Bismillahirrahmanirrahim.
Encik Suami selalu sebut-sebut tentang Sup Payau di Airport Tawau. Entah berapa kali kalau sampai ke lapangan terbang di sini, hendak makan di situ tetapi asyik tidak jadi. Kali ini, 24 Mei 2024 memang menjadi dan kejadiannya seperti berikut:
Memandangkan kami akan daftar masuk penerbangan pada sebelah petang, jadi sempatlah singgah makan tengahari dahulu. Maka Encik Suami pun memandu ke arah jalan terletaknya Bibiq Corner Airport Tawau. Kalau sudah ada 'bibiq' itu maknanya orang Jawa kot.
| Bibiq Corner Airport Tawau |
Sementara menunggu pesanan tiba di meja, terpandang kepala rusa dan sekeping gambar di sebelahnya. Sempat bertanya kepada adik di kaunter. Katanya, itu gambar nenek dan datuknya. Kalau tak silap, neneknya telah pergi untuk selama-lamanya. Merekalah yang mengasaskan perniagaan di Bibiq Corner Airport Tawau.
Walaupun ada perkataan 'bibiq' yang sinonim dengan orang Jawa, tetapi ada barongko iaitu sejenis makanan tradisional masyarakat Bugis. Inilah istimewanya negara kita. Ada pelbagai jenis bangsa dan suku kaum yang sudah semestinya terdapat variasi budaya dan versi makanannya yang tersendiri. Masuk gerai orang Jawa, dapat makan makanan kaum Bugis pula. Harmoni!
| Barongko |
Tiga jenis minuman : Jus Limau Kasturi, Sirap Limau dan Air Bandung.
Inilah Sup Payau.
Tak ingat harganya, tapi dalam belas-belas ringgit.
Ini pula Nasi Goreng Payau.
Nampak macam biasa sahaja, warna hitam manis berkicap tetapi apabila masuk sesudu dalam mulut, memang tak berhenti menyudu terus!
Dalam Nasi Goreng Payau ini duduk bersembunyi kepingan payau di bawah nasi warna hitam manis ini! Nasi goreng yang sudah cukup rasa ini dilengkapi dengan sedikit sambal dan sehiris mentimun. Apabila dapat sampai dan sehiris timun, memang sedaplah jadinya.... ahaks! Benda sedikit memang jadi enak!
Firdaus pula tidak mahu makan nasi, tetapi minta mi segera goreng dengan telur mata!
Harga keseluruhan kami makan di sini tidaklah dapat diingat kembali. Maklumlah, perkara yang lepas usah dikenang. Tapi sebab sayang hendak buang gambar, tepek sajalah di sini buat kenang-kenangan. Jadinya, tertunailah hajat Encik Suami hendak bawa kita makan Sup Payau di Bibiq Corner Airport Tawau.
















