Jericho Yang Suram Namun Ada Manis Jus Delima dan Kurma Medjool!
10:49 PGBismillahirrahmanirrahim.
Singgahan kami di sebuah kedai kurma dan gerai jus buah delima di Jericho memberi rasa yang sukar digambarkan. Kedai-kedai di sini kelihatan sederhana dan agak sunyi. Buah-buah delima yang tersusun di meja kelihatan sedikit layu, seolah-olah sudah lama menunggu pembeli. Suasananya tidak meriah seperti yang sering kita bayangkan di tempat pelancongan.
Walaupun melihat buah delima yang sudah kelayu-layuan, namun apabila teringat pesan tour leader supaya membeli-belah di sini untuk membantu ekonomi penduduk Palestin, kami tidak teragak-agak untuk membelinya. Peniaga buah delima mencadangkan kami minum jus campuran delima dengan oren. Lupa pula harganya, samada 3 USD atau 5 USD segelas. Oleh kerana perut Amie dan Encik Suami agak sensitif kalau meneguk jus buah, jadi kami hanya beli segelas sahaja sekadar untuk rasa-rasa dan kongsi bertiga dengan Encik Suami dan Firdaus.
Ketika meneguk jus itu, terasa campuran rasa masam dan manis yang menyegarkan. Dalam hati terlintas satu perasaan halus, mungkin beginilah kehidupan sebahagian penduduk di sini, sederhana dan penuh ketabahan.
Peniaga buah memerah buah delima dan oren.
Banyak juga hasil perahaan dua jenis buah ini.
Rasanya manis, kurang masamnya dan sejuk pula.
Firdaus kata, jus delima campur oren ini sangat sedap. Biarlah Firdaus habiskan sebab perutnya tahan banting....ahaks!
Firdaus beli gelang (dalam genggaman) berharga 20 USD. Katanya hendak hadiahkan kepada kawan-kawannya.
Kami masuk ke kedai jualan pelbagai jenis kurma berhadapan dengan gerai buah delima. Kami dihidangkan dengan beberapa jenis kudapan seperti kacang, kurma, halia madu dan sebagainya. Kemudian, bolehlah beli untuk oleh-oleh terutamanya kurma Medjool yang besar, lembut dan lemak manis itu.
| Selain kurma Medjool, terdapat juga beberapa jenis kurma lain. |
Amie beli empat kotak kurma Medjool dan empat kotak coklat kurma. Jual beli dalam bentuk mata wang USD tapi tak ingat berapa harganya tapi agak mahal juga! Mungkin tempat kunjungan pelancong, jadi harga pun harga pelancong.
| Kotak-kotak ini berisi coklat kurma dan kurma tempatan. |
| Halia Madu |
Beli juga halia madu. Satu bekas 10 USD.
Memang sedaplah kunyah halia madu tapi asyik buang angin saja sepanjang hari. Sesuailah untuk panaskan badan di musim sejuk ketika itu.
Jericho bukan wilayah Gaza. Ramai beranggapan keadaan Palestin itu penuh dengan adegan peperangan dan kehancuran sebagaimana keadaan di Gaza. Dalam entri lepas, Amie telah tuliskan tentang pembahagian kawasan penduduk Palestin seperti berikut:
Orang Palestin di Gaza:
Mereka tinggal di kawasan kecil di pesisir Laut Mediterranean yang dipanggil Gaza Strip. Kawasan ini diperintah oleh Hamas sejak 2007. Gaza berada di bawah sekatan ketat oleh Israel dan Egypt, menyebabkan pergerakan keluar masuk sangat terhad, ekonomi sukar berkembang dan infrastruktur banyak yang rosak akibat konflik dan pengeboman dari tentera Isra.
Kehidupan di Gaza lebih sukar dan terhad berbanding kawasan Palestin lain. Di sinilah rejim zionis menghacurleburkan seluruh kawasan mereka seperti yang kita lihat di media sosial.
Orang Palestin di Tebing Barat (West Bank):
Merekat tinggal di bandar seperti Jericho, Ramallah, Hebron dan Nablus. Kawasan ini ditadbir sebahagiannya oleh Palestinian Authority. Ada universiti, kedai dan pejabat kerajaan. Pelancong masih boleh melawat beberapa tempat. Namun masih ada sekatan jalan dan kawalan keselamatan.
Kehidupan di sini lebih terbuka sedikit berbanding Gaza, walaupun masih menghadapi pelbagai sekatan. Di wilayah inilah tempat lawatan kami.
Setiap tempat mempunyai ceritanya sendiri. Walaupun kelihatan sepi dan kurang bermaya, Jericho tetap meninggalkan kenangan yang mendalam. Kadangkala, daripada tempat yang sederhana itulah kita belajar menghargai kehidupan dan merasai erti syukur.
1 comments
Saya pun ingat macam tu juga rupanya masih ada tempat yang selamat. Jus pekat delima dan oren tu sungguh mengoda.
BalasPadam