Iftar 16 Ramadan 1447H - Nasi Lauk Ikan Goreng, Petola Masak Lemak & Sambal Belacan
9:24 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Bertemu lagi di bulan mulia, 16 Ramadan 1447H. Semoga setiap hari yang dilalui dipenuhi dengan keberkatan dan sentiasa dipermudahkan urusan.
Apa agaknya juadah berbuka puasa rakan-rakan hari ini?
Amie teringin makan nasi berlauk. Kononnya hendak goreng ikan kerisi garing-garing. Sayangnya tidak jumpa pula ikan idaman selera ini di pasar. Encik Suami beli petola, jadi terus terbayang Petola Masak Lemak, bubuh isi ikan kembung tumbuk dan tambahkan lada hitam! Aduhai... kita terus berusaha melengkapkan hidangan dengan sambal belacan cili padi kampung yang kecil-kecil itu!
| Hidangan Berbuka Puasa |
| Ikan Bawal Emas Goreng & Telur Masin |
Tidak ada ikan kerisi, kita gantikan dengan ikan bawal emas. Ada baki telur masin pemberian kakak ipar tempoh hari. Kita rebus untuk tambah lauk. Tak sangka pula ikan bawal emas goreng habis licin. Sebelum ini kalau ada ikan goreng memang hanya dipandang dengan sebelah mata saja! Mungkin tiada pilihan lauk lain seperti ayam... ahaks!
| Petola Masak Lemak |
Namanya saja Petola Masak Lemak tetapi isinya macam-macam pula. Ada kentang, suhun, fucuk dan lobak merah. Masakan ini memang laris manis dijamah ketika berbuka. Mungkin rasa lemak santan bertambah sedap apabila ditambah dengan isi ikan kembung tumbuk.
| Sambal belacan Cili Padi Kampung |
Firdaus kata Sambal Belacan Cili Padi kampung ini pedas tapi dia menambah-nambah pula! Begitu juga Fairuz, tak cukup sepinggan nasi malah pergi mengaut nasi tambah dalam rice cooker!
Eh, semuanya nampak berselera berbuka puasa dengan nasi putih!
Amie goreng mi kuning, tapi kurang mendapat perhatian Fairuz dan Firdaus. Nampaknya selera hari ini berpindah ke nasi sahaja!
| Mi Goreng |
| Air rebusan longan & lohan guo. |
Ada dua jenis air disediakan, jus tembikai dan air rebusan longan dan lo han guo serta white fungus, barli dan kurma merah. Fairuz dan Firdaus pula yang habiskan satu jug minuman buang panas ini.
Jus tembikai tidak diusik!
Mungkin sebab setiap hari ada jus tembikai.
| Tidak ketinggalan, salad campur untuk Encik Suami. |
Jumpa lagi 17 Ramadan 1447H esok - In syaa Allah.
1 comments
Selamat berbuka puasa.
BalasPadamNasi putih daripada beras mahal ni.