Kembali ke Tirai Masa Lalu : Jejak Gua Ashabul Kahfi (Cave of the Seven Sleepers)
5:12 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Tidak sabar rasanya hendak memasuki pagar untuk segera sampai ke Gua Ashabul Kahfi seusai solat di Masjid Kahfi : Solat di Masjid Kahfi : Menyusuri Jejak Ashabul Kahfi. Allah ya Allah. Ya Rahman Ya Rahim! Tidak pernah terlintas untuk sampai ke tempat yang disebut dalam Al-Quran walaupun Surah Al Kahfi itu memang dalam senarai bacaan utama. Tidak sangka Ayat 10 - 26 akhirnya menjadi nyata di depan mata pada 27 Disember 2026 lepas. Subhanallah.
Kahfi bermaksud gua. Ashabul bermaksud ahli. Mereka tidur selama 3 abad atau 309 tahun. Ada tiga gua yang dimaksudkan iaitu:
- Gua di Efesus, Anatolia, Turki sekarang. Paulus, Orang Yahudi dan Kristian mempercayainya di sini.
- Gua di Damsyik, Syria.
- Gua di Amman, Jordan. Gua ini lebih menepati ciri-ciri yang diberi dalam Al-Quran.
Sewaktu jelajah Efesus di Turki ada 2017, dari dalam bas Amie terpandang papan tanda Seven Sleepers di simpang jalan. Namun ketika itu tidak terdetik di hati tentang tujuh pemuda yang disebut dalam Surah Al Kahfi berada di situ. Hal ini kerana tour leader dan juga tour guide tidak menyentuh sedikit pun hal tersebut. Jadi, perkara tersebut habis di situ sahaja. Amie sempat ambil gambar papan tanda (walaupun kurang jelas kerana bas sedang bergerak), namun Amie telah menulis entri berkaitan dengan hal tersebut di sini: Ephesus (Ancient Greek City).
| Cave of the Seven Sleepers - Jordan |
| Kredit - Gambar Trip Jordan-Al Aqsa |
Memandangkan ketika itu hujan dan rombongan kami pula ramai, jadi tidaklah dapat rakam tempat-tempat tertentu kerana tidak mahu berebut-rebut. Tambahan pula ramai pelawat lain yang hendak masuk ke Gua Ashabul Kahfi juga. Rasa terkilan pun ada sebab ada perkara berkaitan Gua Ashabul Kahfi tidak terakam. Allahu Akbar! Mana tahu suatu hari nanti dapat berkunjung sekali lagi ke sini. Rezeki Allah, siapa kan tahu?
Video Lawatan ke Gua Ashabul Kahfi.
| Pemandangan Masjid Kahfi dari pintu masuk ke Gua Ashabul Kahfi. |
Kami dinasihati supaya berhati-hati ketika melalui jalan ini disebabkan jalan berbatu basah dan licin kerana hujan.
| Kelihatan sebahagian Masjid Kahfi yang dibina berhampiran Gua Ashabul Kahfi. |
| Binaan daripada batu kapur keras (limestone). |
Tembok batu bata dibina untuk menutup sebahagian pintu gua. Sebahagian besar binaan dipercayai dari era Umayyad Caliphate (abad ke-7 hingga 8 Masihi) berdasarkan kajian arkeologi.
Sekarang kami sudah sampai di pintu Gua Ashabul Kahfi.
Pinjam gambar tour leader, Prof. Dr. Azmil yang berdiri tepat di pintu Gua Ashabul Kahfi.
| Firdaus rakam gambar kami di pintu Gua Ashabul Kahfi. |
Kisah Ashabul Kahfi adalah salah satu kisah yang paling menakjubkan dalam Al-Qur'an, tepatnya dalam Surah Al-Kahfi (Ayat 9-26). Kisah ini menceritakan tentang sekelompok pemuda beriman yang melarikan diri dari penguasa zalim demi mempertahankan tauhid mereka.
Berikut merupakan keajaiban mereka menurut Al-Qur'an:
- Para pemuda ini menolak menyembah berhala dan memilih untuk meninggalkan kemewahan hidup mereka di kota demi menjaga agama.
- Ketika memasuki gua, mereka berdoa: Ya Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami. (QS. 18:10).
- Tidur selama 309 Tahun. Allah menidurkan mereka selama 300 tahun syamsiyah atau 309 tahun qamariyah.
- Selama tidur, Allah membolak-balikkan tubuh mereka ke kanan dan ke kiri agar kulit mereka tidak hancur bersentuhan dengan tanah.
Menurut Ibn Abbas pendapat yang kuat iaitu kesemua penghuni gua seramai tujuh orang pemuda dan yang kelapan termasuk anjing. Dikatakan nama pemuda-pemuda tersebut adalah Tamlikha, Miksalmina, Mikhaslimia, Martelius, Casitius, Sidemius dan seorang pengembala kambing bersama anjingnya Qithmir. Qithmir menjaga di ambang pintu gua dengan membentangkan kedua lengannya.
Jadi, apa yang kami temui di dalam Gua Ashabul Kahfi?
Kami menyaksikan struktur berbentuk makam @ maqam (dalam bahasa Arab maqam bermaksud kedudukan, darjat atau tempat berdiri) yang memanjang:
Kami menyaksikan struktur berbentuk makam @ maqam (dalam bahasa Arab maqam bermaksud kedudukan, darjat atau tempat berdiri) yang memanjang:
- Dindingnya daripada batu.
- Disusun seperti kubur lama.
- Terdapat tujuh makam @ maqam - tempat tidur.
- Mihrab kecil - menunjukkan pernah menjadi tempat solat.
| Tour guide Gua Ashabul Kahfi |
Keajaiban Gua Ashabul Kahfi yang terletak di Abu Alanda, pinggiran kota Amman, Jordan ini dikaitkan dengan penjelasan ilmiah yang selaras dengan ayat Al-Qur'an. Menurut petugas Gua Ashabul Kahfi, salah satu mukjizat yang paling menonjol dari gua ini berkaitan dengan lubang cahaya matahari dan pengudaraan.
Amie ambil gambar lubang masuk cahaya matahari tetapi entah mana satu lubang cahaya tersebut!
Lubang di bahagian atas gua yang membenarkan cahaya matahari masuk cukup untuk memberikan suasana terang namun tidak membakar atau merosakkan jasad penghuninya ketika itu. Pintu gua menghadap ke arah barat daya. Posisi ini memastikan sinar matahari tidak masuk secara tegak lurus ke kawasan utama tempat mereka tertidur, sehingga suhu di dalam tetap sejuk dan stabil selama ratusan tahun.
Lubang tersebut juga berfungsi sebagai sistem pengudaraan semula jadi yang sangat baik, memastikan udara segar terus berganti sehingga mencegah kelembapan tinggi yang boleh merosakkan tulang-belulang.
Selain tujuh makam (tempat tidur) yang sesuai dengan jumlah pemuda dalam kisah tersebut,
ada lubang kecil pada salah satu makam dan boleh dilihat kumpulan tulang belulang manusia di situ. Kewujudan duit syiling lama dan lampu minyak dari zaman Byzantium turut menguatkan bukti waktu terjadinya peristiwa tersebut. Nama Byzantium turut terkait kerana ketika itu Amman dan Jordan merupakan sebahagian dari laluan perdagangan dan pengaruh budaya Rom (Byzantium).
Selain syiling lama, fragmen tembikar dan lampu minyak dari zaman Byzantium, terdapat inskripsi atau tulisan kuno di dinding gua.
| Bongkah batu dengan tulisan Arab lama. |
Mata tertarik melihat satu bongkah batu yang diukir dengan tulisan Arab lama. Tulisan itu kelihatan pudar, tetapi masih menampakkan keindahan seni kaligrafi zaman silam. Batu seperti ini biasanya dijadikan catatan sejarah, doa, atau tanda ziarah umat Islam yang datang menghormati kisah Ashabul Kahfi sejak berabad-abad lamanya. Ia menjadi bukti bahawa gua ini menjadi tempat yang terus hidup dalam ingatan manusia.
Memandang batu-batu purba itu, rasanya seolah-olah sedang menyentuh serpihan masa. Setiap ukiran dan tulisan menjadi saksi kepada perjalanan panjang dan tamadun yang silih berganti dari masyarakat awal, ke zaman Kristian purba, hinggalah ke era Islam. Walaupun tidak dapat dipastikan sama ada makam tersebut benar-benar milik para pemuda Ashabul Kahfi, kewujudan struktur ini jelas menunjukkan betapa besarnya penghormatan manusia terhadap kisah keimanan mereka.
Gambar di atas merupakan Batu Penutup Makam @ Nisan Purba. Bentuknya berupa ukiran geometri, segi tiga dan bentuk bingkai. Bahagian tengah seperti ruang tulisan atau simbol. Permukaan batu dipahat dengan tangan,
Ahli arkeologi percaya batu seperti ini ialah penutup makam lama dan struktur penanda kubur dalam gua. Di beberapa tapak gua purba Timur Tengah, ukiran geometri digunakan sebagai simbol keagamaan atau tanda perlindungan spiritual.
Dalam kesunyian gua, batu-batu itu seakan berbicara tanpa suara. Ia mengingatkan bahawa sejarah bukan sekadar catatan dalam kitab atau cerita lisan, tetapi turut terukir pada dinding dan bongkah batu yang mampu bertahan merentasi zaman. Berdiri di hadapan tinggalan purba itu, kita dapat merasakan betapa kecilnya manusia dalam arus masa, namun kisah keimanan Ashabul Kahfi tetap hidup, memberi inspirasi kepada setiap jiwa yang menjejak tempat ini.
Gambar di atas merupakan keranda dan terdapat lubang kecil yang membolehkan pelawat melihat tulang-temulang manusia di dalamnya.
| Bergambar di hadapan empat makam ( tempat tidur) di sebelah kiri arah pintu gua. |
Untuk renungan bersama berdasarkan Al Quran Surah Al Kahfi:
“Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkan-Nya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.”
(Al-Kahfi Ayat: 17)
Dan engkau mengira mereka itu tidak tidur, padahal mereka tidur; dan Kami bolak-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka membentangkan kedua lengannya di depan pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka, tentu kamu akan berpaling melarikan (diri) dari mereka dan pasti kamu akan dipenuhi rasa takut terhadap mereka. (Al Kahfi Ayat 18.)
| Bergambar di sebelah kanan makam (tempat tidur) arah kanan ke pintu gua. |
| Suasana di luar Gua Ashabul Kahfi. |
Kami sempat meninggalkan nama dan tanda tangan di dalam Gua Ashabul Kahfi. Mudah-mudahan kami mendapat ibrah dan pengajaran dari kunjungan ini.
Sebelum ini Firdaus menyatakan hasratnya hendak melihat pokok zaitun. Kebetulan ada sepohon zaitun di sini, jadi Amie gmbil gambar Firdaus di bawah pokok zaitun.
| Gambar kenangan di tepi Gua Ashabul Kahfi. |
| Bergambar kenangan sebelum meninggalkan kawasan Gua Ashabul Kahfi. |
Gua ini menyimpan rahsia kesabaran beratus tahun, dan iman yang tak pernah luntur walau zaman menekan. Melangkah masuk di Gua Ashabul Kahfi mengajar hati agar sentiasa bertawakkal, kerana Allah selalu menjaga hamba-Nya yang beriman. Tidur mereka beratus tahun, namun pengajaran mereka kekal abadi. Ini menunjukkan iman itu harta yang tiada tandingan. Setiap batu di gua ini seakan berbisik: Bersabar, teguh pada prinsip, dan percayalah pada hikmah Allah. Ya, Gua Ashabul Kahfi bukan sekadar sejarah, ia cermin jiwa untuk merenung dan memperteguh iman.
Masya Allah.
Subhanallah.
Subhanallah.
0 comments