Rindu Makan Nasi Lauk Kampung di Aidil Fitri!
11:14 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Hari ini sudah masuk 3 Syawal 1447H. Rasanya sudah puas beraya, menziarahi keluarga, sanak dan saudara sebelah Encik Suami. Memang gantung periuk setiap hari dari pagi sampai ke malam, memenuhi jemputan rumah terbuka. Masuk hari raya ketiga, rindu tidak dapat dibendung untuk makan nasi putih lauk-pauk kampung.
Amie sempat masak untuk makan tengah hari sebelum sambung beraya. Kelmarin sewaktu berkunjung ke rumah abang ipar, biras Amie beri sebiji betik mengkal. Jadinya, Amie masak sup ayam dengan betik, bubuh lada putih tumbuk dan masukkan daun kemangi. Habis seperiuk kami makan anak-beranak. Selain sup ayam, Amie goreng ikan bolu @ ikan susu tanpa tulang. Firdaus bantu siapkan sambal belacan. Amie sediakan juga daun salad dan kacang bendi celur. Tidak ketinggalan, telur dadar kosong dari lima biji telur.
| Nasi Putih & Telur Dadar |
| Lauk-Pauk Kampung |
Hati ibu mana tak gembira apabila dapat menikmati hidangan panas bersama anak-anak walaupun ada yang kurang. Ada Fuad, Fairuz dan Firdaus. Abang Farid, Aseeyah dan Hamzah akan sampai ke LD esok. Encik Suami tak sabar hendak bertemu dengan cucunda Hamzah!
| Sup Ayam dengan Betik dan Daun Kemangi. |
Inilah Sup Ayam dengan Betik dan Daun Kemangi yang Amie gemari. Bukan Amie sahaja, anak-anak pun suka terutama kuahnya yang manis dari betik mengkal dan wangi aroma daun kemangi. Ditambah lada putih tumbuk, bertambahlah lazatnya lauk ringkas ini.
| Ikan Bolu Tanpa Tulang Goreng |
Amie sangka tiga ekor ikan bolu goreng ini hanya dicuit-cuit saja oleh anak-anak. Amie terlupa ada Raja Ikan (Fuad)... ahaks! Habis licin ketiga-tiga ekor ikan ini. Memang sedap sungguh ikan bolu tanpa tulang ini apabila digoreng garing!
| Daun Salad & Bendi Celur |
| Sambal Belacan |
Terima kasih Firdaus bantu buat sambal belacan. Walaupun pedas, tapi habis licin!
| Telur Dadar |
Telur dadar ini menjadi lauk tambahan. Alhamdulillah. Semuanya makan penuh selera. Hari ini semuanya sibuk mengemas dan membersihkan mana yang patut sebab esok kami akan mengadakan rumah terbuka buat keluarga dan jiran tetangga.
Jemput datang malam esok ke rumah kami ya!
0 comments