun kari. Terus ke belakang rumah, petik cili putih. Bahan-bahan ini untuk digunakan sewaktu menggoreng ikan. Amie hendak goreng ikan berempah. Kali ini Amie tambah bawang goreng. Itu pun disebabkan terpandang bawang sudah banyak yang tumbuh! Nampak sangatlah sudah jarang-jarang masuk dapur!
| Ikan Goreng Berempah |
Setelah ikan goreng diterbalikkan (separuh masak), barulah Amie masukkan bawang besar hiris dan daun kari. Apabila bawang kuning keemasan dan daun kari berubah warna dan garing, maknanya ikan tenggiri pun sudah masak. Ketika inilah Amie masukkan cili putih dan terus tutup kuali. Cili akan meletup sewaktu digoreng. Biarkan beberapa saat dan padamkan api dapur. Kemudian buka penutup kuali, dan bolehlah angkat ikan goreng bersama aksesorinya itu.
| Sambal Kicap |
Sambal Kicap ini baki air tangan Encik Suami beberapa hari lalu. Makin lama makin sedap pula. Encik Suami tambahkan jus limau nipis.
| Sayur Kacang Buncis Tumis Pecah Telur & Udang |
Pada mulanya hendak tumis sayur kacang buncis pecah telur. Entah macamana boleh masuk udang sekali. Tak tahulah, kepala kita makin hari macam mengong jew... ahaks! Banyak sangat yang difikirkan sampai masak pun tersasul-sasul masuk bahan.
Resipi Siput Sedut Masak Lemak Cili Padi dengan Tempoyak & Daun Kaduk
Bahan-bahan:
- 1 kg siput sedut
- 2 cawan santan cair
- 1 cawan santan pekat
- 1 helai daun kunyit - siat dan simpul
- 1/2 cekak daun kaduk / pucuk kaduk
- 2 batang serai - diketuk
- 1 keping asam gelugur
- garam / perasa pilihan
Bahan kisar / tumbuk:
- 15 tangkai cili padi
- 3 cm kunyit hidup
- 3 sudu besar tempoyak
Cara memasak:
- Rendam siput sedut di dalam air dan gesel-geselkan kulitnya supaya tanggal kotoran. Bilas 4-5 kali.
- Potong tiga ruas hujung siput. Rendam siput sedut sekali lagi dan keluarkan dengan tangan supaya tertinggal serpihan kulitnya. Bilas lagi dan toskan.
- Masukkan santan cair, serai dan bahan kisar ke dalam periuk. Biarkan sehingga mendidih sambil kacau supaya tidak pecah santan.
- Masukkan siput sedut dan kacau lagi.
- Setelah kuah mendidih, tuangkan santan pekat dan asam keping / gelugur.
- Perlahankan api dapur. Apabila kuah mendidih lagi, masukkan daun kaduk, daun kunyit, garam / perasa pilihan.
- Keluarkan asam gelugur ( tempoyak sudah ada rasa masam).
- Padamkan api dapur.
| Bismillah |
Siput sedut masak lemak sedap, ikan tenggiri goreng berempah pun sedap! Mana satu dulu hendak diterkam?
11 comments
Siput seduttt..sedapnya! Lauk kegemaran yang jarang-jarang dapat makan. Masak sendiri puas hati. Ohh tambah tempoyak ye. Mesti sedap kalau orang suka tempoyak.
BalasPadamPucuk kaduk tu kalau di Negeri Sembilan hiris halus dalam sambal tempoyak/sambal daun kayu. Boleh juga ye masuk dalam masak lemak cili api. Nanti dia akan rasa kelat-kelat sikit ke camne atau bau wangi macam daun kunyit.
Rajin Daus tolong mommy kemas rumah. Banyak sangat fikir kot kak Amie, kadang sel-sel otak tak berhubung. Lauk pauk sedap hidangan kak Amie. Kann..mana satu nak ambil dulu ni. hihi...
sedapnya menu masakan Amie, kak ana rasa lah kan, siput sedut ni memang akan di masak lemak sahaja, kan Amie, tak pernah jumpa lagi di jadikan menu lain..
BalasPadamKat sini ada peniaga yang jual siput sedut segar yang dah siap potong bontot.
BalasPadamWak selalulah beli.
Ada sorang anak saya suka betul dengan gulai siput sedut, kadang dibelinya untuk dia makan seorang je.
BalasPadamJika pergi tamu boleh dapat beli siput sedut..jika tidak selamaya tak akan merasa..
BalasPadamSedapnya siput sedut....lama dh x makan...ntah bila siput sedut nak turun harga agaknya...
BalasPadamlama tk mkn siput sedut..yumyyy
BalasPadamPandai kak Amie olah masakan. Daun kaduk tu saya cuma tau buat ulam je.
BalasPadamBagus didikan kak Amie, Firdaus jadi tak kekok buat kerja rumah.
Masak tersasul² pun kejadiannya meletopss.
BalasPadamBiasalah tu... dah namanya pun budak... selagi tak disuruh, penyapu dan mop tu elok je berdiri tepi dinding.
xtaupun siput sedut gulai tempoyak daun kaduk sedap tu boleh cuba nanti
BalasPadamsedapnya siput sedut tu kak oi... nampak besar-besar
BalasPadam