Menembusi Langit dan Masa Bersama AirArabia : Dari Sharjah ke Amman
12:34 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Berlepas dari Sharjah pada pukul 8:20 pagi dan sampai ke Amman pada pukul 10:55 pagi. Nampak seperti hanya dua jam lebih sahaja dalam penerbangan tetapi sebenarnya tidak. Masa penerbangan sebenar adalah 4 jam 35 minit. Hal ini kerana masa tempatan UAE lebih awal 2 jam berbanding Jordan. Bermakna Jordan lewat 2 jam berbanding UAE. Jadi walaupun penerbangan 4 jam 35 minit, jam di pesawat menunjukkan berlepas 8:20 dan tiba 10:55 seolah-olah hanya 2 jam 35 minit jika tak kira zon masa.
Sekali lagi kami menaiki pesawat AirArabia G9337 - Airbus A320.
| Google - AirArabia |
Pengalaman menaiki pesawat AirArabia dari KLIA1 ke Sharjah mengingatkan suasana ketika terbang bersama pesawat AirAsia. Bezanya AirArabia berpusat di Sharjah, UAE dan fokus penerbangan ke rantau Timur Tengah, Afrika Utara dan sebahagian Eropah dan Asia Barat. AirAsia pula berpusat di Kuala Lumpur, Malaysia dan fokus penerbangan Asia Tenggara, Jepun, Korea, India dan lain-lain.
Kedua-duanya adalah low-cost carrier atau penerbangan kos rendah dengan caj tambahan untuk bagasi, makanan dan pilihan tempat duduk. AirArabia menggunakan bahasa Arab dan Inggeris manakala AirAsia menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris.
Oleh kerana tidak perlu menguruskan daftar masuk bagasi, jadi kami lenggang kangkung sahajalah dengan beg sandang masing-masing.
Dalam penerbangan kami disajikan dengan Tandoori Chicken Tikka Sandwich dan sebotol kecil air mineral.
Kalau AirAsia ada Santan Inflight Menu, AirArabia pula ada Sky Cafe. Sama seperti AirAsia, penumpang pesawat boleh memesan makanan ketika membeli tiket atau membeli di dalam pesawat. Biasanya harga lebih mahal jika membeli di udara.
Antara menu yang ditawarkan di Sky Cafe.
Boleh bayar guna AED (Dirham Emiriah Arab Bersatu) atau kad.
Maklumat ditulis dalam bahasa Arab dan Inggeris.
Secara tidak langsung bolehlah belajar bahasa Arab.
| Comel=comel cendera kenangannya! |
SkyTime pula ialah perkhidmatan hiburan percuma dalam pesawat yang membolehkan penumpang menonton dan mendengar pelbagai kandungan digital melalui telefon, tablet atau laptop sendiri. Ia biasanya termasuk:
- Filem (Hollywood, Bollywood, Arab dan lain-lain)
- Rancangan TV
- Muzik
- Permainan
- Maklumat destinasi pelancongan
Cara guna Sky Time:
- Selepas pesawat berlepas, hidupkan Wi-Fi pada telefon atau peranti.
- Sambung ke rangkaian Wi-Fi bernama Sky Time.
- Log masuk dan pilih hiburan yang mahu ditonton.
Menariknya, sistem ini biasanya tidak memerlukan muat turun aplikasi khas.
Sky Time ini kiranya menggantikan skrin hiburan individu pada tempat duduk yang biasanya ada dalam syarikat penerbangan bukan tambang murah. Hal ini dapat mengurangkan kos pemasangan skrin pada setiap kerusi dan menjadikan pesawat lebih ringan serta jimat minyak.
Encik Suami rasa tak seronok dengan Sky Time sebab earphonenya di dalam bagasi. Jadinya lain kali sebelum naik AirArabia kena pastikan:
- Bawa earphone/headset sendiri.
- Pastikan bateri telefon penuh.
- Boleh bawa powerbank (ikut peraturan airline).
- Gunakan skrin lebih besar seperti tablet jika ada.
- Pilih hiburan awal kerana kadang-kadang ramai penumpang guna serentak.
Oleh kerana Amie duduk di tengah-tengah dan malas hendak buka Sky Time, jadi memang tidur sajalah. Firdaus pula sudah terlelap dari awal. Sekejap tidur sekejap terjaga akhirnya sampailah kami ke QAIA - Queen Alia International Airport, Amman, Jordan.
| Google - Queen Alia International Airport |
0 comments