Train to Hatyai
4:20 PTG
Pagi Jumaat : 29 November 2019.
Jom ikut kami naik keretapi klasik dari Sungai Kolok @ Golok ke Hatyai. Ada kawan beri gelaran naik keretapi kelas kambing sebab setaraf dengan kelas ketiga. Tak kisahlah, kelas kambing ke kelas lembu, yang penting dapat pengalaman yang sukar dicari! Bukan banyak kesempatan untuk mengumpul pengalaman naik keretapi begini.
Pernah menonton filem seram dari Korea Selatan, Train to Busan?
Kali ini, marilah sama-sama tonton gambar dan pengalaman kami dalam entri Train to Hatyai....ahaks!
Sebelum itu, Amie kongsikan berita mengenai kejadian letupan bom di landasan keretapi di Narathiwat. Berita ini sebenarnya Amie tahu pada keesokan harinya (30 November 2019 sebaik tiba di Bukit Kayu Hitam. Kawan yang menunggu kami di sempadan Malaysia-Thailand kata, dia nak beritahu sewaktu kami bermalam di Sungai Kolok, tapi katanya takut kami jadi takut dan batalkan perjalanan ke Hatyai).
Kesimpulannya, memang benarlah apa yang disampaikan oleh petugas Hotel Genting itu, tentang kerosakan landasan keretapi, tetapi mereka tidak menerangkan perkara sebenar yang telah terjadi.
Boleh baca berita selanjutnya di sini : Bom meletup di landasan kereta api di Narathiwat dan di sini: Letupan bom di landasan kereta api di Narathiwat.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5:50 pagi waktu tempatan (6:50 pagi waktu Malaysia) pada 28 November 2019. Waktu itu kami sedang menunggu masa untuk masuk ke perut kapal terbang dari KLIA2 ke Kota Bharu. Walaupun letupan itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa tetapi menyebabkan 14 perkhidmatan keretapi ke selatan Thailand terjejas. Kerosakan landasan keretapi berlaku antara stesen Sungai Padi dan To Deng, dan sepanjang kira-kira satu meter.
Individu yang tidak bertanggungjawab melakukan kerosakan tersebut dikatakan menggunakan bom buatan sendiri seberat 25 kilogram dan dipasang pada tong gas yang diaktifkan dengan menggunakan wayar.
Benar jugalah kata petugas hotel itu yang menyatakan juga kerja-kerja pembaikan akan selesai pada tengahari keesokan harinya, dan itu sebabnya kami dinasihatkan untuk menaiki van sahaja. Alhamdulillah, rezeki masih berpihak kepada kami, dan kerja pembaikan landasan siap lebih awal. Jadi kami dapat naik keretapi klasik pada sebelah pagi.
Selesai menukar mata wang BAHT, kami terus menuju ke Stesen Keretapi Sungai Kolok untuk membeli tiket. Suasana di kaunter pun tidaklah sesibuk mana, lengang sahaja.
Nampak tu... di sebelah sanun!
Gerabak keretapi klasik sedang menunggu kami.
Warna hijau dan jalur kuning nampak mesra alam pula.
Haiyyoooo.... ingat-ingat lupa pula harga tiket dalam BAHT.
Rasanya dalam 110 atau 120 BAHT jugalah.
Katanya nilai BAHT lebih mahal akhir-akhir ini.
Dari tiket di atas ini bolehlah agak-agak baca, waktu beli tiket pukul 6:14 pagi.
Departure Time : 6:30 pagi (waktu kita 7:30 pagi)
Arrival Time : 10:46 pagi (waktu kita 11:46 pagi)
Bermakna tempoh perjalanan kami dianggarkan selama 4 jam 16 minit.
Ada lagi nak kongsi maklumat dalam tiket. Class - Coach Type : 3.
Betullah itu, kelas marhaen.
Inilah keretapi klasik yang akan membawa kami sejauh 4jam 16 minit perjalanan seperti yang tertera di dalam tiket. Oh! Bukan semuanya hijau kuing oren, tapi gerabak hadapan dan kepalanya warna lain pula.
Ketika asyik beraksi untuk ambil gambar tiba-tiba peluit keretapi dibunyikan. Sempat jugalah berdiri di tangga keretapi untuk tangkapan terakhir pagi itu.
Perlahan-lahan kami dibawa meninggalkan Stesen Keretapi Sungai Kolok. Ada sebuah lagi keretapi dengan gerabak warna merah hati di bahagian bawah dan warna gading di bahagian atasnya. Tak tahulah jenis keretapi apa. Mungkin keretapi modern berkelajuan lebih tinggi yang akan bergerak waktu tengahari nanti.
Semakin lama semakin jauh Stesen Keretapi Sungai Kolok kami tinggalkan. Ketika kami menaiki keretapi ini, suasana di dalamnya agak lengang. Banyak tempat duduk masih kosong dan kami bebas memilih gerabak dan tempat duduk masing-masing. Kami mengambil tempat duduk di tepi tingkap. Tingkapnya pula boleh dinaikkan dan diturunkan.
Pemandangan di sebelah rel keretapi, terdapat jalan raya, rumah-rumah dan sudah semestinya masih dalam lingkungan perkampungan.
Sesekali tempias titisan hujan menimpa wajah menerusi tingkap keretapi yang terbuka luas!
Ada tergantung beberapa buah kipas angin di bahagian atas, tetapi tidak digunakan.
Walaupun tidak ada putaran kipas angin dan suhu dingin dari penyaman udara tetapi tetap rasa selesa dan nyaman. Gerakan keretapi dengan gerabk-gerabaknya yang entah berapa buah itu menghasilkan angin yang nyaman menerpa ke arah kami.
Angin sejuk!
Ditambah hujan gerimis.
Rasa seperti berada dalam bilik berhawa dingin pula!
Kemudian keretapi bergerak lagi, mula-mula perlahan dan lama-kelamaan semakin laju.
Mana-mana gambar pemandangan yang diambil ketika keretapi bergerak perlahan memanglah agak jelas, tapi ketika keretapi bergerak laju nampak kaburlah, dan tak dapatlah nak kongsi di sini.
Iklim di bahagian selatan Thailand masih lagi mempunyai persamaan dengan negara kita. Jadi warna hijau dapat dilihat di mana-mana dengan tumbuh-tumbuhan yang sama dengan yang terdapat dinegara kita.
Tangkai beg berjuntai di atas para itu kepunyaan Amie. Penuh isi keropok dan serunding. Begitu juga dengan Kam. Masing-masing membawa beg galas dan menjinjing beg berisi keropok dan serunding dari Kota Bharu.
Keretapi berhenti lagi di stesen perhentian kedua.
Ambil kesempatan lagi untuk tangkap gambar ketika keretapi bergerak perlahan.
Kali ini tangkap gambar lembu pula.
Lembu ini bukan sebarang lembu, sebab ia lahir di Thailand, dan membesar dengan makan rumput yang tumbuh dari tanah Thailand. Sepanjang perjalanan dari Sungai Kolok, inilah kali pertama nampak lembu.
Hairan juga... boleh pula lembu makan rumput berhampiran landasan keretapi, dan bukannya di luar pagar sana.
Apa pun, elok jugalah lembu tu meragut rumput supaya tidak kelihatan semak.
Tak nampak leher lembu-lembu itu diikat dengan tali.
Rupanya pandai lembu Thailand jaga keselamatan diri ye.
Bila melihat tanah diselimuti tumbuhan hijau. boleh kita simpulkan bumi Thailand sangat subur dan makmur!
Kuih pau yang dijual pun masih panas dan aromanya membuatkan rasa ingin mencicipinya. Sebiji harganya 6 BAHT. Amie minta 4 biji. Katanya 20 BAHT. Sepatutnya 24BAHT. Amie beli dan simpan dahulu, tunggu matahari keluar bolehlah makan.
Bila Amie buka bungkusan kuih pau, isinya bukan 4 biji tapi 5 biji.
Allah! Beli 4 dapat percuma sebiji kot.
Terima kasih kakak penjual kuih pau yang manis. Mudah-mudahan rezeki berjualan terus bertambah.
Walaupun jumlah penumpang yang naik dari setiap stesen boleh dihitung dengan jari, tetapi lama-kelamaan banyak jugalah penumpang keretapi yang kami naiki ini.
Setelah melewati beberapa stesen perhentian, naiklah pula beberapa anggota keselamatan membuat pemeriksaan dari gerabak ke gerabak yang lain.
Pemeriksa tiket pun ada, tapi tiket kami tak pula dimintanya.
Anggota keselamatan pula terdiri daripada lelaki dan perempuan. Selain meminta kad pengenalan diri atau passpor, mereka tangkap gambar penumpang juga dengan menggunakan HP. Kami dan sedia nak keluarkan passport tapi tak diminta pula. Mereka sekadar pandang-pandang kami saja. Ada rupa orang Siam ke rupa kami....hiks!
Inilah kerja Amie sepanjang berada di dalam keretapi klasik. Apabila keretapi mula bergerak perlahan untuk berhenti, cepat-cepat tangkap gambar mana yang dapat. Kali ini dapat tangkap gambar lorong atau jalan kecil, di bawahnya mengalir air jernih.
Pokok pinang tumbuh berjajar-jajar di luar pagar landasan.
Masjid!
Salah satu tanda atau bukti adanya penganut dan masyarakat Islam di bahagian selatan Thailand.
Keretapi berhenti lagi di stesen yang sterusnya. Tak sempat nak kira berapa stesen yang telah dilalui sepanjang perjalanan dari Sungai Kolok.
Ada stesen perhentian yang biasa-biasa sahaja, ada pula yang lebih menarik dengan pelbagai hiasan dan dekorasi seperti taman kecil dan kolam ikan.
Sekarang sudah boleh lihat ladang kelapa sawit pula, di belakang barisan tanaman tebu.
Pemandangan di sini agak lebih kemas dan bersih.
Beginilah suasana sepanjang pagi.
Peluit berbunyi
Keretapi berhenti.
Penumpang turun.
Penumpang naik.
Peluit berbunyi.
Keretapi bergerak lagi.
Pemandangannya pula terus berubah.
Sekarang boleh melihat ladang getah pula!
Dan di stesen seterusnya, berselisih dengan keretapi dari belah utara.
Hai...
Berselisih kita ye.
Nak ke Sungai Kolok ke?
Kami nak ke Hatyai.
Sudah jumpa lembu, nampak kelapa sawit, nampak ladang getah, dan sekarang nampak sawah padi pula.
Nampaknya sekarang sedang musim menanam padi. Sawah bendang masih bergenang dengan air, dan di beberapa petak lagi kelihatan anak-anak padi subur menghijau.
Kalau sebelum ini penumpang yang naik boleh dikira dengan jari, tetapi semakin meninggalkan banyak stesen perhentian, semakin bertambah pula bilangan penumpang!
Anggota keselematan pun semakin banyak kelihatan di setiap stesen.
Daripada duduk seorang, kini sudah berteman!
Gerabak keretapi mulai dipenuhi penumpang!
Kami sangka kami saja penumpangnya dari Sungai Kolok...ahaks!
Sekarang beg galas kami yang diletakkan di sebelah tempat duduk terpaksa kami pindahkan ke atas riba.
Meh tangkap gambar ayam pula.
Ini ayam Thailand.
Sama tak dengan ayam di tempat kita.
Haaa. haaaa... saja jew nak cari pasal.
Agak-agaklah... apa yang ditulis di papan putih tu?
Rasanya jadual perjalanan, waktu berangkat dan watu ketibaan di setiap stesen kot.
Sekarang keretapi berhenti di stesen Ruso, dan telah meninggalkan stesen Lalo kemudian akan teruskan perjalanan hingga ke stesen Balo pula.
Dah sampai stesen Balo, bermakna keretapi sudah meninggalkan stesen Ruso dan selepas ini akan menuju ke stesen Raman pula.
Betul tak apa yang Amie tulis di atas tu...kihkihkihhh!
Tiba di stesen Maiken, ternampak jam menunjukkan pukul 8:30 waktu Thailand. Rupanya baru 2 jam perjalanan dari Sungai Kolok. Jam kita pula sudah pukul 9:30 pagi.
Nampaknya penumpang pun semakin ramai. Setiap gerabak dipenuhi penumpang.
Stesen apa pula ni?
Kadang-kadang papan tanda di sebelah kiri keretapi, kadang-kadang di sebelah kanan pula. kalau sebelah kanan memanglah Amie selalu terlepas sebab Amie duduk di sebelah kiri.
Nampak meriah pula bila menjenguk ke luar tingkap sebelah kanan.
Banyak penjual makanan berada di situ.
Ayam percik ke tu?
Pulut hitam dan pulut putih kot dalam bungkusan plastik yang dijunjung di atas kepala peniaga.
Wah! Ada mangga muda dengan pencecah. Ada telur puyuh dan kacang tanah rebus.
Inilah para penjaja kecil dengan makanan jualannya.
Tidak cukup tangan kanan membawa makanan, tangan kiri pula membawa pelbagai jenis minuman!
Allah!
Kecur liur dibuatnya!
Tak sanggup rasanya memandang limau bali dan hirisan jambu batu!
Jiran sebelah kanan sudah membeli macam-macam makanan termasuk minuman!
Pemeriksa tiket dan anggota keselamatan sentiasa naik turun keretapi menjalankan tugas!
Sekarang Dik Za Fauzan dengan Syukri boleh bersantai-santai selepas melewati stesen Tase sebab penumpang ramai yang turun di sini.
Berpapasan lagi dengan keretapi dari sebelah utara.
Sempat tangkap gambar ini saja sebagai pemandangan alam sebab sibuk ambil gambar penjaja makanan.
Setiap kali melewati stesen perhentian, mesti ada gambar seperti di atas, dan kadang-kadang ada gambar wanita. Alahai... kita tak ikuti sangat perkembangan negara jiran. Yang kita tahu hanyalah sejarah zaman dahulu, zaman Thailand masih disebut Siam dan Ayuthia. Sejarh modern pun hanya ingat beberapa nama seperti Raja Vajiravudh, Raja Pradidipok, Raja Mongkut, Raja Chulalongkorn....
Penjaja-penjaja makanan rupanya bertukar-tukar naik keretapi. Dari gerabak ke gerabak mereka jaja makanan mereka.
Ada pelbagai jenis nasi dan pelbagai jenis lauk yang dijual.
Dan satu lagi yang Amie geram sangat ialah ada beberapa orang penjaja menjual cendawan payung!
Ya Allah!
Mahu rasanya Amie beli, tapi nak masak di mana?
Kenapa teringin sangat nak beli?
Sebab sudah berpuluh tahun tak pernah jumpa cendawan payung!
Sudah tentu banyak cendawan payung yang tumbuh, sebab sekarang musim hujan. Itu sebabnya asyik keluar masuk gerabak beberapa orang penjual cendawan payung!
Jumpa sepasang lembu sedang meragut rumput di stesen Pa Rai.
Agak jauh jugalah keretapi ini bergerak melintasi beberapa buah stesen, barulah jumpa lagi lembu yang meragut rumput.
Ini pokok asam jawa. Kalau kamera dapat zoom dekat-dekat memang nampaknya buahnya yang lebat berjuntai-juntai. Ada orang panggil buah asam jawa ini buah celagi.
Makin lama, makin cantik pula stesen yang dilalui.
Tapi tak jumpa lagi stesen keretapi Hatyai.
Jauh lagi ke?
Asyik ambil gambar di luar keretapi, sesekali ambillah pula gambar dalam keretapi. Barulah aci.... hiks!
Banyaknya buah mangga dik!
Ini pula air minuman dalam kantung plastik!
Adeehhh... teringin nak beli, nak hirup dengan straw, tapi teringatlah pula bagaimana rupa toilet dalam keretapi klasik ini! Maka, hasrat untuk beli air minuman pun dibatalkan. Suhu dingin dari Sungai Kolok sudah berubah menjadi panas. Memang terasa dahaga. Beli air mineral sahajalah.
Penjual air isi botol air dalam baldi.
Bersusun-susun mereka menjaja makanan dari satu gerabak ke gerabak yang lain.
Ada yang kata kalau nak beli makanan halal, belilah dengan penjaja yang pakai tudung sebab wanita muslim di sini bertudung belaka.
Penjual keropok.
Pendek kata, memang tak akan rasa laparlah kalau naik keretapi klasik ini. Ada sahaja peniaga makanan naik turun dari gerabak ke gerabak untuk menjual makanan.
Jom pandang ke luar pula!
Masih lagi suasana menghijau dengan jajaran pokok kelapa di belakang sana, dan di hadapannya sawah yang baru ditanami dengan anak-anak padi.
Sampailah ke stesen Pattani.
Nama Pattani memang tak asing, sebab pernah belajar sejarah tentang perkembangan Islam di Pattani.
Berselisih lagi dengan keretapi dari arah hadapan. Penjaja makanan pun bertukar keretapi pula. Dari keretapi utara pindah ke keretapi dari selatan.
Penumpang di sebelah, depan dan belakang beberapa kali bertukar orang. Namun yang menyakitykan hati, si penjual cendawan payung itu pun bertukar orang juga. Banyaknya cendawan payung di selatan Thailand!
Untuk ubat hati, akhirnya kita beli pisang goreng. Mulanya tak mahu beli tapi bila rasa sekeping sedaplah pula, jadi belilah sebungkus. Penjaja pisang goreng tambah lagi beberapa keping. Harganya 30BAHT. Rasa tepungnya rangup dan manis. Ada butiran bijan ditabur di atasnya.
Penjual air minuman terus-menerus menggoda ...huhuhuuuu!
Masih pemandangan sawah padi terbentang luas, saujana mata memandang.
Tak bolehlah tangkap gambar lagi sebab keretapi mula bergerak laju. Mari kita lihat apa adegan yang dapat kita kongsi bersama dalam gerabak kami.
Masih lagi cerita penjaja makanan!
Ketika keretapi berhenti di sebuah stesen, kita cuba beralih ke sebelah kanan pula. Jom sembang-sembang dengan penjaja wanita ini. Entah apa yang disebutnya, Amie sahut dengan seyum-senyum saja.
Bila kita senyum saja tak menyahut, dia kata : Tak beli pun tak apalah.
Dan dia berlalu mencari pelanggan lain.
Lepas itu dia datang lagi.
Menegur Amie lagi.
Amie lihat dalam bekas yang dibawa tangan kanannya itu ada ayam goreng, daun pisang dan gulai warna kuning. Mungkin di dalam periuk sebelah tangan kirinya itu berisi nasi.
Kali ini Amie bukan lagi senyum, tapi ketawa. Dia pun ikut ketawa.
Selamat beriaga. Moga murah rezeki dan habis jualan untuk hari ini.
Kami teruskan perjalanan dulu ye.
Ini apa ye?
Rumput atau benih padi?
Sekali pandang macam kerbau. Dua kali pandang rupanya lembu hitam!
Ketika ini cuaca panas mula terasa.
Kawan-kawan yang lain sudah terlena. Penumpan di bangku hadapan dan belakang pun tersengguk sama.
Tak lama kemudian kita pun ikut sama, dan tak perasan pula terlepas beberapa perhentian!
Tangkap gambar pokok pisang juga ke?
Hahaa.... ini pokok pisang Thailand, bukan pokok pisang di tempat kita!
Ada beza ke pokok pisang Thailand dengan pokok pisang di negara kita?
Ada kot!
mana tahu terjumpa pokok pisang berbuah dua kali di sini.... ahaks!
Keretapi berhenti lagi untuk yang kesekian kalinya. Entah kali yang keberapa!
Sepuluh?
Dua puluh?
Apa penjaja wanita itu sedang buat di balik pasu biru itu?
Mungkin sedang berehat untuk melepas lelah.
Amie kagum sungguh dengan semangat para penjaja sepanjang perjalanan dalam keretapi klasik ini. Naik turun keretapi, dari gerabak ke gerabak menjaja jualan mereka! Alhamdulillah. Mereka mencari rezeki halal dengan keringat sendiri.
Akhirnya terjebak jugalah dengan seketul ayam goreng. Dijual sekali dengan pulut, tapi Amie beli ayam goreng saja.
Dah nak sampai Hatyai ke?
Apasal pulak banyak gerabak buruk di sini?
Allahu Akbar!
Tak terasa perjalanan selama 4:16 minit dalam keretapi klasik akhirnya sampai ke destinasi! Syukri kata, sempat kira stesen yang kami lalui. Semuanya ada 32 stesen!
32 stesen?
Huh!!!!
32 stesen?
Huh!!!!
Maka turunlah kami di stesen keretapi Hatyai.
Nampaknya pintu syurga makanan sudah mulai terbuka sedikit demi sedikit!
Kami menuruni anak tangga menuju ke terowong bawah tanah.
Dan naik anak tangga berikutnya untuk ke pintu keluar.
Mencari kedai yang menjual sim kad.
Limit penggunaan paling singkat adalah selama 3 hari.
Nampak tak pemuda berbaju biru dalam gambar di atas?
Dia ekori kami, menawarkan pelbagai perkhidmatan sepanjang kami berada di sini.
Nampaknya kami asyik diekori sehingga sampai ke sebuah kedai. Di situ mereka kata ingin bantu kami untuk mendapatkan tempat penginapan dengan menawarkan beberapa hotel mengikut harga yang dipilih. Heheee... mereka sangka kami tidak tahu khidmat yang ditawarkan sudah tentunya memerlukan bayaran yang lumayan! Kami terus berjalan meninggalkan mereka dan terdengar teriakan pemuda berbaju biru dalam bahasa Melayu : Harga hotel di sini lebih mahal dari harga yang kami beri.
Kami tak menoleh lagi. Terus jalan.
Beberapa langkah kami berjalan meninggalkan kawasan tersebut, tiba-tiba hujan turun dengan agak lebat tapi kami terus redah!
Sawadikap!
Huurrmmm... Sungai Kolok sambut kami dengan hujan!
Hatyai pun sambut kedatangan kami dengan hujan juga!
Moga ia hujan rahmat.
Aamiin.
Entri berkaitan Thailand - Hatyai boleh klik di sini:
Bermalam di Genting Hotel Sungai Kolok
Selamat Pagi Negeri Gajah Putih
Train to Hatyai
Aloha Hotel Hatyai
Selamat Petang Hatyai : S̄wạs̄dī txn yĕn thī̀ h̄ādh̄ıỵ̀
Nasi Goreng Sultan
Sepetang di Hat Yai Floating Market (Khlong Hae Floating Market)
Asean Night Bazaar Hatyai
Hatyai Street Stalls
Sarapan Pagi di Dimsum Chabura
Kim Yong Market
Selamat Pagi Negeri Gajah Putih
Train to Hatyai
Aloha Hotel Hatyai
Selamat Petang Hatyai : S̄wạs̄dī txn yĕn thī̀ h̄ādh̄ıỵ̀
Nasi Goreng Sultan
Sepetang di Hat Yai Floating Market (Khlong Hae Floating Market)
Asean Night Bazaar Hatyai
Hatyai Street Stalls
Sarapan Pagi di Dimsum Chabura
Kim Yong Market
1 comments
Yg macam ni la SA naknexplore tp x dpt sbb SA pergi naik flight...lepas ninkalau ada peluang lagi SA nak pergi explore macam ni..baru la best kan
BalasPadam