Mee Goreng Tom Yam Seafood
9:28 PG
Assalamualaikum.
Hari ini hari ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan.
Malam tadi lewat tidur, banyak memikirkan tentang dunia pada hari ini, namun agak lena tanpa mimpi-mimpi buruk yang menghantui selama ini. Mudah-mudahan akan ada berita baik selepas ini. Belum lagi membaca apa-apa berita tentang Covid 19. Trauma masih terasa, dan jauh di sudut hati mengharapkan agar trauma ini segera menjauh.
Allahu Akbar!
Setakat ini, sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa pada 18 Mac 2020, kaki belum mampu melangkah keluar dari pintu rumah, apatah lagi menjejak ke pintu pagar. Hanya mengintai melalui celah jendela untuk melihat matahari, merenung jauh ke jalan raya yang lengang, dan mendengar ketukan-ketukan kecil Encik Suami di belakang rumah. Entah apa yang dilakukannya. Ada-ada sahaja yang dibuat olehnya dalam tempoh PKP ini. Kain baju pun, Encik Suami tolong jemur di luar rumah.
Dari balik tingkap dapur, kelihatan pasu-pasu bunga di susun di tepi longkang oleh Encik Suami, dan beberapa hari yang lalu beliau meminta Fairuz membantunya mencantas ranting pokok epal bidara di hadapan rumah. Katanya, tidak mahu pokok bidara terus tinggi menjulang di atas bumbung rumah. Dan katanya lagi biar pokok bidara tumbuh rendah dan rendang sahaja. Rimbunan daun anggur di belakang rumah juga sudah digondolkan. Barangkali selepas ini, akan berputiklah ia.
Kata Encik Suami, putik mangga udang kali ini bertambah banyak berbanding sebelumnya! Daun limau purut semakin merimbun, daun kencur penuh dalam pasu, pokok kunyit pula semakin subur dengan daunnya yang menghijau. Cuma, rumpun serai yang baru belajar tumbuh semakin menyusut kerana setiap hari Amie minta ambilkan sebatang dua serai untuk dijadikan bahan masakan.
Sekali lagi Amie minta Encik Suami cabutkan sebatang serai dari rumpunnya untuk masak Mee Hoon Goreng Seafood.
Bahan-bahan:
600 gram mee kuning - rendam selama 5 minit - toskan airnya
2 kiub perencah tomyam Knoor - hancurkan dan bancuh dengan setengah cawan air.
1 cawan isi udang
1 cawan hirisan sotong
1 batang serai - diketuk
3 helai daun limau purut - buang urat belakang dan ramas
1 biji tomato - hiris nipis
1 pokok sawi - potong-potong
2 sudu besar kicap manis
3 sudu besar sos cili
daun ketumbar dan hirisan cili merah untuk hiasan
3 sudu besar minyak
Bahan kisar:
7 tangkai cili kering (jika ingin lebih pedas, tambahkan cili padi)
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar (gantikan bawang merah)
1 biji tomato saiz sederhana besar
Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga naik minyak.
2. Masukkan serai dan bancuhan perencah tom yam. Biarkan masak mendidih hingga kuah menjadi sedikit pekat.
3. Masukkan udang, sotong dan sawi. Masak sehingga udang bertukar warna.
4. Kemudian masukkan mee kuning, daun limau purut, hirisan tomato, kicap manis dan sos cili.
5. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.
6. Hidangkan dengan taburan hiasan daun ketumbar dan hirisan cili merah.
Mee Goreng Tom Yam Seafood ini sudah cukup rasa tanpa penambahan garam / gula / perasa pilihan.
0 comments