Selamat malam semua. Kepada yang berpuasa di bulan Rejab yang mulia ini, diucapkan selamat berbuka. Kalau Amie yang berpuasa, tentulah Amie terlebih dahulu berbuka sebab jarak waktu timur dan barat berbeza lebih kurang satu jam. Itulah pasal, pagi-pagi setiap kali dalam perjalanan ke tempat kerja, azan Subuh berkumandang dari corong radio. Di sini, matahari mula mengintai dari Laut Sulu.... suasana pagi amat tenang dan nyaman dengan kedinginan angin menyapu wajah, aroma masakan dari kantin menyerbu ke hidung....cerita tentang aroma Amie seakan-akan terbau aroma Nasi Ketumbar dari dapur Kak Nor Secubit Garam. Tak sabar nak cuba resepi yang menggoda kalbu Amie. Selepas mesyuarat Larian 1Sukan 1Murid 1Malaysia diikuti dengan mesyuarat Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar petang tadi, Amie tidak berlengah lagi terus pecut kereta nak cepat sampai rumah........ Cerita balik tentang resepi Nasi Ketumbar tadi, Amie ambil resepi Kak Nor, sudah minta izin... tapi ayamnya pula terlupa nak salin resepinya. Oleh kerana dah sampai dapur, khusyuk lagi dengar ADILA, Amie pun masaklah ayam ikut resepi sendiri. Masak merah juga tapi taklah berempah macam Ayam Masak Merah Berempah Kak Nor tu.
Resepi Asal: Resepi Q'ein@Myresepi
Sumber : Ayu Singapore & Kak Nor Secubit Garam
Bahan untuk Nasi Ketumbar:
500 gram beras
3 s/b mentega (Ayu guna minyak sapi - Amie pun guna minyak sapi)
sedikit minyak - Amie tak guna minyak
1 biji bawang merah - dimayang halus
3 batang daun ketumbar - kisar halus - Ayu tapis -Amie tak tapis
sedikit garam
pewarna hijau
1 kiub ayam
Cara:
1. Cairkan minyak sapi dan goreng bawang hingga wangi.
2. Masukkan beras dan ketumbar kisar serta kiub ayam.
3. Masukkan air dan masak seperti biasa.
4. Apabila nasi telah kering, titiskan sedikit pewarna hijau.
5. Tunggu sehingga nasi betul-betul masak, kemudian gemburkan sebelum dihidang.
Rupanya menyediakan nasi ketumbar ini sangatlah mudah sebab tidak banyak bahan yang perlu digunakan, dan semestinyalah ada daun ketumbar!
Oleh kerana suami dan anak-anak pun macam Amie juga, suka mencuba pelbagai resepi, hidangan nasi ketumbar tidak menjadi masalah bagi mereka walaupun sesetengah orang mungkin tidak biasa dengan bau daun ketumbar. Sebenarnya apabila nasi sudah masak, tidaklah begitu menyerlah aroma daun ketumbarnya sebagaimana daun ketumbar segar. Sedap bah! Bersih pinggan.... Lauknya pula Amie sediakan Ayam Masak Merah bersama Acar Mentah. Oleh kerana lauk begini sudah biasa dimasak, rasanya tak perlulah Amie tuliskan.
Terima kasih ya .... KaK Nor Secubit Garam yang mengizinkan perkongsian resepi ini. Amie pun sarankan kepada yang berminat untukmencuba resepi yang enak ini. Nanti Amie hantar sepinggan ke rumah Kak Nor yea....