Sayur Lodeh
1:13 PTG
Assalamualaikum.
Operasi pembersihan peti sejuk pada pagi ini telah berjaya mengumpulkan pelbagai lebihan sayur-sayuran bekalan sepanjang minggu ini. Oleh kerana kuantitinya sedikit-sedikit, jadi Amie putuskan untuk masak sekali harung dalam satu hidangan! Akhirnya terfikir pula untuk memasak sayur lodeh. Bagaimanapun, jangan terkejut kerana sayur lodeh Amie mungkin terkeluar sedikit dari kebiasaan. Selalunya kalau sayur lodeh sudah tentu tidak ketinggalan suhun, dan fucuk! Maklumlah kita memang sudah bersinonim dengan sayur lodeh terutama ketika menjelang raya.... meriah dengan pelbagai campuran sayur-mayur! Apa pun, tidaklah menjadi kesalahan yang melanggar undang-undang kalau masak sayur lodeh tanpa suhun dan fucuk kerana maksud sebenar sayur lodeh ialah masakan sayur campur yang direbus bersama santan! Kalau sebelah Encik Suami, maksud sayur lodeh memang berbeza dengan di kampung Amie yang majoritinya berketurunan Jawa. Sayur lodeh belah Encik Suami menggunakan tumisan cili kering kisar bersama ketumbar, dan bahan sayuran yang digunakan termasuklah pucuk ubi, pucuk dan bunga betik serta jantung pisang dan jika suka boleh masukkan kepingan ikan goreng. Lainkan sayur lodeh Melayu Cocos.
Bila dipotong dan dimasak, penuhlah satu kuali hasil sayur lodehnya! Amie perhatikan ada 2 jenis warna sayur lodeh di kampung, iaitu kuah putih dan kuah kuning. Yang putih tidak menggunakan kunyit, yang kuning memang kena bubuh kunyit. Sebenarnya Amie lebih suka yang putih sebab aroma santannya yang enak tanpa gangguan sebarang herba lain! Apa pun, untuk mencantikkan rupa parasnya, Amie masukkan sedikit serbuk kunyit dalam Sayur Lodeh ini.
Amie masak ikut cara keluarga Amie ye...misalnya tempe dan kentang serta terung digoreng terlebih dahulu, dan begitu juga dengan udang.
Resepi : Sayur Lodeh
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
3 biji kentang - kupas dan potong ikut suka (tapi pastikan saiznya potongan tidak terlalu besar)
1/2 cawan potongan tempe
2 biji terung - belah 2 dan potong 2
3 batang kacang panjang - potong serong
1/2 batang lobak merah - hiris bulat
1/4 sayur kubis - hiris kasar
1 cawan isi petai
12 ekor udang kertas - Amie tak buang kulit
2 keping tauhu - potong kiub
3 biji cili hijau - belah 2
7 biji cili padi merah
400ml santan pekat
1 batang serai - diketuk
1 keping asam gelugur
1 sudu kecil serbuk kunyit
garam /gula / perasa pilihan
1/2 cawan air
Bahan tumbuk kasar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1/2 cawan udang kering - rendam dan toskan airnya
Cara:
1. Goreng kentang, tempe dan terung serta udang hingga masak. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk sehingga wangi. \
3. Masukkan serai dan juga hirisan lobak merah.
4. Masukkan 1/2 cawan air jika tumisan terlalu kering. Biarkan mendidih.
5. Masukkan asam keping, cili hijau dan juga petai.
6. Setelah petai berukar warna, masukkan kesemua bahan yang digoreng.
7. Masukkan santan pekat, serbuk kunyit, tauhu, kubis dan cili padi.
8. Apabila kuah mula mendidih, tambahkan garam / gua / perasa pilihan.
9. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
4 comments
Sedapnya ....dah lama tak makan sayur lodeh...tumpang makan boleh tak....
BalasPadamassalam amie..masa dok tanjung karang dulu acik suka makan sayur lodeh..tapi tak pernah masak sendiri..ada je kawan yang masak..atau pun pi beli masa ada pasar malam
BalasPadamkena plak sayuran dlm peti ais akak utk dibuat sayur lodeh...sedapnya
BalasPadamSayur Lodeh ni regu dengan Sambal Tumis Bilis, baru ngam kan?
BalasPadam