ADSENSE

Sabtu, 23 Februari 2013

Nasi Ayam

Assalamualaikum.
Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen. Petang ini cuaca agak mendung, nyaman sekali! Enaknya kalau dapat lelapkan mata buat seketika. Anak-anak sedang sibuk membantu Encik Suami meneruskan kerja mengemaskini perpustakaan kecil kami yang telah diubahsuai. Walaupun pada sebelah pagi hingga tengahari terlibat dengan aktiviti kokurikulum di sekolah, tetapi setelah dihidangkan dengan Nasi Ayam, nampaknya ringan tulang pula anak-anak dengan tugasan masing-masing termasuk mengecat dinding dan juga menyusun buku-buku serta majalah.


Amie sempat sediakan hidangan Nasi Ayam, menu kegemaran seisi keluarga kami! Kepada adik-adik dan sesiapa yang berminat untuk mencuba resepi ini, Amie persilakan dengan senang hati. Resepi ini Amie perolehi sejak zaman remaja lagi dan kali ini Amie tidak merujuk kepada mana-mana resepi nasi ayam yang lain, cuma yakinkan diri menu yang kita hasilkan juga tidak kurang lazatnya!


Hidangan lengkap Nasi Ayam bersama ayam goreng, sup, sambal, kicap serta hirisan timun dan tomato. Syukur Alhamdulillah, Encik Suami dan anak-anak tidak pernah bersungut setiap kali hidangan disajikan di atas meja. Ini memudahkan tugas Amie di dapur untuk memasak apa yang ada. Sewaktu Amie sibuk di dapur, anak-anak datang mengingatkan supaya Amie jangan lupa merenjis minyak bijan di atas ayam goreng dan ayam rebus! Anak-anak memang sudah terbiasa dengan bau minyak bijan dan mereka rasakan satu kekurangan kalau Amie tidak menggunakannya untuk hidangan Nasi Ayam. Rasa seronok sangat bila si bongsu yang duduk di kerusi sebelah Amie membisikkan kata-kata: Masakan Mummy sedap! Nasi Ayam memang sedapkan!


Untuk lauknya pula, Amie buat 2 versi. Versi di atas kononnya versi kukus (tapi sebenarnya rebus), sebab Amie suka makan nasi ayam dengan ayam kukus. Dan versi di bawah pula ialah versi goreng, sebab Amie tahu anak-anak suka ayam goreng. Bagaimana pun, versi kukus pun habis licin oleh anak-anak! Mungkin ramai yang kurang menggemari ayam rebus atau ayam kukus sebagai lauk nasi ayam, tapi Amie kongsikan juga resepinya di sini. Untuk rasa yang lebih manis, sebaik-baiknya daging ayam dikukus bersama halia dan bawang putih serta stok ayam pekat MAGGI. Air daging ayam yang keluar sewaktu proses mengukus terasa manisnya. Tapi oleh kerana Amie ingin gunakan air rebusan ayam untuk masak Nasi Ayam, jadi Amie rebus sahaja daging ayam tersebut. Sebelum itu, sebagai peringatan, eloklah gunakan ayam segar untuk menghasilkan Nasi Ayam yang lazat, dan harum!

Bahan-bahan:
1 keping daging ayam bahagian peha
3 ulas bawang putih - pecahkan
1 labu bawang besar - belah 6
3cm halia - pecahkan
1 sudu makan serbuk pati ayam MAGGI Cukup Rasa
1 liter air
1 sudu makan minyak bijan
1 sudu makan kicap cair
1 tangkai daun ketumbar - hiris

Cara:
1. Didihkan air di dalam periuk.
2. Masukkan daging ayam, bawang putih, bawang besar dan halia.
3. Renih daging ayam dengan api sederhana.
4. Setelah daging ayam empuk, masukkan serbuk pati ayam MAGGI Cukup Rasa.
5. Keluarkan daging ayam dari periuk dan cincang / potong ikut suka.
6. Taburkan hirisan daun ketumbar dan renjiskan minyak bijan dan kicap cair ke atasnya.
7. Sedia untuk dihidangkan bersama Nasi Ayam.



Versi ayam goreng pula merupakan menu biasa yang Amie rasa semua orang sudah tahu, tapi Amie paparkan juga di sini untuk sesiapa yang masih tercari-cari resepi untuk ayam goreng sebagai pelengkap hidangan Nasi Ayam.

Bahan-bahan:
2 keping daging ayam bahagian peha
3 ulas bawang putih - tumbuk
4 cm halia - tumbuk
1 sudu teh lada putih - tumbuk
1 sudu teh serbuk kunyit
3 sudu makan sos tiram
1 sudu teh kicap pekat
2 sudu makan minyak bijan - jika tidak suka, tak perlu bubuh
minyak

Cara:
1. Cuci dan toskan daging ayam sehingga kering.
2. Perap ayam bersama bawang putih, halia, lada putih, serbuk kunyit, sos tiram, kicap pekat dan minyak bijan selama 1 jam.
3. Goreng di dalam minyak yang banyak menggunakan api sederhana panas.
4. Angkat setelah daging ayam masak atau berwarna emas keperangan.


Biasanya Amie masak Nasi Ayam cara kukus tetapi kali ini Amie masak cara biasa dengan menggunakan rice cooker.

Bahan-bahan:
4 cawan beras basmathi  (rendam selama 20 minit) - boleh gunakan beras wangi atau beras biasa
5 cawan air rebusan ayam
1 sudu makan stok ayam pekat MAGGI
4 sudu makan marjerin
3 ulas bawang putih - hiris halus
3cm halia - hiris halus
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
1 helai daun pandan - siat-siat

Cara:
1. Panaskan marjerin di dalam periuk sehingga cair.
2. Masukkan bawang putih, halia, kulit kayu manis, bunga cengkih dan daun pandan. Tumis sehingga harum dan layu.
3. Masukkan air rebusan ayam dan stok ayam pekat. 
4. Setelah air mendidih, masukkan beras dan tutup periuk.
5. Biarkan sehingga nasi masak.


Setiap kali Amie menyediakan sos sambal untuk Nasi Ayam, Amie teringat FIL yang sukakan rasa serta bau harum jus limau kasturi sebab Amie gunakan perahan limau kasturi. Kadang-kadang Amie masukkan sedikit hirisan kulit limau kasturi ke dalam sos sambal ini. Amie kongsikan juga resepinya untuk rujukan Amie sendiri sekiranya terlupa dan juga rujukan rakan-rakan pengunjung.

Bahan-bahan:
2 biji cili merah - buang biji
9 biji cili padi minyak 
2 biji tomato merah
5 ulas bawang putih
3 cm halia
5 biji limau kasturi - ambil jusnya
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan di atas dan kisar halus.
Untuk mendapatkan rasa yang lebih mesra, sos sambal ini boleh disediakan lebih awal beberapa jam sebelum dihidangkan bersama Nasi Ayam.


Ini pula sos kicap untuk Nasi Ayam. Amie gunakan lebihan bahan perapan daging ayam dan dicampur dengan kicap manis serta sedikit air bancuhan tepung jagung serta 2 sudu makan minyak bijan. Caranya mudah sahaja, iaitu masukkan kesemua bahan di dalam periuk dan masak dengan api perlahan hingga mendidih dan kuah menjadi pekat. 



Oh! Sudah siap rupanya hidangan Nasi Ayam. Untuk supnya pula, didihkan kembali air rebusan ayam, tambahkan sedikit lada putih tumbuk. Hidangkan bersama hirisan daun bawang, daun sup dan juga bawang goreng.

23 ulasan:

Cheq Sue berkata...

aduh, kecur air liur nengok nasi ayam ni. saya belum makan ni kak amie, memang starving sangat ni... baru aje masak nasik, lauk mentah tak ada, nak masak telur tak selera, godek2 esbok terjumpa 2 ekor ikam pekasam, itu ajelah lauknya petang ni... huuuuuuuuuu

Wattie berkata...

Assalamualaikum Amie cayang,
Akak pun macam Cheq Sue jugak, tak makan lagi, cuma pagi tadi jer pekena nasi lemak yg hubby bawak balik. Ni singgah sini harap harap dapatla satu set buat menjamu selera......dah kecur air liurku ini......adoiiii.....tolongggggg.....

cikmanggis berkata...

salam amie.Cm nak try versi kukus atau rebus la pulak.Lebih sihat kan...apa khabar Lahad datu?semoga segalanya akan kembali pulih seperti sediakala.

Delima Zamrud berkata...

Isk isk isk Amie sungguh mengancam jiwa tgk kejadian ayam nyer yg amat menyelerakan itu, Nampak sgt sedap :D..

whitecappuccino berkata...

semua hidangan lazat.klu nk msk apa2 tengok je kt blog amie ni..semua ada. tq amie.

Cik Kamoo berkata...

sedapnyelah. sy tak pernah lagi cuba masak nasi ayam. kena try lah lepas nie

mama sara nur berkata...

assalam k.amie
tadi tengahri sy pun makan nasi ayam tp beli he heee
teringin nak masak sendiri ,sy simpan resepi nasi ayam ni ye

Acik Erna berkata...

Assalam amie.acik opun terlliur tengok gambar nasi ayam ni.mesti sedap ni tu sebab anak2 amie suka.bertuah anak2 dapat mama yang rajin dan pandai masak

zana fahmi berkata...

kak zana masak nasi ayam tak pernah update dlm blog, malas betul. amie rajin tulis2 semua tu...hehe..kakzana tumpang seronok, boleh tiru resipi amie.

Mamasya berkata...

Aslmkum Amie
nampak menyelerakan nasi ayam Amie hidangkan ini. kalau nasi ayam mmg favorit kami sekeluarga juga....laku licin. cuma versi kukus belum pernah cuba.

Amie berkata...

Cheq Sue,
walllaaa... lamanya tak pekena ikan pekasam... terus kecurrr!

Wattie,
waalaikumussalam.... silakan Wattie...dah siap tu satu set!

Cik Manggis,
Memang versi kukus / rebus lebih sihat kan CM... LD masih seperti sebelum ini, masih dipenuhi dengan anggota tentera yang meronda & berkawal 24 di setiap penjuru.

Amie berkata...

Delima,
nasi ayam memang sedapkan Delima... menyediakannya pun lebih mudah berbanding masakan nasi set yang lain.

Whitecappuccino,
terima kasih WC... moga dapur kecil Amie ini bermanfaat untuk semua pengunjung.

Cik Kamoo,
silakan Cik Kamoo... happy cooking!

Amie berkata...

Mama Sara Nur,
silakan ... anak-anak pun kalau makan di luar nasi ayam juga yang dicari.

Acik Erna,
waalaikumussalam... alhamdulillah, setakat ini anak-anak dan seisi rumah tak bersungut tentang hidangan yang disediakan.

Zana,
oh ye... silakan cuba resepi ni, happy cooking!

Mamasya,
waalaikumussalam.... setelah Amie kahwin barulah Amie mula makan versi kukus sebab belah suami suka jenis begini, jadi cuba-cubalah belajar makan, sedap pula!

Temuk berkata...

Assalam, Amie. Ayah sefamili pun suka nasi ayam. Yang ayamnya dikukus tu, kegemaran isteri. Ayah tetap pilih yang dipanggang. Itu pun mesti cukup masak. Kalau ada lagi merah-merah dagingnya, merudumlah selera dan merajuklah hati. Tapi kalau nasinya ayu macam nasi basmati yang Amie sediakan, makan nasi + supnya pun dah boleh pulihkan rasa merajuk, hihi.

Yana Shaiful berkata...

Nasi ayam mmg kegemaran ramai.. yana kat rumah suka jgk bt ns ayam sbb cepat laku hihii..yana suka ayam kukus jgk..kdg2 ayam tu yana bakar.. konon2 nk jaga kesihatan laa hihii..

azieazah berkata...

Yeayyyy! Semalam saya teragak nak semak resipi Amie, kot ada Nasi AYam. Tup tup buka, hari ini pula menu nya...!

Nak cuba buat, sebab dah lama tak buat takut salah resipi pulak.

Amie berkata...

Ayah Temuk,
waalaikumussalam... nasi ayam memang menu kegemaran ramai, boleh buat pilihan ... ayam kukus, ayam goreng atau ayam panggang. Ayam panggang memang sedap kalau diperap lama, lepas tu panggang guna api sederhana panas sahaja melebihi 45 minit, itu yang akan menjadikan isinya masak sempurna.

Yana,
nasi ayam memang sedapkan Yana... bila dah siap terhidang aromanya cukup menyelerakan dengan pertemuan kesemua bahagian.. nasinya, ayamnya, timun dan sos sambalnya.... mmmm yummy!

Azieazah,
langkah kananlah ni ye Azie... banyak versi nasi ayam ni Azie, kalau nak cuba versi yang Amie buat ni dipersilakan dengan senang hati... & terima kasih!

Rohah berkata...

kak..semalam kat sini panas terik...kita cuci karpet punkering...alhamdulillah..
enak ndelok ayam ki ka...ayam mei apik kilat..opo rahsia?

ummiaisyah berkata...

anak2 sy on peminat ns ayam...tringin la nk buat versi ayam kukus tu...ala-ala cinese gitu!

Amie berkata...

Rohah,
Tak ada rahsia ayam tu Rohah... cuma goreng dalam minyak terendam, gunakan api sederhana panas, tapi kena tunggu lama sedikit supaya masak isi di dalamnya.

Ummiaisyah,
memang ala-ala Cina ni Ummi.. belajar dari kakak ipar yang kahwin dengan orang Cina, tu pasal minyak bijan, daun ketumbar & kicap cair tak tinggal!

may agumo berkata...

fuhhh.. xtau nak cakap apa dah.. yummy..

ummiross berkata...

Olala!!, insyaAllah..nak cuba buat juga nanti, guna resepi Amie pulak.

amie maya berkata...

Salam...same lak name kite ye....hari nie nak try ur resipi.....tq