ADSENSE

Khamis, 26 Mac 2020

Singgang Tumis Kepala & Ekor Ikan Tenggiri

Assalamualaikum.
Selamat petang semua.
Hari demi hari Perintah Kawalan Pergerakan kita lalui. Hari demi hari juga jumlah korban Covid 19 semakin bertambah. Sama-samalah kita terus berdoa akan para petugas kesihatan diberi kekuatan untuk meneruskan khidmat di barisan hadapan. Moga negara kita kembali pulih dari wabak ini walaupun kita tidak tahu bilakan ujian getir ini akan berakhir.
Perintah Kawalan Pergerakan ditambah lagi untuk tempoh dua minggu sehingga 14 April 2020. Pada masa yang sama bertambah keluhan di sana sini terutama tentang kesulitan untuk mencari sesuap nasi bagi mereka yang tidak bergaji bulanan terutama peniaga kecil dan petani. Walaubagaimanapun ramai yang prihatin berusaha mengumpul dana untuk membantu golongan yang memerlukan ini. Semoga usaha mereka mendapat berkat Ilahi. 

Kita cerita pula resepi yang Amie kongsikan kali ini. Amie masak Singgang Tumis Kepala & Ekor Ikan Tenggiri sebagai lauk makan tengahari. Masakan singgang ini Amie gandingkan dengan telur dadar. Cukuplah dua jenis lauk ini untuk kami sekeluarga.

Sebenarnya sebelum PKP, kami membeli beberapa jenis ikan seperti tenggiri, ikan putih, ikan tuna dan sotong. Ikan-ikan ini akan dimasak pada hari Khamis. Oleh kerana ahli keluarga Encik Suami mengadakan majlis bacaan Yasin setiap hari Khamis malam Jumaat, jadi kami fikir tibalah minggu giliran di rumah kami pula. Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan. Biasanya selepas selesai bacaan Yasin dan solat Isya' berjemaah, kami akan makan malam bersama. Tiba-tiba Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan! Secara tidak langsung, terbatallah rancangan mingguan kami. Ikan dan sotong inilah yang Amie olah setiap hari sebagai lauk makan kami. Jadi, tidak perlulah pergi ke pasar untuk membeli ikan. Khabarnya untuk mendapatkan ikan pun sudah agak sukar sekarang ini!

Ikan tenggiri yang kami beli ini beratnya hampir 3 kilogram seekor. Oleh kerana penjual ikan tidak mahu meotong dan menjual dalam kuantiti yang kita mahu, jadi kami pun belilah seekor dan penjual ikan tolong bersihkan serta memotongnya. Sampai rumah Amie asingkan bahagian isi, ekor dan kepala. Jadi, hari ini dengan mudah Amie terus keluarkan bungkusan kepala dan ekor ikan tenggiri untuk diolah.

Encik Suami suka sangat masakan ini. Walaupun pedas, sebab Amie bubuh cili padi tapi Encik Suami mahu juga hirup kuahnya berkali-kali sehingga peluh merecik di dahi! Sudahlah tengahari tadi panas terik, ditambah pula dengan kuah pedas cili padi.... ha! Menjadi-jadilah kuyup dengan peluh!

Firdaus pula, dari pagi makan popia sampai tengahari. Bila disuruh makan banyak pula alasannya. Katanya takut nak makan sebab Mommy masak ikan pirana! Mana ikan pirana? Tu... yang nampak gigi tajam tu... macam ikan tu nak makan Daus pulak! Hadoooiii....!

Jom kita lihat resepinya di bawah ini:

Bahan-bahan:
3 kepingan ikan tenggiri - 2 bahagian kepala dan 1 bahagian ekor
10 biji kancang bendi - buang ekor dan tampuk
1 biji tomato saiz besar - belah 6
1 batang serai - diketuk
3 hirisan lengkuas
1/2 labu bawang besar - hiris kasar
2 keping asam gelugor
4 cawan air
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
15 biji cili padi kampung
3 ulas bawang putih
1/2 labu bawang besar (gantikan bawang merah)
1 cm halia
2 cm kunyit

Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan serai, asam gelugor dan air. Biarkan mendidih.
3. Kemudian masukkan kepala dan ekor ikan tenggiri.
4. Biarkan mendidih sekali lagi dan masukkan pula kacang bendi serta tomato.
5. Setelah kacang bendi berubah warna, perasakan singgang dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.

1 ulasan:

ray berkata...

this is like my childhood favourite dishes.