ADSENSE

Jumaat, 14 Ogos 2020

Pucuk Ubi Masak Lemak dengan Tempe

Mommy berehatlah. Biar kami masak. Memang rasa sangat sejuk jiwa dan kalbu bila mendengar Fuad dan Fairuz berkata begitu. Maka kelentang-kelentunglah dua anak bujang ini di dapur bersilat dengan sudip dan senduk. Pandai pula membahagi tugas. Seorang masak lauk sama ada ikan atau ayam, dan seorang lagi masak sayur. Lepas makan, seorang cuci pinggan mangkuk dan seorang lagi kemas meja makan.

Hari ini tidak berbunyi kelentang kelentung seperti biasa. Fuad sudah berada di bumi Johor. Fairuz mengulangkaji pelajaran bersama kawan-kawannya. Selepas solat Asar, Encik Suami bergegas keluar untuk mengambil Firdaus pulang dari sekolah. Rutin harian berulang kembali. Kami baru sahaja menikmati makan tengahari (lewat) merangkap makan malam bersama Encik Suami. Masak seadanya sahaja, asalnya boleh mengenyangkan. Amie masak lada putih ikan layar dan tumis bunga kates (bunga petik). Tak kongsi resepi kedua-dua resepi itu, sebab dah selalu sangat paparkan dalam dapur maya ini. 

Terpandang gambar Pucuk Ubi Masak Lemak dengan Tempe dalam folder! Gambar masakan ini Amie ambil sebelum sambutan Aidil Adha. Eloklah dijadikan entri untuk perkongsian kali ini. Waktu kecil dahulu, memang masakan beginilah yang selalu Bonda hidangkan. Masak lemak putih sahaja, tanpa warna kuning dari kunyit, tanpa rasa pedas cili padi! Kuah masak lemak pucuk ubi ini Bonda akan gaul dengan nasi, dan suap adik! 

Amie gandingkan lauk lain sebagai pelengkap hidangan. Selain sambal belacan, Amie gorengkan ikan dan juga ayam.

Fairuz memang akan bertanya kalau tidak nampak ayam di atas meja makan! Kalau memasak pun, keutamaannya hanyalah ayam!

Fuad pula lebih gemarkan ikan. Amie gorengkan beberapa keping ikan siakap dan ikan putih. Walaupun suka ikan tetapi Fuad tidak berminat untuk makan ketam dan udang. Kalau sotong, memang suka sangatlah dia. Pelik budak satu ini!

Jom lihat resepi Pucuk Ubi Masak Lemak dengan Tempe. Amie bubuh ikan bilis dan juga petai.

Bahan-bahan:
20 tangkai pucuk ubi - celur hingga lembut - toskan - bilas dan perah airnya 
1 batang tempe - potong ikut saiz yang disukai
1 cawan isi petai
1 cawan santan pekat + 2 cawan air
1 batang serai - diketuk
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk kasar:
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah 
1/2 cawan ikan bilis

Inilah rupa tempe nan sebatang.

Ikut sukalah nak potong yang macamana. Orang kampung kami dulu dulu kalau masak lemak pucuk ubi dengan tempe, mereka suka gunakan tempe yang sudah lama dan berbau. Ada keunikan yang tersendiri pada rasa masakan yang menggunakan tempe sebegitu. Amie tak pernah buat, tapi pernah makan hasil air tangan nenek! Sedaplah pulak!
Opppsss!
Hampir terlupa untuk menyiapkan cara memasak pucuk ubi tadi!
Wokey... kita sambung.

Cara memasak:
1. Dalam sebuah periuk, masukkan santan, bahan tumbuk, serai, tempe dan pucuk ubi.
2. Masak di atas api perlahan dan kacau sehingga kuah mendidih dan tempe masak.
3. Masukkan petai, garam / perasa pilihan.
4. Kacau selalu dan setelah petai berubah warna, padamkan api dapur.

Nostalgia Pucuk Ubi Masak lemak dengan Tempe!

4 ulasan:

Warisan Petani berkata...

Pebret wak ni
tapi jangan letak petailah.

Ana Jingga berkata...

sedapnya amie :)

Azhafizah MN berkata...

wahh tak pernah tengok bentuk tempe bulat memanjang macam ni. Biasa nampak yang leper je kat semenanjung. Pucuk ubi masak lemak dengan tempe pun hidangan yang tak pernah tengok apatah lagi makan.

Kamsiah yusoff berkata...

Saya suka masak lemak pucuk ubi kaler kuning...boh ikan bilis,atau udang,ataupun ikan pekasam