Wak Aton Belanja Makan di Kunak Western Food
5:50 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Catatan 06 Januari 2025 - Selasa.
Wak Aton ajak kami keluar makan di Kampung Melayu Subang. Fuad dengan Fairuz ada urusan lain. Firdaus asyik bersama sepupunya. Encik Suami pula hendak di rumah sahaja. Jadi, hanya Wak Aton dengan Amie sahajalah ke Kampung Melayu Subang. Wak Aton hendak belanja makan di Kunak Western Food. Katanya makanan di sini sedap dan murah. Wak Aton sudah beberapa kali makan di sini. Pelanggan sentiasa penuh dan kadang-kadang tidak ada tempat letak kereta di situ.
Kunak Western Food dibuka pada pukul 4:30 petang. Kami sampai ke sana tepat pada waktu tersebut dan sudah ada pelanggan berada di situ.
Setahu Amie 'Kunak' ini nama daerah di pertengahan jalan antara Lahad Datu dan Tawau. Ada juga nama 'Kunak' di Kampung Melayu Subang. Apabila Amie tanya pelayan di situ, katanya tuan punya kedai memang berasal dari Kunak, Sabah manakala isterinya orang sini. Itulah agaknya diletak nama Kunak Western Food.
Amie pilih Lamb Chop. Memang betul kata Wak Aton. Harganya murah. Lamb Chop yang Amie pesan harganya dalam RM20.00 sahaja. Lengkap dengan coleslow, kentang goreng dan kentang lenyek.
Puas hati dapat makan lamb chop di sini! Dagingnya agak tebal tetapi lembut.
| Sos Lada Hitamnya cukup rasa dan pekat. Lebih kurang sama rasa Sos Lada Hitam yang selalu Fuad buat. Sedap! |
Pada mulanya Wak Aton memesan spaghetti tetapi apabila sampai di meja, seleranya berubah pula! Amie pun tak ingat apa nama set menu yang Wak Aton pesan, Rasanya ada ayam goreng atau ayam panggang... kalau tak silap.
Wak Aton kata, dia hendak pesan menu lain. Pesanannya yang pertama tadi dia minta bungkus. Katanya nanti bolehlah Amie makan di rumah....aduh Wak!
Inilah menu pesanan Wak Aton yang kedua. Spaghetti Aglio Olio Seafood, tetapi ada ayam panggang juga.
| Ada kupang dan udang. |
Wak Aton kata, dia tak berani makan udang. Katanya mungkin udang palsu seperti telur tiruan! Heh! Ada-ada sahaja Wak Aton ini. Tak pernah lagi kita makan udang tiruan. Disuruhnya Amie makan. Apalagi, Amie pun makanlah seekor. Udang ini jenis udang bemban yang kenyal dan manis. Wak Aton tetap tak mahu makan. Jadi, Amie pun makanlah semua!
| Jus Epal Asam Boi & Lemon Asam Boi. |
Jumlah kesemuanya RM59.00. Memang betul, makanan di sini harga murah tapi rasa sedap. Sewaktu kami tinggalkan Kunak Western Food, semua tempat letak kereta telah penuh sampai ke jalan luar.
0 comments