You Will Never Forget Lisbon dan Kaitan Padrão dos Descobrimentos dengan Sejarah Melaka

12:38 PTG

Bismillahirrahmanirrahim.
Ketika lidah terbelit-belit menyebut nama Alfonso de Albuquerque di dalam kelas Sejarah di sekolah rendah pada abad yang lalu, tidak pernah terbayang pada suatu hari nanti dapat menjejak tanah kelahiran individu yang secara langsung menjatuhkan Melaka  serta mengubah sejarah nusantara.

Dan memang benarlah selepas menyelusuri Sungai Tagus : YOU WILL NEVER FORGET LISBON!

Dalam waktu yang sangat singkat ketika berada di sini, sempatlah ambil gambar monumen walaupun tidak secara keseluruhan. Hanya bergambar di sebelah sini, dan tidak bergambar di sebelah sana.

 Lisbon - Padrão dos Descobrimentos 

Teman seiring dan sejalan.


Kami masih berada di sekitar Marina de Belém, pusat pelayaran rekreasi sebagai warisan maritim Portugal. Lokasinya bersebelahan monumen penting Torre de Belém iaitu menara pertahanan dan Padrão dos Descobrimentos iaitu monumen penjelajahan. Kedua-duanya merupakan simbol besar zaman penjelajahan laut Portugal.

Marina ini ibarat sambungan moden kepada sejarah lama. Dahulu kapal penjelajah berangkat dari sini untuk menakluk lautan, sekarang kapal layar kecil berangkat untuk menikmati Sungai Tagus dan Lautan Atlantik.


Sewaktu kami tiba di Padrão dos Descobrimentos dan melihat dalam jarak dekat, monumen batu raksasa itu menjulang seperti kapal dengan layar terbentang dan kelihatan Henry Sang Navigator memimpin barisan tokoh-tokoh penjelajahan. Di bawah kaki kami, kompas marmar besar dengan peta dunia seolah mengingatkan dari sinilah para pelayar Portugal menjejak benua baharu. Sempat juga Amie membayangkan kapal-kapal abad ke-15 yang pernah berangkat dari sungai ini menuju lautan tak bertepi.

Di sebelah monumen, Marina de Belém terbentang. Deretan kapal layar berlabuh rapat, tiang-tiangnya bergoyang ditiup angin. Tali layar berderik, bunyinya bercampur dengan kicauan burung camar. Sebuah yacht melepaskan tambatan, perlahan-lahan meluncur ke sungai berkilau putih keperakan disinar cahaya matahari pagi. Amie dan Kamsiah berdiri di tepi dermaga, menikmati suasana maritim yang masih hidup. Suasananya seolah tradisi penjelajahan lama yang tidak pernah padam, hanya berganti wajah moden sahaja.

Dengan kata lain, pagi di tebing Sungai Tagus membawa diri ini menelusuri sejarah masa lalu dan masa kini, bertaut dalam satu perjalanan singkat!


Di kawasan Padrão dos Descobrimentos Amie berdiri di atas kompas marmar raksasa yang melukis peta dunia membelakangi batu putih monumen itu menjulang seperti kapal bersedia belayar manakala Henry the Navigator sedang memimpin di haluan. Di sebelahnya, deretan kapal layar berlabuh tenang di marina. Tiang-tiang layar berdiri seperti hutan besi, bergoyang lembut ditiup angin sungai. Sesekali, sebuah yacht kecil melepaskan tambatan, perlahan-lahan meluncur ke tengah Sungai Tagus yang berkilau diterpa matahari pagi.

Sambil menatap ke arah sungai luas itu, Amie cuba membayangkan bagaimana lima abad lalu, kapal-kapal kayu berlayar keluar dari tempat ini menuju laut tidak bertepi. \

Padrão dos Descobrimentos ialah sebuah monumen bersejarah di Belém, Lisbon, Portugal. Nama Padrão dos Descobrimentos bermaksud Monumen Penemuan atau Monumen Pelayaran.

Tujuan dibina adalah untuk memperingati zaman kegemilangan Age of Discovery (abad ke-15 hingga ke-16), ketika Portugal menjadi kuasa maritim besar dan pelaut mereka menjelajah dunia. Monumen ini berbentuk seperti kapal layar atau karavel Portugis yang sedang berlayar ke arah Sungai Tagus. Tokoh-tokoh penting zaman penjelajahan diukir di kedua-dua sisi monumen. Terdapat pelayar, peta dunia, ahli sains, misionari, dan negarawan. Tokoh utama di hadapan ialah Infante Dom Henrique (Henry the Navigator), pelopor kepada ekspedisi maritim Portugis.

Ketinggian monumen ini sekitar 52 meter.

Asalnya, monumen ini buat pertama kali dibina tahun 1940 untuk Exposição do Mundo Português (Pameran Dunia Portugis), tetapi bahan asalnya konkrit ringkas. Pada tahun 1960, ia dibina semula dengan konkrit dan batu, sempena ulang tahun ke-500 kematian Henry the Navigator.

Pada hari ini, selain menjadi tarikan pelancong, pengunjung boleh naik ke bahagian atas monumen untuk menikmati pemandangan panorama Sungai Tagus, Ponte 25 de Abril, dan kawasan Belém.

Pendek kata, Padrão dos Descobrimentos ialah simbol penghormatan kepada pelaut Portugis yang membuka laluan maritim ke Afrika, Asia, dan Amerika.


Mari kita lihat tokoh-tokoh utama yang dipahat pada Padrão dos Descobrimentos. Monumen ini ada 33 patung tokoh bersejarah (17 di satu sisi, 16 di sisi lain) yang mewakili pelaut, misionari, raja, ahli peta dan penulis zaman penemuan.

Tokoh utama di depan:
  • Infante Dom Henrique (Henry the Navigator),  berdiri di hadapan sekali, memegang sebuah kapal kecil. Beliau ialah perancang dan pencetus utama zaman pelayaran Portugis.
 Tokoh di sebelah barat (kiri Henry, menghadap sungai):
  • King Afonso V, raja yang menyokong pelayaran awal.
  • Vasco da Gama,  pelayar yang menemui laluan laut ke India (1498).
  • Afonso de Albuquerque, gabenor dan penakluk penting di Asia (Melaka, Goa, Ormuz).
  • Francisco Xavier,  misionari Jesuit yang berdakwah hingga ke Asia Timur.
  • Fernão Mendes Pinto,penulis dan pengembara yang menulis Peregrinação.
  • Gaspar Corte-Real,penjelajah ke Newfoundland (Amerika Utara).
  • Nicolau Coelho, kapten kapal bersama Vasco da Gama.
  • Martim Afonso de Sousa,  pelayar dan pentadbir di Brazil.
Tokoh di sebelah timur, kanan Henry, menghadap bandar Belém:
  • King Manuel I, raja semasa kemuncak Age of Discovery.
  • Pedro Álvares Cabral, penemu Brazil (1500).
  • Diogo Cão, penjelajah pantai barat Afrika.
  • Bartolomeu Diaz, pelayar pertama mengelilingi Tanjung Harapan (1488).
  • Frei Gonçalo de Carvalho, misionari Dominikan.
  • Fernão de Magalhães (Magellan), pelayar Portugis yang memulakan ekspedisi keliling dunia (1519).
  • João de Barros, ahli sejarah dan penulis tentang empayar Portugis.
  • Estêvão da Gama, anak Vasco da Gama, juga pelayar.
Susunannya seolah-olah mereka semua mengiringi Henry the Navigator di atas sebuah kapal, melambangkan semangat kolektif bangsa Portugis dalam menjelajah dunia.

Padrão dos Descobrimentos. Monumen ini ada 33 patung tokoh bersejarah (17 di satu sisi, 16 di sisi lain) 

Baik, Amie sambung cerita bagaimana Afonso de Albuquerque menawan Melaka pada tahun 1511. Amie bukanlah mahir sangat selok-belok sejarah tetapi sekadar berkongsi untuk mengaitkan sejarah negara kita dengan penjajahan Portugis. Sekiranya ada fakta atau tafsiran yang kurang tepat, mohon betulkan supaya kita sama-sama dapat menambah ilmu pengetahun.

Melaka suatu ketika dahulu merupakan pelabuhan entrepôt terpenting di Asia Tenggara, menjadi pusat perdagangan antara pedagang Arab, India, China, Jawa, dan Nusantara. Portugis, sewaktu  di bawah Raja Manuel I mahu menguasai laluan rempah (Spice Route) dan memintas kuasa Arab serta Venice. Albuquerque, sebagai Gabenor Portugis di India, melihat Melaka sebagai kunci untuk menguasai Lautan Hindi.

Serangan pertama (Julai 1511)
Armada Portugis diketuai Albuquerque tiba di Melaka dengan 18 kapal dan 1,200 askar. Mereka menuntut Sultan Mahmud Shah mengizinkan Portugis mendirikan loji perdagangan. Sultan menolak kerana curiga dengan niat mereka. Pertempuran berlaku dan Portugis menyerang jambatan utama di Sungai Melaka. Serangan ini gagal kerana tentera Melaka lebih ramai dan mendapat sokongan meriam serta pemanah dari benteng.

Serangan kedua (Ogos 1511)
Albuquerque mengatur strategi baharu dengan membahagikan armada ke dua bahagian untuk menyerang dari hulu dan muara Sungai Melaka. Mereka menggunakan kapal perang berat dengan meriam moden serta mendapat sokongan dari pedagang asing yang bermusuh dengan Sultan.

Serangan besar-besaran bermula pada 10 Ogos 1511.
Portugis berjaya menawan jambatan utama, lalu membuka jalan ke kota. Pertempuran sengit berlaku selama beberapa hari, dan akhirnya tentera Melaka berundur.

Kejatuhan Melaka
Sultan Mahmud Shah berundur ke Muar dan kemudian ke Bentayan serta Johor. Portugis menawan kota, merampas gudang rempah, emas dan harta. Albuquerque membina kubu A Famosa sebagai pusat pertahanan Portugis. Melaka menjadi markas Portugis di Asia Tenggara, mengawal perdagangan antara India, China, dan Nusantara.

Kesan kejatuhan Melaka
Melaka hilang sebagai pusat kuasa Islam utama di rantau ini. Kuasa perdagangan beralih kepada Portugis, tetapi mereka menghadapi penentangan dari Johor, Aceh, Demak, dan pedagang Islam lain. Bagaimanapun Kota Melaka di bawah Portugis menjadi simbol permulaan era penjajahan Barat di Asia Tenggara.

Jadi, tokoh di Padrão dos Descobrimentos, Afonso de Albuquerque ialah orang yang secara langsung menjatuhkan Melaka dan mengubah sejarah Nusantara.


Oleh kerana Mbak Watie sudah memanggil kami kerana bas sudah sampai, jadi setakat ini sahajalah gambar monumen yang dapat Amie kongsikan. Bas tidak boleh berada lama di tepi jalan. Nampak tu... bas biru!

Bas biru, bas kami sepanjang berada di Sepanyol dan Portugal.


Sambil berjalan menuju ke bas, tangan sempat gatal mengambil gambar di sekitar monumen. Nun di belakang sanun, sayup-sayup jambatan sepanjang 2.3 kilometer - Ponte 25 de April. 


Cantiknya air laut!
Bersih dan nampak jernih.


Bergambar kenangan di Doca de Belem sebelum meninggalkan Marina de Belem.




Hantam sajalah labu... menghadap matahari atau membelakangi matahari, yang penting ada gambar untuk diabadikan!



Selamat tinggal Sungai Tagus!


You will never forget Lisbon!

5 comments

  1. Walaupun tempatnya cuma di tepi tu sambil bas berhenti kejap tapi cantiknya kak, gambar monumen tu, pemandangan sekeliling tu. Langit yang biru... jambatan yang nun jauh tapi nampak indahnya tu.

    BalasPadam
  2. Ohh tu monumen rupanya. Tak sangka dapat jejak di sini dari belajar sejarah. Nama tu susah disebut tapi itu yang ingat.
    Cantiknya semua sudut disini. Penuh gallery bergambar di sini.
    Mestilah tak akan lupakan Lisbon.

    BalasPadam
  3. Betul, we will never forget Lisbon. Moga dapat ke sana lagi. Rindu Lisbon. Cantik semua foto Kak Amie.

    BalasPadam
  4. Memang terperinci cerita Amie ni, seronok membacanya. Bestnya dapat menjejakkan kaki ke sana.

    BalasPadam
  5. Mesti bahasa pun ada yang sama dengan kita kan?

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

Labels

~Albania ~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Bosnia Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~Bulgaria ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Croatia ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Montenegro ~Morocco (Casablanca - Marrakech - Rabat - Chefchaouen - Tangier - Fes) ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Pakistan ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Perlis ~Portugal ( Lisbon) ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Republik Macedonia ~Sabah ~Sarawak ~Saudi Arabia ~Selangor ~Sepanyol (Algeciras - Granada - Cordova - Seville - Toledo - Madrid) ~Slovenia ~Tempat Menarik di Malaysia ~Terengganu ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Trip SPM : Sepanyol-Portugal-Morocco ~Turki ~Turkiye ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kampung Laman Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Asia Selatan Masakan Asia Tengah Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Mexican Food Minuman Panas / Sejuk Moroccan Food Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pakistan Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto South Africa & Portuguese Food Sumber Tanaman Telur Tempahan Vetnamese Food Western Food Wordless Wednesday

Subscribe