Masjid Jin @ Masjid Tiban @ Masjid Ajaib Turen
12:53 PTG
Farid, dalam nada gurauannya menyatakan bahawa sebentar lagi kami akan dibawa melawat sebuah masjid yang dibina oleh jin! Masjid ini dibina pada waktu malam sahaja. Dikenali juga dengan nama Masjid Tiban, sesuai dengan keadaannya yang tiba-tiba berdiri kukuh di daerah itu.
Wah!
Macam bermimpi pula akan dapat melihat binaan yang dibangun oleh makhluk ghaib!
Biar betul?
Macam kisah Nabi Sulaiman pula. Allahu Akbar.
Astaghfirullahal'aziiimm.....
Sekembalinya Amie ke LDU, Amie terus google, dan mendapati memang masyarakat di sana mempercayai bahawa masjid tersebut yang dikatakan tiba-tiba muncul adalah hasil kerja jin!
Apa pun marilah kita lihat dan fahami apa sebenarnya yang telah menyebabkan Masjid Turen Ajaib ini boleh berdiri gagah di Kabupaten Malang.
Pertama kali melihat secara dekat binaan Masjid Turen ini memang sungguh mengujakan! Ia terdiri daripada 10 tingkat dan adakalanya terkeliru sedikit dengan hasil senibinanya yang adakalanya ala-ala India, China, Timur Tengah dan juga Eropah.
Mari kita lihat dahulu keadaan sekitar masjid dan juga suasana di dalamnya sebelum mendengar dengan lebih lanjut mengenainya.
Kami dibawa masuk ke dalam masjid dan di situ kami diberi penerangan oleh penjaga masjid. Nampaknya di bahagian dalam masjid masih lagi belum siap sepenuhnya, dan kerja-kerja pembinaan sedang dilakukan.
Tanpa kipas dan tanpa pendingin hawa, terasa sangat sejuk berada di sini.
Penjaga Masjid Turen ini menerangkan:
Sebenarnya tempat ini bukanlah masjid seperti yang diwar-warkan, melainkan sebuah pondok pesantren. Pondok pesantren ini diasaskan pada tahun 1963 oleh Romo Kyai Haji Ahmad Bahru Mafdlaluddin Shaleh Al-Mahbub Rahmat Alam yang juga dikenali dengan nama Romo Kyai Ahmad. Murid-muridnya terdiri daripada pemabuk, pencuri, penagih dadah dan sebagainya, dan hasil didikan al-marhum Kyai Ahmad, mereka menjadi insan yang bertaubat dan berakhlak mulia.
Penjaga Masjid Turen sedang menerangkan tentang situasi sebenar masjid ini.
Katanya lagi, pesantren ini didirikan melalui istikharah, dan sedikit demi sedikit mulai 1978, sudah ada 10 tingkat bangunan. Proses binaannya dilakukan oleh para santri.
Kami sempat menunaikan solat jamak di sini.
Sumur atau telaga kecil di bawah itu merupakan sumber atau punca air untuk kegunaan di pesantren ini. Terdapat 90 buah keluarga yang tinggal di pesantren seluas 4 hektar, dan bangunan utama pesantren ini didirikan di atas kira-kira 1.5 hektar tanah.
Di bahagian luarnya pula dinding berwarna emas, dan marmar putih dicat dengan warna biru tua. Sekali pandang seperti gaya Arab, dan sekali pandang lagi seakan-akan candi. Apabila terlihat kepelbagaian ukiran dan senibina yang bercampur aduk dengan warna, serta gaya timur dan barat, memang benarlah ia tidak kelihatan seperti sebuah masjid!
Ketika melintasi pintu kamar kecil, terlihat pula beberapa buah akuarium berisi pelbagai jenis ikan!
Kredit: NTC
Di belakang pesantren terdapat sebuah bangunan yang terlindung oleh pokok-pokok kelapa. Itulah makam Kyai Ahmad.
Kami dibawa melawat ke setiap lantai atau tingkat, dan melihat sendiri ruang makan, ruang solat, ruang rehat dan sebagainya.
Ini tempat pasangan-pasangan pengantin bersanding.
Macam-macam bentuk dan warna kubah yang ada di sini.
Di tingkat atas, ada gerai-gerai jualan.
Kini kami berada di tingkat 10.
Gambar yang dapat diambil setiap kali naik atau turun tingkat.
Info:
Sejarah Pondok Pesantren Salafiyah Bihaaru Bahri 'Asali Fadlaailir Rahmah.
Pendiri, pemilik dan pengasuh: Romo KH Ahmad Bahru Mafdlaluddin Shaleh Al-Mahbub Rahmat Alam.
Tahun 1963 : Rintisan awal masih sangat sederhana sekali. Tutup gedek, atap daduk, tiang bambu.
Tahun 1978 : Rasmi berdiri pondok pesantren. Bangunan masih semi permanen.
Tahun 1988-1992 : Mulai bangunan permanen.
1998 : Bangunan terus. Alhamdulillah. Sampai sekarang. Mudah-mudahan sampai selesai.
Terfikir tentang Taj Mahal yang dibina selama 22 tahun. Tembok Besar China dibina lebih 100 tahun. Candi Borobudur pula siap dalam tempoh 50 tahun.
Dan Pondok Pesantren ini masih dalam pembinaan dalam tempoh 41 tahun (1978-2019).
Jadi, benarkah ini semua kerja jin yang dikatakan datang beribu-ribu banyaknya menyiapkan binaan ini pada waktu malam? Wallahu'alam. Kami nampak ada dua tiga orang sedang mengecat sudut-sudut dalam bangunan. Mungkin mereka itu para santri, atau murid-murid yang menghuni pesantren ini.
Dan menurut penjaga pesantren ini, selain mendirikan setiap ruangan pesantren secara istikharah, mereka tidak pernah meminta bantuan kewangan dari mana-mana pihak. Bagaimana pun banyak yang bersedekah dan berinfak, dan hasil tersebut digunakan untuk terus membangunkan pesantren ini.
Selesai naik turun 10 tingkat bangunan pesantren, kami pun kembali semula ke jalan raya dan menuju bas. Ketika bas sedang bergerak, datang dua orang lelaki memberi penerangan lagi tentang Masjid Turen @ pesantren sambil menjual buku Tata Cara Shalat dan Ziarah Kubur. Ramai yang beli.
Amie pun beli sebuah. Tak ingat berapa harganya!
Entri berkaitan Trip Surabaya:
2 comments
CANTIK INDAH PERMANDANGANNYA
BalasPadamJMBELOG,
BalasPadammacam2lah versi ceritanya di sini.