Iftar 15 Ramadan 1447H & Tradisi Malam Ketupat
9:36 PTGBismillahirrahmanirrahim.
15 Ramadan, masyarakat Melayu Cocos akan meneruskan tradisi sambutan Malam Ketupat. Dalam entri yang lepas-lepas, Amie banyak kali kongsikan tentang amalan sambutan ini:
- Malam Ketupat : Amalan Tradisi Masyarakat Melayu Cocos
- Malam Ketupat Datang Lagi : Tradisi Melayu Cocos Muncul Setahun Sekali
- Selamat Menyambut Malam Ketupat - 15 Ramadan
- Tradisi Malam Ketupat dalam Masyarakat Melayu Cocos
| Gambar dari entri lepas. |
Malam ketupat tiba pada malam 15 Ramadan setiap tahun ketika umat Islam sedang menjalani ibadat puasa.
Malam ketupat merupakan amalan tradisi masyarakat Melayu Cocos, etnik minoriti di negeri Sabah yang berasal dari Pulau Cocos-Keeling di bawah pentadbiran British. Ketika Sabah mencapai kemerdekaan pada 16 September 1963 dengan penyatuan ke dalam Malaysia, masyarakat Melayu Cocos secara automatik menjadi warganegara Malaysia. Kini Pulau Cocos-Keeling telah menjadi sebahagian daripada wilayah Australia. Sebahagian masyarakat Melayu Cocos juga telah menjadi warganegara Australia dan bermastautin di Kattaning dan Geraldton.
Pada Malam Ketupat, masyarakat Melayu Cocos akan membawa ketupat ke masjid, dan selepas menunaikan solat terawih mereka akan bertukar-tukar ketupat sesama mereka. Ketupat orang Melayu Cocos menggunakan beras pulut dan dimasak dengan santan.
Untuk sambutan Malam Ketupat kali ini Amie tidak sempat hendak masak ketupat. Ada mesyuarat di ladang yang perlu dihadiri menyebabkan Amie kesuntukan masa. Namun begitu, menjelang petang anak buah hantar ketupat dengan kuah kacang. Alhamdulillah! Rezeki hari ini dapat berbuka puasa dengan ketupat!
| Gambar kenangan - rebus ketupat. |
| Ketupat & The Gang |
Hari ini juadah berbuka puasa dengan hidangan ketupat, sambal kuah kacang campur daging, kari ayam dan serondeng daging.
| Cucur Udang |
Sempat goreng cucur udang untuk Firdaus. Kali ini Amie buat agak nipis dan lebih rangup. Udangnya pun sudah siap buang kulit. Bahan adunan terdiri daripada tepung gandum, lobak merah, daun kucai, udang segar, telur dan serbuk penaik serta taugeh.
| Firdaus makan Cucur Udang dengan kuah kacang, |
| Jus Tembikai. |
| Salad Campur. |
Sambutan Malam Ketupat memang meriah kalau bersama-sama meraikannya di masjid. Teringat sewaktu arwah MIL masih ada. Encik Suami mesti bawa kami balik kampung untuk sama-sama rebus ketupat! MIL suka bubuh kacang hijau atau udang kering dalam ketupat!
Petang tadi ada tetamu jauh dari Gombak datang ziarahi kami. Nenda Hamzah, Tuan Haji Nicholas Sylvester singgah seketika di rumah kami dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Kunak sempena Majlis Iftar Mualaf Pedalaman Sabah KDMRS Muslim 1447H/2026M. Semoga usaha menyantuni para mualaf di pedalaman Sabah dipermudahkan.
0 comments