ADSENSE

Isnin, 30 Julai 2012

Iftar Hari Ke 10 : Sup Ayam Special

Assalamualaikum.



Biasanya kalau selera makan tertutup Amie suka mencari sup. Apa-apa sahajalah jenis sup yang boleh dihirup. Bila sudah semangkuk hirup kuah panas, merasalah pula lada hitam atau lada putihnya, peluh pun keluar, kepala pun jadi ringan dan tubuh kembali segar. Inilah amalan yang Amie sering lakukan kalau rasa tidak sedap badan, letih lesu dan kurang selera makan. Paling berselera tentulah bila hidangan ada di hadapan mata, tapi nampak gayanya memang Amie kena sediakan sendiri untuk diri! Apa pun terima kasih banyak kepada Tulip77@myresepi.com yang sudi berkongsi resepi Sup Ayam Special yang sedap dan wangi ini. Memang terasa kelainannya berbanding sup yang pernah Amie buat sebelum ini kerana harumnya sungguh semerbak dan rempah-rempahannya meresap enak ke dalam daging serta kuah supnya. Yang membezakan sup ini dengan sup yang biasa ialah rempah-rempahnya direndam hingga kembang di dalam air panas menggelegak terlebih dahulu sehinggalah air tersebut suam. Setelah mengikut langkah demi langkah seperti yang diperturunkan oleh Tulip, akhir sekali apabila api telah ditutup, masukkan daun sup, daun bawang serta bawang goreng ke dalam sup dan tutup selama 20 minit. Oh! Bila dibuka semula 20 minit kemudian, terhidulah aromanya yang sungguh menyelerakan! Terima kasih sekali lagi buat Tulip yang berjaya menambat selera dengan resepi Sup Ayam Special yang sedap dan wangi ini! 
Antara menu berbuka  yang Amie sediakan buat kami sekeluarga petang tadi. 



Sirap Nata de Coco.



Sayur Campur. Sedap diratah begitu saja.



Gambar di atas ialah gambar ikan basung @ ikan selayang goreng garing bersama sambal kicap. Sebenarnya ikan inilah yang Amie ingin makan sejak dua tiga hari lalu. Goreng garing-garing dan celup dengan sambal kicap siap perah air limau nipis! Memang selera Amie datang kembali hanya dengan sepinggan nasi putih, ikan basung goreng bersama sambal kicap serta semangkuk kecil kuah Sup Ayam Special. Amie hanya ambil kuah, kentang dan lobak merah sahaja.


Buat rakan-rakan yang kurang berselera makan, atau terasa hendak demam serta letih lesu, cubalah Sup Ayam Special. Keenakan dan aromanya yang menyegarkan pasti menambat selera anda! Amie panjangkan resepinya di sini buat rujukan teman-teman ye Tulip.
  • Resepi: Sup Ayam Special
  • Sumber: Tulip77@myresepi.com
  • Bahan-bahan:
  • 1 ekor ayam potong 16
  • 1 labu bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • sebatang kulit kayu manis
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 iji buah pelaga
  • 2 biji kentang
  • 1 batang lobak
  • 1 mangkuk air panas baru masak
  • lada sulah, garam, ajinomoto dan stok ayam
  • daun sup, daun bawang & bawang goreng

Cara-cara:

  1. Rempah-rempah  direndam dalam air panas menggelegak,biarkan hingga air tersebut suam & toskan rempah-rempah tersebut. Air rendaman turut disimpan.
  2. Bawang merah dan bawang putih dikisar halus. Halia ditumbuk sedikit jangan sampai lumat. Lobak dipotong bulat-bulat anggaran 1.5cm dan kentang dipotong 6.
  3. Panaskan minyak dan tumis bawang hingga naik bau. Kemudian masukkan halia dan rempah-rempah yang telah direndam. Tumis sebentar.
  4. Masukkan ayam dan gaulkan supaya bercampur dengan rempah yang ditumis. Biarkan selama 10 minit
  5. Masukkan air rendaman rempah tadi beserta 1 mangkuk air lagi. Jika mahukan kuah sup lebih boleh tambah lagi semangkuk air.
  6. Biar sup menggelegak,masukkan kentang dan lobak. Bila ayam dah empuk masukkan stok ayam, garam, aji dan lada sulah. Adjust mengikut selera anda
  7. Dah siap tutup api. Masukkan daun bawang,daun sup dan bawang goreng, tutup rapat periuk selama 20 minit supaya baunya meresap ke dalam sup. Sedia untuk dihidang


Tidak ketinggalan, tembikai merah.... wajib ada setiap kali berbuka puasa. Selamat berbuka puasa untuk hari ke sepuluh di bulan Ramadhan 1433H.

13 ulasan:

Asyifa Mustaffa berkata...

Akak nie mmg rajin la...sy semenjak puasa nie...gambar dah snap dah..lastnya jdi pekasam jer dlm folder tu..bla dah mlm mcm nie...dtng malasnya nak buat n3...sudahnya pegi bw je kat blog2 orng lain....hehe...

Puan Ros @ Sinaranmenu.blogspot berkata...

Kak Ros setuju.Kalau tak sedap badan, mesti rasa nak hirup sup.Kkak Ros suka sup yang masam2 macam tomyam.

Amie berkata...

Asyifa,
Kak Amie kan Syifaaa... tak payahlah lama-lama simpan gambar dalam folder, sehari pun cukuplah, sudah menjadikan Kak Amie malas nak buat entri, jadi dah siap masak, ambil gambar mana yang sempat, terus masuk blog ha ha ha hah...

Kak Ros,
Bila dah hirup apa-apa sup kan Kak Ros, kurang / hilang rasa pahit mulut...

ainnoraini berkata...

Saya hari ini msak ayam kari jer..
Nnt nk buat sup ayam la pulak..nnpk sedap jer amie pun tu..

adda syuhada berkata...

kat umah adda ni sup jer mesti laku...bertambah2 En Hubby makan..kena lak ada ulam ngn smbal belacan @ budu...pastu ayam goreng kunyit lak...menjadi2 la..

zila norazila berkata...

akk amie cygg..dtg nk hirup kuah sup tue..ada lg x balance2 hikk3x..tembikai tu pun merah melampau cunnya:)

mama aini berkata...

assalam amie..sedapnya kalau dpt sup ayam special ni..

wanie berkata...

wah kak Amie..sedapnye..ikan goreng tu,siap ada cecahnya..nyum,nyum

LinRosly berkata...

Assalamualaikum Amie,
Sedapnya Menu Amie ni...Rajinnya...
Kak Lin suka sup ayam kalau dimakan dengan sambal kicap...

Mas Sani berkata...

Mas setuju....samalah kalo kurang selera lg2 sbb sakit tekak, sup adlh mknan yg paling sedap dan segar....

Ucu Faridah berkata...

salam k.amie..
kalau ucu pulak suka tomyam kalau badan x berapa nk sedap...tapi x nak sendiri masak.....

quinnie berkata...

aduiii buah tembikaiiiii...leleh air liur nengoknya..hehehheh

rasanya saya pernah cuba kak tulipnye sup ni....memagn sedap :)

Rohah berkata...

salam kak, poso rak ki? macem2 santapan nei..sup ayam meriah nampaknya..sy kat sini pun makan sup..segerrr..hehe