Jom cuba menu masakan ala Thai yang Amie hidangkan di bawah. Amie masak Sotong Goreng Bawang Putih atau Pla Muerk Tod Kratiem. Ini merupakan kali kedua Amie memasak resepi ini. Memang banyak penggunaan bawang putihnya! Kena gunakan 3 labu! Bukan labu bawang yang kecil-kecil tapi yang besar. Amie cincang bawang putih untuk mendapatkan satu mangkuk kecil. Tapi memang sedaplah, tak rugi mencuba. Cara memasaknya pun mudah, dan tidak memerlukan banyak bahan. Cuma bawang putih sahaja yang mesti banyak.
Resepi : Pla Muerk Tod Kratiem - Sotong Goreng Bawang Putih
Sumber: Chef - Koleksi Istimewa Majalah Perempuan
Bahan-bahan:
500 gram sotong - potong ikut suka
3 labu bawang putih - cincang
1 sudu besar serbuk lada
1 sudu kecil serbuk perasa
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil gula
minyak
Cara:
1. Goreng sotong hingga garing. Angkat dan toskan.
2. Panaskan semula minyak dan goreng bawang putih sehingga naik bau. Angkat dan toskan.
3. Panaskan sedikit minyak dengan api besar. Masukkan sotong goreng dan bawang putih tadi dengan serentak.
4. Masukkan sekali serbuk lada, serbuk perasa, sos tiram dan gula. Kacau sebati. Pastikan tidak terlalu lama.
5. Angkat dan hidangkan.
Mudah bukan cara penyediaannya. Rasanya pun lazat! Tak percaya? Boleh cuba.... dan jangan takut dengan jumlah bawang putihnya yang banyak. Bila sudah siap masak, tak nampak pun rupa bawang putih yang begitu banyak!