Antara Debar dan Tawakal Ketika Melalui Pintu Imigresen Menuju ke Palestin
12:26 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Entri kali ini tiada gambar yang berkaitan tulisan. Hal ini disebabkan kami sudah diberi amaran untuk tidak merakam sebarang gambar sepanjang proses perjalanan melintasi kawalan pemeriksaan imigresen dari Allenby Bridge memasuki sempadan Palestin. Rasa agak sukar juga untuk menuliskannya kerana kami bukan sekadar melalui perjalanan fiizikal tetapi juga perjalanan emosi yang sukar digambarkan.
Melalui perkongsian peta di bawah ini, diharap dapatlah rakan-rakan memahami perjalanan kami yang bermula dari Amman menuju ke Jericho dan seterusnya Jerusalem. Nun di hujung sana ada Gaza. Itulah tempat perjuangan dan syahid saudara kita di sana. Ini bermakna kami tidak menghampiri kawasan tersebut.
| Peta kedudukan Palestin dan Israel. |
Antara perkara yang diberi peringatan oleh agen pelancongan sebelum kami menuju ke sana termasuklah:
- Turunkan sebarangan hantaran atau postingan di media sosial seperti FB. Isra boleh kesan melalui nombor telefon kita. Nombor telefon wajib ditulis dalam borang permohonan visa ke Jerusalem.
Barangkali ada yang tertanya-tanya kenapa Isra yang perlu memberi kelulusan untuk ke Palestin. Hal ini kerana sebahagian besar wilayah Palestin berada di bawah kawalan Isra samada secara langsung atau tidak langsung. Antara wilayah tersebut termasuklah Tebing Barat seperti Ramallah dan Hebron. Isra mengawal sempadan, ruang udara dan pergerakan keluar masuk utama Tebing Barat. - Gaza tidak ditadbir Isra secara langsung tetapi sangat terhad dari segi kawalan luar. Namun Isra menguasai Baitulmaqdis Timur (East Jerusalem) dan menganggap Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya. Palestin pula menuntut Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka. Inilah antara isu yang paling sensitif dalam konflik di antara kedua-dua negara tersebut.
Jadi, Palestin tidak bebas sepenuhnya dan tidak berdaulat sepenuhnya tetapi bukan 100% ditadbir Isra dari segi pentadbiran dalaman. - Tidak dibenarkan sama sekali mengambil gambar atau merakam video sepanjang proses di pos kawalan imigresen. Mereka mempunyai alat yang sentiasa dipasang untuk mengesan sesiapa yang mengambil gambar.
- Soalan yang dikemukakan oleh pegawai imigresen Isra mesti beri jawapan yang sama iaitu tujuan datang Palestin hanya untuk melancong.
- Jangan terlalu menonjol dari segi pakaian seperti memakai pakaian warna ikut warna bendera, logo, serban dan muffler yang mempunyai lambang negara Palestin.
- Buat bodoh sahaja, tapi jangan nampak bodoh sangat..... yang ini, faham-faham sajalah.
| Borang Permohonan Visa ke Jerusalem 2025. |
Aneh bukan? Kami hendak ke negara Palestin tapi dikehendaki mengisi borang visa ke Jerusalem dan melalui pintu kawalan Isra. Imigresen Isra yang akan menentukan samada diluluskan atau sebaliknya. Borang ini dihantar 50 hari sebelum terbang. Antara soalan yang perlu dijawab termasukkan negara-negara yang pernah dikunjungi pada tahun tersebut.
Pihak agen pelancongan juga mengingatkan kami ketika melalui imigresen Allenby Bridge (juga dikenali sebagai King Hussein Bridge) yang menghubungkan Jordan dan Tebing Barat (Palestin), terdapat beberapa barangan yang dilarang atau sangat dikawal ketat oleh pihak berkuasa Isra. Berikut ialah senarai umum barangan yang dilarang atau perlu diberi perhatian:
- Senjata atau bahan letupan termasuk replika atau barangan yang kelihatan seperti senjata.
- Dokumen berkaitan politik atau anti-Isra seperti risalah, buku, atau bahan bercetak yang dianggap bersifat hasutan.
- Drone atau pesawat tanpa pemandu tidak dibenarkan tanpa permit khas.
- Peralatan komunikasi canggih seperti walkie-talkie, satelit phone dan sebagainya.
- Barangan elektronik dalam kuantiti besar seperti laptop, tablet, kamera yang boleh menimbulkan kecurigaan jika dibawa banyak.
- Ubat-ubatan tanpa preskripsi terutama yang kuat atau berbentuk cecair. Peserta rombongan disarankan membawa salinan preskripsi atau surat doktor. Kalau bawa sekadar keperluan peribadi tidak mengapa.
- Produk makanan dalam kuantiti banyak terutama daging, hasil tenusu, atau makanan segar.
- Wang tunai berlebihan iaitu melebihi jumlah tertentu tanpa pengisytiharan (biasanya USD 10,000 atau setara).
- Barang-barang untuk tujuan perdagangan tanpa pengisytiharan atau permit kastam.
Makluman mengenai sumbangan di Jerusalem:
- Peserta yang ingin memberikan sumbangan atau bersedekah semasa berada di Jerusalem atau di Masjidil Aqsa, digalakkan untuk membawa sumbangan dalam bentuk wang tunai sahaja.
- Sumbangan dalam bentuk barangan tidak dibenarkan, kerana nanti barangan akan melalui proses imbasan di border dan boleh melambatkan urusan keluar masuk sempadan.
- Selain itu, peserta rombongan dialu-alukan menyokong penduduk tempatan melalui pembelian produk atau barangan di Jerusalem. Sokongan melalui pembelian adalah salah satu cara membantu ekonomi masyarakat di sana dan bukan hanya melalui pemberian wang sahaja .
- Sumbangan ini adalah pilihan (tidak wajib) dan makluman ini diberikan sekadar info bagi peserta yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai cara menyalurkan sumbangan semasa berada di Jerusalem.
Ada satu kisah yang disampaikan oleh syarikat pelancongan dan boleh dijadikan iktibar dan pengajaran untuk para peserta:
Pegawai Israel di Allenby Bridge terkenal dengan kawalan keselamatan yang sangat ketat. Pernah terjadi group Malaysia sebelum ini, salah seorang ditahan dan di masukkan ke bilik siasatan kerana apabila melalui proses imbasan terdapat barang yg mencurigakan seperti peluru di dalam beg. Apabila diperiksa muncung peluru yang dimaksudkan hanyalah pensil tetapi dalam jumlah yang banyak. Apabila ditanya mengapa beliau membawa begitu banyak pensil, dia memjawab : Untuk diberikan kepada kanak-kanak di sana.
Jadi untuk mengelakkan permasalahan begini berulang dan memastikan kelancaran proses di sempadan, kami hanya bawa barang keperluan sahaja ke sana
Kita kembali ke pangkal cerita:
Ketika tiba di sempadan Jordan, kami dikehendaki turun dari bas dan membawa semua beg kami untuk diimbas. Selesai urusan , kami naik semula ke dalam bas dan meneruskan perjalanan memasuki sempadan Palestin melalui Alleby Bridge. Semua kenderaan diperiksa oleh polis lengkap dengan senjata dan anjing pengesan.
Ketika tiba di sempadan Jordan, kami dikehendaki turun dari bas dan membawa semua beg kami untuk diimbas. Selesai urusan , kami naik semula ke dalam bas dan meneruskan perjalanan memasuki sempadan Palestin melalui Alleby Bridge. Semua kenderaan diperiksa oleh polis lengkap dengan senjata dan anjing pengesan.
Ada debar yang sukar dijelaskan ketika melintasi Allenby Bridge. Bukan kerana takut, tetapi kerana sedar kami sedang melangkah ke bumi yang saban hari disebut dalam berita dan doa.
Setelah melepasi pagar sekatan, sekali lagi kami beratur melalui imbasan bagasi, pemeriksaan tubuh oleh polis imigresen perempuan dalam bilik. Keadaan agak sesak dengan para pelancong dan beg yang bertimbun-timbun. Sewaktu kami ambil beg sandang yang sudah diimbas, air mineral terkeluar dari kantung beg sandang. Lipstik dan power bank terkeluar dari beg tangan. Entah terkeluar sendiri entah dibuka! Banyak beg bertolak-tolak dan bertimpa-timpa dari scan rail.
Ada satu peristiwa mengejutkan berlaku ke atas tiga orang peserta kami. Salah seorang daripadanya, peserta wanita telah ditahan hanya kerana mengucapkan 'Alhamdulillah' setelah mengambil beg yang baru diimbas. Terpaksalah peserta tadi ikut arahan menyerahkan beg dan disoal siasat. Semua ruang beg dibuka termasuk beg toiletries.
Terakhir, kami beratur untuk pemeriksaan passport. Seminggu sebelum terbang, kami dimaklumkan bahawa permohonan visa kami telah diluluskan oleh Isra. Dan pihak agen juga telah memaklumkan sekiranya ada di antara visa peserta tidak diluluskan, peserta akan digantikan dengan aktiviti lawatan sekitar Amman, Jordan. Sekarang passport kami diimbas untuk cetakan visa memasuki negara tersebut. Apabila kami keluar dari bilik imbasan, hujan renyai-renyai sedang menanti untuk membasahi tubuh kami!
Ketika ini kami berpisah buat sementara waktu dengan tour guide Jordan, Nash. Selepas kembara kami empat hari tiga malam di bumi Palestin, kami akan bertemu kembali dengan beliau di Jordan.
Inilah visa ke Jerusalem yang telah diluluskan oleh imigresen Isra pada 28 Disember 2025.
Begitulah, antara debar dan tawakal ketika melalui pintu imigresen menuju ke Palestin. Perasaan tersebut muncul disebabkan kawalan sempadan dikendalikan oleh pihak Isra, pemeriksaan yang panjang, suasana kawalan keselamatan yang ketat dan sangat serius, soalan-soalan yang teliti (untuk peserta tertentu) dan menunggu tanpa kepastian. Hal ini kerana kita sudah tahu wilayah yang akan dikunjungi mempunyai sejarah konflik yang panjang, jadi hati sentiasa berdebar-debar.
Allahu Akbar!
Sebelum ini kami sudah dimaklumkan bahawa proses imigresen paling cepat tiga jam dan paling lama lima jam. Entah berkat solat hajat atau berkat doa di antara para peserta, proses imigresen kami hanya lebih kurang dua jam. Biasanya bas dan tour guide dari Palestin akan menunggu peserta rombongan, tetapi kali ini kami pula yang perlu menunggu kedatangan mereka. Mereka fikirkan proses tersebut sama dengan peserta rombongan sebelum ini dan tidak menyangka kami dapat melepasi pemeriksaan tersebut begitu cepat!
Sebelum ini kami sudah dimaklumkan bahawa proses imigresen paling cepat tiga jam dan paling lama lima jam. Entah berkat solat hajat atau berkat doa di antara para peserta, proses imigresen kami hanya lebih kurang dua jam. Biasanya bas dan tour guide dari Palestin akan menunggu peserta rombongan, tetapi kali ini kami pula yang perlu menunggu kedatangan mereka. Mereka fikirkan proses tersebut sama dengan peserta rombongan sebelum ini dan tidak menyangka kami dapat melepasi pemeriksaan tersebut begitu cepat!
Alhamdulillah.
| Firdaus bersama Hassan, tour guide Palestin. |
Ketika akhirnya melangkah masuk ke dalam bas, Amie hanya mampu menarik nafas panjang dan bersyukur. Rasa lega bercampur sayu. Kami sudah sampai ke bumi para nabi, bumi doa yang sering kita titipkan dalam sujud.
0 comments