Menu Rebus-Rebus : Ikhtiar Sihat Buat Encik Suami
12:05 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Sejak Encik Suami kurang sihat dan keluar dari hospital awal tahun 2026, kebanyakan hidangan yang Amie sediakan di rumah lebih banyak berasaskan kaedah rebus. Selain ringkas disediakan, rasa asli bahan-bahan seperti ikan, ayam, sayur-sayuran lebih menyerlah. Hal ini kerana Amie sentiasa gunakan halia, serai, lengkuas, tomato, daun limau purut , daun kemangi dan daun kunyit untuk aroma lebih segar.
Kalau Amie terlewat masuk dapur, Encik Suami masak sendiri ikan bersama sayuran hijau seperti sawi. Beliau hanya tambahkan hirisan halia dan bawang putih serta bawang merah. Ada kalanya Amie bantu Encik Suami masak dengan menambah bahan seperti serai, serbuk kunyit dan juga asam keping! Untuk hidangan yang tidak menjemukan dengan warna hijau sawi, Amie pelbagaikan sayur agar lebih warna-warni dan cantik. Kuahnya pula tidaklah selalu sejernih kuah singgang, tetapi Amie kisarkan buah tomato atau rebus tomato lebih lama sehingga hancur untuk menerbitkan warna dalam kuah. Encik Suami tidak mahu rasa pedas cili, jadi jaranglah Amie bubuh cili dalam hidangannya kecuali sweet pepper. Encik Suami suka jadikan sweet pepper sebagai ulam.
Namun begitu, satu perkara yang perlu diingat iaitu penggunaan garam yang sedikit atau kurangkan jumlahnya. Apabila masakan rebus ini dinikmati sewaktu masih panas, rasanya juga lebih enak.
Amie sediakan menu-menu ini sebagai salah satu ikhtiar menjaga pemakanan Encik Suami agar lebih sihat, di samping kami sekeluarga turut menikmatinya.
Hasilnya, dalam tempoh dua bulan Encik Suami mengalami penurunan berat badan dari 79 kilogram ke 57 kilogram. Oleh kerana sudah mencapai BMI yang sesuai, Amie cadangkan agar Encik Suami menjaga berat badan seimbang. Dan kini beratnya antara 55 -56 kilogram. Bagaimanapun Encik Suami masih di bawah pemantauan hospital terutama berkaitan masalah jantung dan buah pinggang. Encik Suami juga konsistem keluarkan peluah setiap hari dengan cara briskwalk.
Dalam entri ini Amie himpunkan beberapa menu rebus yang pernah Amie masak. Encik Suami lebih sukakan ikan berbanding ayam dan tidak pernah menjamah daging. Kaedah memasak juga dengan cara merebus atau masak sup sahaja. Walaupun Amie pernah tumis dahulu bahan perencahnya supaya wangi, Encik Suami tetap mahu masakan tanpa setitik minyak!
Mudah-mudahan koleksi ini dapat memberi idea kepada rakan-rakan yang sedang mencari hidangan ringkas, berkhasiat dan sesuai untuk dinikmati seisi keluarga.
| Sup Ikan Dori |
| Singgang Ikan Tuna dengan Nanas |
| Sup Ikan Bunak dengan Cendawan Tiram Raja. |
| Sup Ikan Putih dengan Belimbing Buluh. |
| Singgang Kuning Ikan Tenggiri dengan Nanas. |
| Sup Kepala Ikan Salmon |
| Singgang Ikan Kerisi |
| Asam rebus Ikan Gerong-Gerong |
| Singgang Ikan Tuna |
| Sup Sweet Pepper Sumbat Isi Ikan & Isi Salmon |
| Singgang Ikan Tenggiri |
| Sup Ikan Salmon Aneka Sayuran |
| Sup Ikan Dori |
| Sup Ikan Batu |
| Singgang Ikan Batu |
| Sup Kepala Ikan Merah |
| Asam Rebus Ikan Tenggiri |
| Sup Ikan Salmon |
| Sup Ikan Dori & Udang & Tauhu Jepun. |
| Singgang Ikan Tuna dengan Kacang Bendi. |
0 comments