Awalnya paparan pagi ini...... Apa agaknya yang ingin Amie kongsikan kali ini?
Popia?
Beri titik tumpuan anda pada jam... pukul 5.45 minit pagi! Bukan petang ye. Awalnya sarapan..... Sebenarnya hari ini giliran kelas anak bujang kedua mengadakan jualan sempena Projek Khidmat Masyarakat bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan untuk kelas tingkatan 3 di sekolahnya. Lama sudah dia berhasrat untuk jual nasi lemak seperti bujang sulung jual 3 tahun lalu (semasa tingkatan 3 juga), sayangnya Amie tidak sanggup menyediakannya. Akhirnya setelah berbincang dengan rakan sekumpulannya, bujang tengah memutuskan untuk membawa popia sebagai bahan jualan dalam kumpulannya. Popia? Kuih ini nampak moden, sedangkan antara syarat dalam projeknya kena jual kuih tradisional! Kuranglah markah dalam folionya nanti.... Lagi satu, siap lagi dia menyenaraikan intinya supaya dimasukkan udang, ayam cincang bla bla blaaa..... Berapa harga jualannya? 2 batang RM1 atau 3 batang RM1? Sebenarnya bila ditolak campur... tak balik modal pun sebab modal intinya tu! He he ehhh... semangat anak nak berniaga! Untung rugi tolak tepi dulu, yang penting ada pengalaman, dan dia gembira bersama rakan kumpulannya. Biarlah dia lihat sendiri berapa modal dan berapa untung rugi dalam kira-kira semasa membuat laporan projeknya nanti...
Apa pun, ini sahajalah yang dapat Amie bantu bujang tengah. Malam tadi sibuk dia membantu Amie menyiapkan popianya. Dan pagi tadi, seawal pukul 4 pagi Amie mula menggoreng dan siap semuanya sebelum pukul 5.45 pagi. Mata masih mengantuk ni... nak sambung tidur kejap ye... Resepinya seperti di bawah:
Resepi : Popia
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
50 keping kulit popia saiz sederhana
sebiji telur
minyak
sos cili pilihan
Bahan inti:
1 cawan isi udang - cincang
1 cawan isi ayam - cincang
1 tin jagung - toskan airnya
2 biji lobak merah - hiris halus
2 biji sengkuang - hiris halus
3 biji bawang putih - hiris halus
1/2 labu bawang besar - cincang
1 sudu makan serbuk pati ikan bilis
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih dan bawang besar hingga wangi.
2. Masukkan ayam dan udang. Gaul sebati.
3. Masukkan lobak merah, sengkuang dan jagung.
4. Masukkan serbuk pati ikan bilis. Gaul hingga mesra.
5. Angkat bahan tumis dan masukkan ke dalam mangkuk penapis.
6. Biarkan seketika supaya kuahnya kering.
7. Letakkan inti di atas kulit popia. Lipat dan gulung. Lekatkan dengan putih telur di bahagian hujungnya.
8. Goreng hingga kekuningan / garing.
9. Angkat dan toskan minyaknya.
10. Hidangkan bersama sos cili pilihan.
Resepi di atas Amie copy paste dari SINI dan untuk anggaran 50 batang saja. Malam tadi gulung 150 batang popia!