ADSENSE

Ahad, 29 Mac 2020

Resepi Ayam Masak Kurma Yang Sangat Sedap!

Assalamualaikum.
Selamat petang buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Cuaca di LD hari ini mendung, hujan turun pada sebelah tengahari ketika Amie sedang masak di dapur. Langit yang mendung seakan-akan turut sama berdukacita di atas musibah yang sedang melanda di seluruh negara bahkan seluruh dunia. Covid-19 belum nampak jalan surutnya.
Dan negeriku nan tercinta, Selangor nun di Malaya .... jumlah positif Covid-19 paling tinggi dengan jumlah sebanyak 579 setakat kelmarin, 28 Mac 2020 mengikut statistik rasmi yang dikeluarkan oleh pihak KKM. Hanya doa yang mampu dikirim agar seluruh keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, seluruh penduduk baik di Malaya ataupun di Borneo akan terhindar dari wabak ini.
Kematian akibat Covid-19 mencecah angka 27! 
Tiap saat hanya mampu berdoa dan mengharapkan agar segalanya akan pulih seperti sediakala. Marilah terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sehingga ke tarikh yang ditetapkan pada 14 Mac 2020, atau mungkin akan ditambah lagi sekiranya keadaan semakin membimbangkan.

Kita beralih pula kepada cerita resepi. Hari ini Amie hidangkan Ayam Masak Kurma sebagai lauk makan tengahari kami. Amie jarang masak kurma, tetapi kalau sesekali masak memang semua yang menikmatinya akan makan penuh selera sehingga menjilat jari... ahaks! Tambahan pula, ketika makan tadi, hujan masih turun. Sudahlah sejuk, makan pula hidangan panas dari dapur. Alhamdulillah.

Resepi yang Amie gunakan ini merupakan resepi pemberian Che Jah, ibu mentua adik bongsu Amie yang berasal dari Pulau Pinang. Setiap kali mengadakan rumah terbuka, kalau Amie ingin hidangkan masakan kurma, Amie akan gunakan resepi yang beliau berikan ini. Lama tak dengar khabar ibu mentua adik bongsu Amie. Moga sihat-sihat sahaja.
Untuk masakan kurma kali ini, Amie tambahkan tomato dan cili merah. Resepi asal boleh klik di sini: RESEPI AYAM MASAK KURMA SEDAP

Antara bahan yang digunakan dalam masakan kurma selain ayam, kentang, tomato, cili hijau dan cili merah, boleh tambahkan daun pudina dan perahan jus limau nipis.  Kalau tak mahu masukkan daun pudina pun tidak menjadi masalah.
Mari kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 kg ayam bahagian peha - potong 10
3 biji kentang saiz kecil - belah 2
3 biji telur rebus - kupas kulit - kelar-kelar sedikit
2 biji tomato - belah 4
3 sudu besar rempah kurma
200 ml  pati santan
segenggam daun pudina
2 biji cili hijau - belah 2
2 biji cili merah - belah 2
1 biji limau nipis - ambil jusnya
air secukupnya
sedikit minyak dicampur dengan  minyak sapi / mentega / marjerin 
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk halus / kisar :
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2 cm halia
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
3 biji buah pelaga
3 cm kulit kayu manis
3 biji bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan campurkan dengan sedikit minyak sapi / mentega / marjerin. 
2. Tumis bahan kisar hingga wangi.
3. Masukkan rempah kurma, dan gaul sebati menggunakan api perlahan.
4. Masukkan daging ayam bersama kentang. Tambahkan air secukupnya dan masak hingga empuk.
5. Tambahkan santan, dan biarkan sehingga kuah agak pekat.
6. Masukkan garam / gula / perasa pilihan, cili hijau, tomato, telur rebus dan daun pudina.
6. Perlahankan api supaya terbit minyak.
7. Sebelum kurma ayam diangkat, perahkan jus limau nipis ke atasnya.

Tips daripada Che Jah:
1. Kalau tak mahu gunakan minyak sapi/mentega atau marjerin pun tidak jadi masalah. Tapi kalau tambahkan sedikit salah satu bahan tersebut, aroma masakan akan bertambah menggoda! 
2. Semasa memasak daging ayam bersama kentang, air dari daging ayam akan keluar (gunakan api sederhana), tetapi jika terlalu kering bolehlah tambahkan sedikit air sebelum masukkan santan.

Ayam Masak Kurma sudah siap untuk dihidangkan!

Jemput!

1 ulasan:

mama tisya berkata...

menu fav gk ni..lama xmasak