Ikan Bolu @ Milkfish Masak Rebus, Sayur Manis Goreng Daging & Sambal Mangga
5:24 PTG
Assalamualaikum.
Hidangan hari Isnin... menu tengahari merangkap ke malam kerana ketika menghadap hidangan ini jam sudah menunjukkan pukul 4 petang. Maklumlah, sebelum sampai ke rumah Amie ambil dahulu anak-anak pulang dari sekolah dan sempat singgah di pasar berhampiran untuk mencari ikan segar. Dapatlah seekor ikan bolu @ milkfish seberat 1200 gram. Tak sabar ingin menikmatinya!
Bismillah.... Ikan Bolu @ Milkfish Masak Rebus, ada Sambal Mangga dan pelengkap hidangan kali ini Amie masak Sayur Manis Goreng Daging.
Resepi : Ikan Bolu @ Milkfish Masak Rebus
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
1 ekor ikan bolu - bersihkan dan potong menjadi 7 bahagian
1 labu bawang besar - belah 4
3 ulas bawang putih - pecahkan
1 batang serai - dititik
2 biji cili hijau - belah 2
1 biji cili merah - belah 2
2 keping asam gelugur
2 biji tomato - belah 4
7 biji kacang bendi
5 helai daun limau purut
1 sudu teh serbuk kunyit
air secukupnya
garam / perasa pilihan
Cara:
1. Didihkan air di dalam periuk.
2. Masukkan bawang besar, bawang putih, serai, asam gelugur, dan serbuk kunyit.
3. Setelah mendidih, masukkan ikan bersama kacang bendi, cili hijau, cili merah, daun limau purut dan tomato.
4. Masak selama 5-7 minit. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
Resepi : Sayur Manis Goreng Daging
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
1 cekak sayur manis - patah-patahkan pucuknya yang lembut
1 cawan hirisan daging lembu
1 biji cili merah - hiris
1/2 labu bawang besar - hiris
2 ulas bawang putih - cincang
1 sudu makan sos tiram
1 sudu teh serbuk pati ayam MAGGI Cukup Rasa
minyak
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, bawang besar serta cili merah hingga naik bau.
2. Masukkan hirisan daging lembu dan tumis hingga empuk.
3. Masukkan sayur manis, sos tiram dan serbuk pati ayam MAGGI Cukup Rasa.
4. Kacau sebentar. Tutup api.
Resepi : Sambal Mangga
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
15 biji cili padi
1 biji cili merah
5 biji bawang putih - belah 2 dan goreng
5 biji bawang merah - belah 2 dan goreng
3cm belacan - goreng (bakar lagi sedap)
1 labu bawang besar - mayang
1 cawan hirisan mangga
2 biji limau kasturi - ambil jusnya
garam / gula / perasa
Cara:
1. Tumbuk cili padi, cili merah, bawang putih, bawang merah goreng serta belacan.
2. Masukkan 1/2 cawan mangga dan dan jika suka gilis dengan anak lesung hingga hancur.
3. Masukkan garam / gula / perasa secukupnya.
4. Gaulkan dengan bawang besar dan 1/2 cawan lebihan hirisan mangga.
5. Tambahkan dengan jus limau kasturi supaya sambal mangga menerbitkan aroma yang menyelerakan.
6. Sedia untuk dihidangkan.
Dah lama tak makan Ikan Bolu @ Milkfish Masak Rebus. Mmmmm... sedap hirup kuahnya yang masih panas.
9 comments
fuh.. menu yang lengkap.. yummy..
BalasPadamlauk best...ikan susu tu, buat apa pun sedap, goreng, asam pedas, semua best
BalasPadamXpenah jemu D5 tgk menu Amie hari2 mmg best lah nampak sumer nyer sedap2 belaka...
BalasPadamassalam k.amie
BalasPadamikan bolu, ngak penah makan he he isinya nampak cantik je kan
sambal mangga tu fuhh mengiurkan lah
sedapnyeee
banyak nama ikan yg pelik2 wc jumpa kat sini.
BalasPadamSungguh menyelerakan.. Tak tau nak cakap apa dahh.. :b
BalasPadam~ semua menyelerakan..confem klu mkn x tgk kiri kanan dh hihii ^__^
BalasPadamDah beberapa hari tak singgah dapur Amie ni,nampak pula sambal mangga dengan ikan masak rebus, perghh!!, kecur dibuatnya.
BalasPadamas salam kak..lama tak jenguk sini..ssekarang saya ske nak makan ikan je..ayam jadi kurang cikit, sedap menu2 akak ni :)
BalasPadam