Kerabu Mangga
9:32 PTGSukanya hati Amie melihat pokok mangga udang di belakang rumah mula berputik. Banyaknya tidak terkira, maklum lepas hujan beberapa bulan, pokok-pokok pun terus tumbuh subur. Sementara pokok mangga sedang mengeluarkan putik, di dapur banyaklah pula buah mangga manila. Amie suka buah mangga manila sebab rasanya tidak masam walaupun masih muda. Teringat Amie beberapa tahun lalu semasa mengikuti kursus orientasi kurikulum di Kuala Lumpur, kami menginap selama seminggu di Hotel Federal. Sebelum check in yang ditetapkan pada pukul 2 petang, kami yang datang awal dari Sabah & Sarawak terpaksalah mencari makan di sekitar tempat tersebut. Sebenarnya badan rasa letih sebab terbang sehari sebelumnya dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu. Kena bermalam pula di hotel, bukannya tidur lena... dahlah sendirian takut terlepas penerbangan pula sebab pukul 6 pagi kapal terbang berlepas. Pukul 3 pagi dan bangun bersiap untuk tiba di airport Kota Kinabalu. Bayangkan sampai KLIA sekitar pukul 9 pagi, naik limosin terus ke hotel. Kebetulan di hadapan Hotel Federal ada sebuah restoran 'nasi ayam hainan'.... tak tahulah Amie, ada lagi ke tidak restoran tu hari ini sebab dah hampir 7 atau 8 tahun yang lalu. Bukan nasi ayamnya yang Amie ingat tapi kerabu mangga yang diperkenalkan kepada kami.... wokey, saya nak cuba.... itu jawapan Amie kepada pelayan restoran. Mula-mula rasa pelik, kenapa pula nasi ayam makan dengan kerabu mangga.... he he he...sampai sekarang Amie tak boleh lupa menu itu. Amie masih ingat dengan jelas.... kerabu mangganya sangat ringkas tapi rasa sangat sedap dengan penyediaannya yang cukup sederhana. Mangganya tidak masam dan tidak manis, hanya dicampur dengan daun ketumbar, hirisan cili padi warna hijau dan yang tak mungkin Amie lupa ialah ada kacang tanah dan ikan bilis yang ditumbuk kasar-kasar. Rasanya pula, terasa manis sedikit..... senang saja nak menyediakannya macam di bawah ini..... tapi Amie tambah sikit-sikit seperti sos ikan dan bawang....
Bahan-bahan:
3 biji mangga manila (sebaiknya yang belum masak)
1 tangkai daun ketumbar (hiris nipis)
1 labu bawang besar (mayang halus)
1/2 cawan kacang tanah goreng (tumbuk kasar-kasar)
1/2 cawan ikan bilis goreng (tumbuk kasar-kasar)
10 biji cili padi (hiris)
1 sudu sos ikan
1 sudu gula
Cara:
1. Racik halus buah mangga.
2. Masukkan cili padi, daun ketumbar, bawang besar dan gula. Gaul rata.
3. Taburkan ikan bilis dan kacang tanah.
4. Renjiskan sos ikan.
5. Sedia untuk dihidangkan.
~ Amie ratah begitu saja kerabu mangga ni.... dah lama teringin....
0 comments