Rebung Masak Sup Dengan Ayam
6:46 PTGSelamat bertemu kembali.... rasa rindu pula hampir 2 hari tak buka blog... semua tugas telah berakhir, aktiviti berjalan lancar dan dapat pula sesuatu yang boleh dikongsi bersama.... rebung! Rebung yang Amie bawa pulang ke rumah ni rebung istimewa tau. Amie sering pesan pada Nur Fadhillah, rakan setugas Amie....kalau ada rebung jangan lupa bagi sikit kat kita ye..... dan pagi tadi sebaik Amie parking kereta di garaj, datang Nur Fadhillah dengan bungkusan rebung yang sudah siap dicincang. Terima kasih banyak-banyak Dillah, lain kali bawa lagi. Sebenarnya rebung yang kawan Amie bawa ni bukan jenis rebung yang biasa kita makan.Ini jenis rebung betung, dan pertama kali Amie makan sewaktu Amie berada di Kampung Silungai, perkampungan masyarakat Murut di Pensiangan pada Mei 2005. Masya-Allah.... Amie tak percaya begitu lazat sekali rasa rebung masakan kawan Amie, Roseneh Taringa (sekarang Roseneh di Ranau). Masakannya sangat ringkas tapi..... disebabkan rebungnya yang manis (langsung tiada rasa pahit), Amie terlupa bahawa Amie sedang makan rebung masak bening. Apa tidak beningnya, hanya direbus dan campur dengan garam serta dicampur sedikit daun apa' yang ditumbuk. Anda tahu apa itu daun apa'? Sejenis daun yang digunakan sebagai perasa tradisonal dalam makanan. Rasanya seakan-akan rasa pengganti rasa ajinomoto..... Lepas itu Amie tidak lagi menemui rebung itu sehinggalah suatu hari Nur Fadhillah membawa bungkusan rebung untuk seorang rakan, dan Amie yang tak malu ini bertanya apa isinya, dan lebih tak tahu malu lagi sebab siap pesan, bawakan sekali untuk Amie sebab Dillah kata rebungnya (ada rumpun rebung di kebunnya) jenis yang tak pahit. Dan kali ini entah kali ke berapa rebung pemberian Dillah sampai ke tangan Amie. Amie teringin masak sup seperti Roseneh masak di Pensiangan dulu, tapi tak adalah daun apa' itu.... yang tumbuh di hutan belantara dan hanya penduduk di situ sahaja yang mengenalinya.
Bahan-bahan:
400 gram rebung (cincang)
400 gram daging ayam (potong ikut suka)
5 batang daun sup (cincang)
5 biji bawang putih (cincang)
1/2 labu bawang besar (cincang)
3cm halia muda (cincang)
1 sudu lada putih (tumbuk)
minyak
600ml air
garam / serbuk pati ayam
bawang goreng
daun sup
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih, bawang besar serta halia hingga wangi.
2. Masukkan ayam bersama batang daun sup serta balik-balikkan hingga ayam layu.
3. Masukkan air dan biarkan mendidih.
4. Apabila ayam hampir masak, masukkan rebung bersama lada putih.
5. Masukkan serbuk pati ayam secukup rasa.
6. Apabila sudah masak, bolehlah hidangkan bersama daun sup dan bawang goreng.
Amie masak sup ikut cara Bonda. Biar seringkas manapun, ayam mesti dilayukan dahulu dengan cara menumis sebelum ditambah air untuk sup. Menurut Bonda, apabila daging atau ayam telah layu, bermakna bau hanyir telah mati dan bolehlah ditambah air.
PERINGATAN: KALAU ANDA MASAK SUP REBUNG BIASA .... AMIE TAK BERTANGGUNGJAWAB KE ATAS RASANYA YE..... SEBAB REBUNG BIASA RASANYA GETIR & PAHIT SEDIKIT... DAN KURANG SESUAI UNTUK MASAK SUP TAPI LEBIH SESUAI MASAK LEMAK CILI PADI DAN RESEPI LAIN, SEDANGKAN REBUNG YANG AMIE MASAK DI ATAS ADA RASA2 UMBUT KELAPA SIKIT... DAN MEMANG SEDAP DIBUAT SUP.
0 comments