Sedapnya Ikan Lengat Homemade!
3:21 PTG
Assalamualaikum.
Selamat petang semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Bagaimana cuaca di tempat anda? Di LD. gelap di segenap penjuru alam, hujan dari tengahari. Fenomena alam ini seakan-akan menzahirkan kedukaan yang sedang ditanggung oleh seluruh isi bumi ketika ini. Moga Covid-19 segera lenyap, pergi bersama angin lalu ke daerah sanun untuk selama-lamanya. Aamiin.
Alhamdulillah, di sebalik arahan kawalan pergerakan sebenarnya banyak hikmah yang diperolehi. Tiada rasa bosan duduk di rumah kerana ada sahaja perkara yang boleh dilakukan sama ada di dapur, di mana-mana ruang di dalam atau di luar rumah. Boleh membaca pelbagai jenis bacaan, membetulkan tajwid anak-anak dalam bacaan Quran , mengulangkaji pelajaran bersama anak, mengadakan pengajaran dan pembelajaran secara online bersama anak murid dan sebagainya. Penjuru rumah pun berkurangan habuk dan swang... ahaks! Boleh menyapu dan mengemop lantai setiap hari!
Dan paling seronok sudah tentunya ketika berada di dapur.
Masak apa hari ini?
Amie goreng ikan lengat hasil air tangan sendiri.
Agaknya sedap sangatlah ikan lengat goreng, hinggakan Encik Suami meratah seekor lagi walaupun sudah habis seekor dimakan bersama nasi!
Seorang rakan travel pernah kongsikan cara membuat ikan lengat, tapi Amie sudah padam resepi tersebut dari whatsaap. Seronok sangatlah dapat resepi ikan lengat, sebab kawan tadi belajar di kelas masakan. Nak minta lagi, seganlah pula. Akhirnya berdasarkan cerita-cerita kawan, dan juga pengalaman selalu makan ikan lengat waktu di kampung, Amie pun cuba buat sendiri dengan menggunakan ikan lumahan. Ada juga yang panggil ikan rebus, selalunya ikan kembung rebus. Ada juga yang panggil ikan lengat. Lengat maksudnya kukus. Ikan ini dikukus, tapi entah kenapa dipanggil ikan rebus pula.Zaman kanak-kanak dahulu, Bonda suka sangat beli ikan kembung rebus atau ikan lengat ini. Dulu, harganya murah sangat. Sekati cuma RM1.25 sen. Sekati itu sama timbangannya dengan 600 gram.
Beberapa tahun yang lalu, Amie beli ikan lengat di pasar dengan harga RM16.00 sekilogram.
Gambar atas : Ikan kembung rebus @ ikan lengat yang Amie goreng sewaktu bercuti di kampung : Ikan Kembung Rebus : Nostalgia Silam Terungkap Kembali!
Gambar bawah : Ikan lengat hasil tangan sendiri.
Seronok sungguh dapat sekilogram ikan lumahan segar! Saiznya agak besar, dan jumlahnya hanya 6 ekor sahaja. Bersihkan ikan, buang isi perutnya. Cuci dan toskan.
Amie gunakan garam kasar, bukan garam halus. Tidak disukat dengan sudu tapi ambil saja segenggam dan taburkan di bawah dan di atas ikan. Letakkan juga beberapa keping asam gelugor. Kemudian Amie perap 1/2 jam.
Susun ikan di atas dulang pengukus. Didihkan air di dalam periuk pengukus. Masukkan dulang pengukus berisi susunan ikan lumahan tadi. Tutup periuk pengukus.
Amie tidak sempat melihat berapa minit kukus ikan, tetapi melihat biji mata ikan sudah tersembul keluar, itu menandakan ikan sudah masak. Jadi Amie padamkan api dapur. Biarkan ikan tadi sehingga agak sejuk. Susun dalam sebuah bekas, dan bolehlah simpan dalam peti sejuk.
Inilah rupa ikan lengat @ ikan kukus setelah dua hari disimpan dalam peti sejuk. Bila-bila masa, boleh keluarkan dan olan ikut resepi kegemaran. Untuk hari ini, Amie goreng sahaja. Kemudian Amie gorengkan bawang besar, cili merah, cili hijau, cili padi, daun limau purut, dan tambahkan 1/2 sudu kecil perencah Maggi Cukup Rasa. Tuang akan ikan lengat goreng tadi.
Jika suka, perahkan jus limau nipis atau limau kasturi sewaktu menikmatinya. Nak tambah pedas, picit saja cili padi yang digoreng tadi.
0 comments